1.0 Tentang kecintaan kita terhadap ilmu dan budaya
Ada beberapa contoh yang boleh kita petik untuk renungan bersama. Antara lain kita temui:
i) Rungutan dan keluh kesah yang tidak pernah reda para artis kita, meratapi bagaimana karya (baca: titik peluh halal) mereka terus-terusan dirompak dan bagaimana keadaan ini sekian lama berterusan. Segala ‘sistem dan prasarana’ yang wujud seakan-akan tidak mampu membendung tragedi ini ― sebuah contoh ‘ketidakterdayaan’ yang begitu menakjubkan.
ii) Dalam sebuah parti politik Melayu ulung negara kita, peristiwa seorang profesor tidak dipilih untuk menjadi ahli perwakilan Bahagian bukanlah terlalu luar biasa. Agaknya ahli-ahli parti itu memiliki kriteria-kriteria tertentu lain untuk memilih wakil mereka. Mungkin calon-calon yang mengalahkan sang profesor jauh lebih bijaksana. Mungkin. Bukankah politik itu seni memungkinkan segala peristiwa yang aneh-aneh?
iii) Di ibu negara kita, ada sebuah dewan yang dalam bahasa Inggerisnya digelar Selangor Chinese Assembly Hall (SCAH). Ia mercu tanda istimewa di jantung ibu negara kita, Kuala Lumpur. Adakah yang seumpamanya ‘milik’ masyarakat Melayu di negara kita? Kenapakah agaknya begitu jadinya?
iv) Terdapat begitu banyak khazanah yang dikumpul@dihasilkan oleh para penulis-sasterawan-budayawan kita. Azizi Abdullah khabarnya menghantar miliknya ke Perpustakaan Negeri Kedah. Namun berapa banyakkah khazanah-khazanah sedemikian yang masih ada di negara kita, lebih-lebih lagi khazanah milik para sasterawan besar kita? Kalaulah di zaman sebelum merdeka kita menuduh penjajah yang merompak pusaka yang ditinggalkan nenek moyang kita, setelah merdeka, siapa agaknya yang membenarkan khazanah kita ‘berhijrah’?
Contoh-contoh di atas, antara lain menunjukkan bagaimanakah sikap dan perhatian kita, terhadap isu-isu budaya dan ilmu:
Karya para artis dirompak kerana itu adalah lombong untuk para pelombong dan cukong-cukongnya. Ya, kita memiliki struktur dan prasarana undang-undang lengkap dengan penegaknya. Kalaulah segala prasarana seperti ini tidak terdaya membetulkan keadaan, apakah masalah utamanya? Apakah yang boleh kita baca@simpulkan?
Sang profesor tidak terpilih mungkin kerana beliau tidak bijaksana menggunakan ilmunya. Yang jelas ilmunya lebih berguna di tempat lain, tempat ilmu dihargai selayaknya. Kalaulah orang yang bijak-bijak dan layak tidak lagi angkat menjadi pemimpin, apakah pula masalah utamanya?
SCAH dipetik sebagai contoh bukannya kerana ingin menari mengikut gendangnya Perkasa. Bukan. Lihatlah sudut positifnya: Bagaimana satu kaum itu menghargai budaya, ilmu dan jati dirinya. Ya, di negara kita, orang-orang Cina umumnya jauh lebih kaya daripada kaum-kaum lain. Apakah itu satu-satunya sebab kenapa mereka berupaya mengwujudkan tempat untuk berkumpul dan berbudaya?
Kalaulah para pemimpin Melayu abad lalu yang sekian lama menjadi tunggak kepimpinanan negara kita yakin bahawa balai-balai raya sudah cukup untuk meraih undi, agaknya itulah saja yang terdaya kita miliki sekarang ini ― balai-balai raya.
Ya, terdapat banyak sebab kenapa semua ini berlaku.
Namun sikap tidak acuh dan tidak pedulikan ilmu dan budaya bangsa yang kita tunjukkan amat memilukan. Tentunya kita boleh menuding jari kepada orang lain― khususnya pemerintah yang telah kita pilih, untuk memimpin kita (atau memerintah?) sejak merdeka sebagai penyebab utamanya. Tapi apakah untungnya?
2. Beginikah sikap para sasterawan tulen kita?
Dalam konteks ini, kita lebih cenderung melihat seluruh peristiwa seperti ini, kepada kelompok manusia yang terbaik posisi@kedudukannya untuk menyedarkan masyarakat, iaitu para penulis atau para sasterawan kita.
Lincahnya ketajaman mata pena seorang sasterawan, tidaklah sama dengan kelincahan ketajaman belati seorang pakar bedah jantung. Sasterawan ‘tulen’ pasti membedah jantung nurani bangsanya. Ke mana perginya sasterawan-sasterawan itu? Sibuk mencari Melayu@Jawa Suriname yang telah dipaksa menjadi buruh ladang oleh penjajah?
Ke mana perginya para sasterawan ‘tulen’ kita dalam isu seperti isu khazanah A. Samad Said ini? Di manakah bisikan berbisa mereka?
Mungkinkah khazanah-khazanah yang tidak boleh kita ‘selaraskan’ dengan wang ringgit itu, yang sekian lama dikumpul oleh SN A. Samad Said juga bakal berhijrah?
Bukankah mereka ini ― para sasterawan besar dalam gabungan yang besar pula adalah profesional yang paling wajar@afdhal ke depan? Atau ini semua hanyalah masalah peribadi seorang A. Samad Said dan sebuah pemerintah?
Sungguh bertuah anak, cucu dan cicit kita kerana berdatuk-nenekkan sasterawan yang paling berbisa bisikannya!
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment