Sikap sebenar sasterawan kita (III)
1.0 Yang disentuh dalam Bahagian I dan II.
Kita bermula dengan premis yang mudah-jelas, iaitu mahu melihat bagaimanakah sewajarnya ‘sikap sebenar sasterawan kita’. Kita mahu mencadangkan posisi seperti apakah yang paling waras dipilih oleh sasterwan kita. Kita ingin menyatakan bahawa sasterawan kita mestilah memihak kepada kebenaran. Kenapa perlu begitu? Sebagai sasterawan, dia tidak ada pilihan lain ― tidak ada, kecuali berjuang dengan berpaksikan kebenaran.
Dalam menikung liku-liku perbincangan itu, maka kita masuki pelbagai lipatan peristiwa: Dari cerita khazanah seumur hidup seorang SN Datuk A Samad Said dan sikap Datuk Seri Menteri terhadapnya, kita memasuki daerah-daerah yang namanya tanggungjawab, profesionalisme, sikap dan pendirian para penjawat awam terhadap isu-isu politik dan prinsip ‘loyal only to the government of the day’. Kita jelajah pelbagai ceruk persoalan kerana kita ingin menyatakan: Bahawa keadaan kita tidaklah begitu memuaskan.
Kita merdeka kira-kira setengah abad yang lalu. Untuk sesebuah negara, ini masih muda. Namun itu bukanlah alasan kenapa kita tidak perlu bimbang dan risau. Walaupun arah perjalanan kita sejak tahun 1957 itu, tidak begitu tepat dan cemerlang, namun kita benar-benar tersesat dan kehilangan arah akibat kemelut yang kita cipta dalam tahun 1998.
Sejak itu kerosakan apa saja yang tidak kita saksikan? Kita telah saksikan semuanya: Dari kehakiman, kepolisian, pencegahan rasuah (dari BPR ke MACC), SPR dan pelbagai institusi/jabatan lain yang kita miliki. Mutakhir perkhidmatan awam juga mulai diragui tahap profesionalismenya.
Apakah semua ini belum lengkap?
2.0 Sasterawan sebagai elemen penting dalam neraca ‘semak dan imbang’
Tentunya ramai yang mengharap agar para sasterwan kita berbeza daripada segala manusia yang lain. Mereka, para sasterawan kita ini, istimewa kerana (katanya) mereka lahir dan wujud untuk menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan. Di samping itu sasterawan sebagai insan yang peka (baca: bukan pekak) dengan persekitarannya, bertanggungjawab untuk menegakkan suara hati nuraninya.
Pendek kata, sasterawan sentiasa memihak kepada yang haq dan menentang kejahatan. Dan kaedahnya ialah dengan bertukang lewat bahasa dan pemikirannya yang tajam lagi bernas. Itulah pedang mereka di medan juang.
Bagiamana jika tinjau peranan sasterawan ini dengan bertanya. Mislanya, kita bertanya:
Apakah maknanya dan kaitannya profesionalisme dan sasterawan?
Tidakkah etika lebih tepat jika dibandingkan dengan profesionalisme?
Apakah masalahnya dengan pendirian sasterawan kita sekarang ini?
Apa ― buruk sangatkah sikap sasterawan kita sekarang ini?
Betulkah sikap sasterawan kita, rata-rata, ― (terlalu) buruk?
Apakah sasterawan saja yang perlu ke depan dalam isu-isu membetulkan kemelut ‘kebobrokan’ negara?
Kenapa pula sasterawan yang perlu ke depan?
Dalam konteks perlu ke depan ini, apakah hebat@istimewanya sasterawan jika dibandingkan misalnya, dengan seorang jurutera, sehingga sasterawan yang mesti di depan?
Bagaimanakah sikap ‘benar’ atau sikap sepatutnya seorang sasterawan itu?
Kenapakah sasterawan perlu menyatakan sikapnya yang sedemikian?
No comments:
Post a Comment