Sudah lebih sejam ASP Darul Fikr berdepan dengannya. Mereka berbicara dan terus saja berbicara tentang segala hal yang terlintas dalam dan luar kepala. Tajuk bicaranya ibarat sampah hanyut ― terapung-apung dari tebing ke tebing, ke hulu ke hilir ― diayak arus sungai yang belum jua ranum pasangnya. Dalam tempoh itu sudah berkali-kali, entah berapa kali dia sendiri terlupa hitungannya, dihulurnya mata kail bersalut umpan. Sayang, tidak ada yang berminat ― walaupun ikan buta. Mungkin nasibnya belum cukup mujur atau mungkin juga cara dia memancing belum cukup hebat.
Fikiran dan imaginasinya juga seperti kera di hutan; meniti, merayap dan melompat dari dahan ke dahan sebelum turun ke bumi, mencari dan menyuap apa yang boleh disuapnya.
Akhirnya seperti kera yang turun ke bumi, dia memberanikan diri, lantas berterus terang.
“Sebab utama kau buat semua ini?” Darul Fikr menunggu jawapannya penuh debaran.
“Tuan tahu makna perjuangan?”
Darul Fikr tersentak. Apakah masih ada kata-kata muluk seperti itu dalam kamus kehidupan manusia abad ke 21 ini? ASP yang naik pangkat secara bertatih dari bawah itu, masih kurang arif apakah kata-kata seumpama ini masih lagi ada maknanya. Adakah maknanya?
Namun soalan itu hanya berlegar dan terapung-apung dalam benaknya. Terkurung di langit kerongkong. Wahai ASP Darul Fikr, janganlah sekali-kali kau rosakkan suasana yang baik ini, jangan Darul, jangan. Benarkanlah dia berbicara semaunya. Biarkan. Biarkan dia bicara semahu-mahunya. Biarkan.
“Seperti anak-anak muda lain, saya juga ingin berjasa. Saya juga ingin berbuat sesuatu tentang masa depan negara sendiri.” Hebat, fikir Darul Fikr.
Dia teringat akan liku dan denai sejarah yang dirintis ayahnya. Sebelum ayahnya meletakkan jawatan sebagai guru untuk benar-benar terlibat dan aktif dalam politik Umco, ayah adalah guru yang sentiasa saja bercakap perihal masa depan bangsa Melayu. Melayu yang jauh dan serba serbi ketinggalan, Melayu yang terbiar. Melayu yang jauh ketinggalan.
Pidato ayahnya tentang agenda Melayu dan masa depan orang-orang Melayu, sentiasa saja berapi-api. Dia tidak tahu apakah itu fotostat atau sekadar ajukan gayanya Sukarno, Zulkifli Muhammad atau apakah itu meniru gayanya Asri Muda. Yang jelas ia cukup berapi-api dan membakar semangat segala mereka yang mengikutinya. Ayah memang memiliki suara, gaya, nada dan hujah yang katanya cukup bernas bila memperkatakan nasib orang-orang Melayu. Pidatonya ibarat air terjun yang tidak tahu bilakah saatnya untuk berhenti. Demikianlah ayahnya dan pidato politiknya.
Tatkala mengajar di sekolah-sekolah terpencil-terlantar yang terdapat di merata ceruk rantau dalam daerah, ayah sering bercerita tentang kehebatan cerpennya “Pensil Sebatang” Ali Majod, “Pelita Sebuah,” A. Rashid Ngah atau “Beruk”nya Azizi Hj Abdullah kepada murid-muridnya.
Cerpen-cerpen seperti itu ayah ulang-ulangi dengan pelbagai cara. Biasanya ayah meminta murid-muridnya membaca ala pertandingan membaca cerpen. Kadang-kadang ayah mendorong murid-muridnya untuk berlakon satu dua episod yang pada pandangan ayah, menarik minat anak-anak didiknya.
Cerita tentang ayah yang begitu sayang dan gigih mendidik anak-anak Melayu yang melarat di ceruk-ceruk kampung ini, aku ketahui tatkala menjadi freshie di universiti. Ada pelajar yang bercerita bagaimana hebatnya impak cerita-cerita itu terhadapnya ketika di sekolah dulu. Ayah pernah mengajarnya. Betapa luar biasanya ayahku.
“Tak ubah macam kisah-kisah ‘Laskar Pelangi’ atau ‘To Sir With Love’”, begitulah yang disebut Darul Fikr.
Bagi ayah, guru itu segala-galanya dalam kehidupan ini dan itulah bulan yang telah jatuh ke ribaan ayah. Dan saban hari kami sekeluarga, lebih-lebih lagi aku sendiri, terasa begitu penat mendengar pelbagai cerita derita yang ayah hidangkan di meja makan. Cerita-cerita kedhaifan yang meruntun jiwa siapa saja yang mendengarnya.
“Walaupun waktu rehat telah tamat, murid-murid ayah tak juga balik-balik ke tempat masing-masing. Puas ayah menyuruh!”
Kata ayah, mereka begitu asyik sekali berkumpul di belakang kelas walaupun berulang kali ditegur supaya segera balik ke tempat masing-masing. Rupa-rupanya Amin, si tukang ceritanya, yang menjadi tumpuan seluruh pelajar.
“Ya..Amin apakah cerita yang menarik itu? Boleh kita semua dengar?” ayah meminta Amin ke depan kelas untuk bercerita.
Sunyi sepi.
“Ya..apakah ceritanya Amin?”
“Amin ke Tanjung cikgu.” Ramlah, murid yang duduk sebaris dengan Amin cuba membuka rahsia keghairahan Amin.
“Ya...ke Tanjung!”
“Cikgu dia hantar Tok Wan, Tok dia ke Mekah, naik kapal laut besar”
“Ya...? Apa lagi yang menarik lagi tentang kisah Amin?”
“Amin naik trem, cikgu. Kata Amin, seronok!”
“Saya makan epal cikgu, sedap” jawab Amin, tiba-tiba.
“Kenapa? Sedap?”
“Itu kali pertama saya makan epal.”
“Ya...” ayah, terdiam.
“Siapakah yang pernah makan epal?”
Kelas, sunyi dan sepi
No comments:
Post a Comment