Gerakan Mahasiswa: Lebih berselera menongkah arus
Mahasiswa sebagai kelompok manusia yang rata-rata muda remaja membawa bersamanya cop atau brandnya yang tersendiri: Sang idealis yang kadang kala kelihatannya tergesa-gesa. Jika memungkinkan, dia mahu mengubah dunia dan persekitarannya, esok. Begitulah geloranya jiwa sang mahasiswa.
Itu tanggapan orang tua, generasi lama yang satu ketika dulu mungkin juga pernah mengharungi kehidupan yang serupa ― sebagai mahasiswa. Itulah dunia saya dalam tahun 70an di kampus Bulak Sumur, Gadjah Mada, Yogyakarta, Indonesia.
Ketika itu terdapat beberapa orang teman, kebanyakannya mengikuti pengajian dalam bidang sains tulen seperti kimia, matematik, fizik dan biologi. Apabila kembali ke tanah air, ramai yang terus berkecimpung dan bergelumang dalam bidang keilmuan kerana rata-rata mereka menjadi pensyarah di pelbagai universiti tempatan kita.
Di Jogja ketika itu, untuk para mahasiswa Malaysia, baik yang ditaja pemerintah maupun yang ‘ditaja’ ibu bapa, terdapat dua buah persatuan mahasiswa, HMPI, Himpunan Mahasiswa dan Pelajar Islam (?) dan PKPMI, Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia, sebagai pilihan. Setidak-tidaknya itulah teorinya. Namun begitu untuk para pemegang biasiswa (JPA dan juga MARA), mereka ‘dinasihatkan’ menyertai PKPMI.
Walaupun gerakan kemahasiswaan di Jogja ketika itu, boleh dikatakan sangat jinak dan sama sekali tidak mengancam, namun proses dan prosedur pengawasan dan pemantuannnya tetap dirasakan. Sebab utamanya mungkin juga kerana ada persatuan mahasiswa yang sesekali dikujungi para pemimpin Pas. Mungkin ini yang diberikan perhatian oleh kerajaan BN ketika itu.
Setelah meredah kehidupan ini sebagai pelajar, penjawat awam dan tentunya selamanya sebagai seorang rakyat dan manusia, persoalan yang sering menarik perhatian saya ialah:
Apakah sikap pemerintah terhadap gerakan kemahasiswaan ― berpihak dan mendera@menghukum penentang ― pernah berubah?
Satu lagi persoalan yang tidak kurang menarik ialah: Apakah para mahasiswa benar-benar terpengaruh oleh gerakan-gerakan mahasiswa semasa di universiti sehinggakan sepanjang hayat, mereka kekal dan tidak berubah pendiriannya: Taat kepada kerajaan atau sentiasa menentang kerajaan?
Apakah strategi dan kaedah mengongkong, mendera ini kekal berkesan? Ertinya para mahasiswa yang dipaksa untuk tunduk kepada pemerintah dan kemudiannya menjadi penjawat awam, benar-benar dibersihkan pemikirannya sehingga sentiasa ‘taat dan patuh’ kepada kerajaan?
Mungkin persoalan yang lebih utama ialah:
Untuk satu masa yang cukup panjang, apakah pendekatan seperti ini baik dan tidak merugikan negara? Pendekatan menyisihkan, mendera, menghukum mereka yang berbeza pandangan dengan kerajaan itu, satu kerja mulia yang diredhai, dunia akhirat?
Tidakkah pemikiran bahawa ‘kerajaan itu maha tahu dan berbuat yang terbaik untuk rakyatnya’ itu sangat fatalistik?
No comments:
Post a Comment