(Mat J 3/8jun2010): Kisah yang kita paparkan ini hanyalah khayalan semata-mata, dan ia tak ada sangkut pautnya dengan yang hidup maupun yang telah kembali ke alam abadi...)
Mat J dan perjuangan bangsa
Tuan-tuan, puan-puan hadirin yang dihormati sekalian, sesungguhnya saya amat gementar berdiri di sini, di hadapan tuan-tuan ― memang cukup gementar. Bayangkan berdiri di depan tuan-tuan untuk menyatakan rasa syukur dan terharu, sedih dan gembira kerana satu peristiwa yang cukup bermakna dalam kehidupan kita sebagai satu bangsa. Bayangkanlah, kelangsungan satu bangsa merdeka.
Apakah layak saya nyatakan bahawa sayalah anak seluangnya yang dilambung ombak Laut China Selatan itu? Mungkin ada dalam kalangan yang hadir hari ini begitu meluat lantas mencemuh geram, mencemuh sikap tidak masuk akal saya yang keterlaluan berlebih-lebihan – kau keterlaluan Mat, keterlaluan! Ya, saya akui sememangnya saya bukanlah anak seluang Kuala Sedeli itu, saya hanyalah Mat J yang dilontar ke atas pentas oleh para pelakar takdir, takdir seorang anak muda tercicir, seorang drop-out yang juga bercita-cita besar mahu meninggalkan jejaknya di pantai sejarah. Sejarah sebuah bangsa. Itulah saya. Biar betapa pun terlalu kecilnya dan jauhnya saya, namun mimpi saya untuk menjadi anak seluang yang terhumban, terlalulah besar.
Terus terang saya juga kepingin merasakan asin lautnya. Apakah cita-cita sebegini keterlaluan walaupun untuk seorang yang tercicir?
Mat terhenti. Lama Mat J berhenti mengetik. Di layar, benda Allah itu, aksara itu (?) masih lagi berkelip-kelip menantikan suapan abjad seterusnya. Sesekali dirasakannya garis hitam tegak lurus sepanjang kuku jari kelinkingnya, tak ubah seperti anak ikan sesat yang tercungap-cungap kekurangan oksigen, anak ikan yang menanti dan terus menanti bekalan oksigennya. Insangnyalah yang pejam dan celik terus saja meminta nyawa...
Tak mungkin aku muncul dengan teks sebegini. Mereka pasti menghidu hanyir tengik kepura-puraannya. Makanya teksku ini perlu datang dari lubuk makna, dari yang namanya batin itu. Lubuk jauhari yang menyuluh seluruh jati diri seorang Mat J. Aku juga perlu buktikan bahawa yang mahu diangkat sebagai pemimpin besar negara itu mestilah dari kelas dan kelompok yang telah ditulis takdirnya. Bukan semua yang bercita-cita menjadi pemimpin besar pasti berjaya mencapainya. Bukan. Mat J ada peranannya menentukan itu semua ― walaupun dengan menmanfaatkan kaedah saluran paling busuk dalam seluruh jasad seekor binatang.
Benarlah yang menjerit, yang meraung adalah jerit pekik ngilu persoalan besarku selama ini. Persoalannya pokoknya ialah apakah aku berjaya melanjutkan pelajaran setelah kandas di universiti yang didanai institusi penjaga tenaga terunggul dalam sejarah negara ini. Institusi negara yang telah diamanahkan untuk mengawal dan menjana elektrik negara agar keuntungannya dapat dinikmati rakyat jelata. Bukan keuntungan yang dilahap-kebas IPP, Independent Power Plant sepertimana yang diagih-agihkan oleh seorang mantan. Ya, itu stesen penjana elektrik bebas yang disedekahi nikmatnya oleh seorang mantan. Aku fikir....
Mat J terkejut. Di kaca tv mereka semua muncul di KLIA seperti katak menunggu kelkatu. Mereka sedang merayakan wira yang tidak ditembak Israel. Wira yang belayar untuk memberikan makanan kepada penjara besar di Gaza. Mereka semua mesti segera muncul sebagai hero yang prihatin.
Rakyat mesti melihat semuanya sepertimana rakyat mesti melihat drama pentas saluran Mat J, salurannya sekarang ini. Sungguh luar biasa para pelakon handalan ini. Mat J tersenyum lebar. Sungguh luar dari kebiasaan, fikirnya.
Entah kenapa, masih terasa lagi geseran itu jauh di dalam salurannya, geseran plastik. Mat J juga tertanya-tanya, apakah plastiknya tidak larut sepertimana yang telah dijanjikan, masih jua belum larut-larut? Seksa juga rupa-rupannya diganggu plastik yang tidak larut ― lebih memerihkan seksanya menahan bukti selama dua hari tiga malam.
No comments:
Post a Comment