Baru dua kali dia gagal datang latihan, mereka sudah pun bertalu-talu mengetuk pintu apartmennya.
Lebih payah, sudah ada wakil berbadan sasa ala pelakon gusti yang muncul, menunggu sehingga terlena di depan pintunya. Deringan sms mereka juga tidak kurang ganasnya; bertalu-talu dengan ayat-ayat yang semakin memedihkan dan nada ungkapan yang ternyata kian linglung. Tak cukup dengan semua itu, pesanan yang mengancam juga mereka tinggalkan dalam kotak suara telefon bimbitnya.
Mereka benar-benar mahu dia hadir dan sentiasa hadir semua latihan. Serat-serat beban ketidakhadirannya dapat dikesannya dalam suara pesanan jurulatih itu. Apakah itu juga suara batin orang yang sudah muak atau apakah itu suara zahir mereka yang kemarahannya sudah melimpah ― lantas membuak-buak ke lantai aksi?
“Kalau kau gagap dalam kandang saksi, aku yang mereka belasah, bukan kau!!” jerit jurulatih itu.
“Tengok jawapan kamu hari itu ― rela, tak rela. Mana satu yang betul?”
Mat J juga begitu sakit hatinya. Sakit yang teramat sangat. Itukan skrip mereka? Plot mereka dan cerita mereka? Kenapa pula aku yang mau dipersalahkan? Salahkan panel yang mereka, mengolah dan menulis dialognya. Kenapa mahu menerkam aku pula?? Apakah itu tugas aku?
“Jangan lupa saya sekadar menghafal dan menjawab soalan dalam kandang saksi.”
“Ya...kau muntah-muntah dalam kandang..” mata jurulatih itu semakin merah.
“Sudahlah Mat, ikut sajalah, habis cerita. Biar senang semua orang.” penolongnya jurulatih pula cuba menenangkan suasana.
Mat J tidak begitu pedulikan dialog yang perlu dihafalnya. Tak perlu. Dia masih teringat akan hujah ayah tentang nasib dan masa depan orang-orang Melayu versi ayahnya...
Mat J sudah tidak begitu ingat entah apa lagi cemuhan, sindiran dan lekehan ayah terhadap langkah Paksi mau membenarkan ‘calon bukan Islam yang menyokong dasar dan perjuangan Paksi, berakhlak dan bermoral tinggi menjadi calonnya Paksi’ dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Muncung ayah benar-benar muncungnya puyu rabit dan cemik muka ayah tak ubah keli Afrika yang kehabisan bekalan oksigen.
Semalam ayah membariskan soalan di depan kami ― anak beranak, tatkala pinggan, piring, gelas dan cawan belum diangkat Bik Endang ke tempat cucian:
Soalannya bertalu-talu, soalan yang mempamerkan betapa gentarnya ayah dengan sejuta langkah ke depannya Paksi berbanding Umconya ayah. Bagiku ayah, sama seperti Umco adalah unta tua yang demamnya tak pernah kebah:
Dengan langkah ini Paksi telah melunturkan identitinya sebagai parti Islam dan parti majoriti orang Melayu, begitulah hujah pertama ayah.
Para pembesar Paksi, hujah ayah lagi, sering berkata bahawa orang bukan Melayu boleh memimpin Paksi dan menjadi Menteri Perdana asalkan dia Islam.
Tapi sekarang Paksi berkata calon pilihan rayanya tak perlu seorang Muslim. Ertinya siapa saja, baik yang beragama Hindu, Kristian atau pun Buddha boleh menjadi calon Paksi dan mengambil bahagian dalam kepimpinan Paksi, jika dia menang pilihan raya.
Bagi ayah keputusan kontroversi ini bukan saja mencetuskan kesan yang menarik kepada parti-parti pemerintah seperti Umco tetapi juga kepada seluruh kerabat pembangkang yang bersama Paksi.
Kesimpulannya hujah ayah begini: Paksi sudah bersedia menjadi lebih terbuka mengenai kepimpinannya dan identiti Islamnya dengan membuka pintu kepada kepimpinan bukan Muslim melalui pilihanraya.
Dan sorak ayah lagi― penuh kegembiraan, ini tentunya akan mencetuskan tindak balas ahli dan penyokong parti itu yang selama ini tegar mengenai agama Islam. Hah..betapa luar biasanya tesisnya ayahku. Luar biasa!
Kalaulah keputusan ini menjadi realiti, tambah ayah kemudiannya dengan semangat yang tepu, mereka terpaksa berkongsi kepimpinan dengan yang bukan Muslim kerana yang bukan Muslim ini juga mempunyai suara ke atas Islam iaitu melalui perwakilan mereka dalam cawangan legislatif!
Mat pening dengan hujah ayah. Mat dapat melihat betapa kentalnya putar dan belitnya, zalim-tragisnya cengkaman fahaman perkauman itu dalam diri ayah. Ayah gementar dengan Islam yang universal. Begitu gentar sekali gementarnya.
Kasihan ayahku, masih jua terperangkap. Masih lagi belum bersedia untuk keluar bebas dari cengkaman kepompong Islam ritual. Islam yang wujudnya hanya tatkala berada dalam masjid. Orang Islam yang pengertian Islamnya berpusar sekitar kefahaman bahawa ‘sembah yang’ itu penyelak peluang untuk mengebas kasut! Kasut yang ditinggalkan di luar masjid. Inilah kelompok Islamnya ayahku.
Ayah, bila lagi ayah mahu bebaskan diri ayah? Bila mau bebaskan diri ayah dari jerat perkaumannya Umco?
No comments:
Post a Comment