Ya, apakah sasterawan itu ‘sama tarafnya’ dengan ulamak?
Atau apakah seorang sasterawan itu lebih mirip dengan penjual ubat kuat di pasar-pasar malam?
Sebenarnya bentuk-bentuk soalan seperti ini lebih rendang dan mencakupi pelbagai bidang, termasuk bidang bukan-sastera.
Contohnya: Bukankah ada orang yang membuat pernyataan bahawa ‘yang itu doktor panadol’. Atau ada orang yang bercerita tentang doktor yang mudah memberikan sijil sakit. Sekarang ini, ada juga ‘ulamak’ yang digelar orang seakan-akan ‘ular dalam semak’.
Demikian juga Jurperunding ― sentiasa saja bermain dengan angka, seperti angka yang menunjukkan kadar alir puncak luahan sungai, atau angka yang menunjukkan faktor keselamatan tembok konkrit atau angka yang menceritakan kestabilan cerun bukit yang telah ditarah licin.
Tidak ketinggalan, para pakar ekonomi pula misalnya juga bermain-main dengan KDNK, GDP dan segala macam ‘datuk-nenek’nya indeks, biasanya muluk-muluk belaka. Sayangnya kadang-kadang angka-angka ini ternyata semakin keras dan kaku.
Oleh para politikawan, angka adalah petunjuk prestasi ekonomi. Petunjuk yang tak juga mampu mengisi perut si melarat du Ulu Tembeling.
Apakah maksud semua ini? Maksudnya, apabila seseorang profesional itu berhenti menjadi ‘profesional sejati’ ― yang namanya profesionalisme itu tergadai. Sang profesional telah menggadaikan jati dirinya dengan menggunakan profesionnya. Inilah penyakit yang telah lama menyerang kita. Ramai dalam kalangan kita telah lama berhenti menjadi ‘profesional sejati’.
Kita yang doktor, kita yang penjawat awam, profesor, jurutera, hakim, guru, kerani, pemandu atau jaga telah gagal mempertahankan tanggungjawab kita untuk menegakkan profesionalisme masing-masing.
Untuk apa cerita-cerita di atas ini? Cerita-cerita yang perlu sebelum kita benar-benar terlambat. Sebelum terlambat, kita perlu lakukan sesuatu sekiranya kita ingin melihat sesuatu yang positif terjadi. Kenapa?
Kegawatan kita nampaknya telah sampai ke tahap yang sangat membimbangkan. Kini, sudah terpacul cadangan agar negeri-negeri yang diperintah oleh kelompok yang bukannya dari kerajaan pusat, melantik pegawai undang-undang dan setiausaha kerajaan negeri masing-masing. Kenapakah hal ini berlaku? Katanya kini terdapat para penjawat awam yang taat dan hanya setia hanya kepada tuannya yang lama.
Dengan berbuat demikian mereka telah menggusur total prinsip ‘loyal to the goverment of the day’ atau ‘taat dan patuh hanya kepada kerajaan yang memerintah’ (baca:dipilih rakyat). Prinsip ini ternyata perlahan-lahan, tetapi pasti kian terhakis dan bakal lebur. Kenapa terajadi begini? Ada yang secara sedar dan sistematik, telah memusnahkan ketinggian martabat profesionalismenya sendiri.
Sebenarnya prinsip taat dan setia hanya kepada pemerintah yang sah dipilih rakyat ini, kita warisi daripada penjajah. Konsep Westminster ini sememangnya cukup ‘gentleman’. Maka apabila ada yang secara olok-olok atau pun serius bertanya: Apakah kita tidak maju jika masih terus terjajah? Perkara pertama yang terlintas dalam benak ialah kemelut dan kacau bilau yang kita harungi sekarang ini.
Katakanlah kita masih dijajah, apa akan ada penjawat awam seperti SUK atau SFO misalnya yang menentang tuannya? Dalam konteks sekarang ini, siapakah yang penjawat-penjawat awam ini tentangi? Mereka mengampu tuannya yang lama atau pun sebenarnya rakyatlah yang mereka tentang?
Apakah maknanya? Prinsip ‘loyal to the government of the day’ itulah yang sepatutnya dan sentiasa dijadikan tunggak profesionalismenya, bukannya memilih untuk menyebelahi tuannya yang lama yang telah ditolak rakyat!
Di negara kita ini, siapakah yang telah menghancurkan konsep ini? Penjajah British? Perlu diingat, peralihan kuasa di Great Britain berlaku sepanjang masa, namun tak pula kita dengar kisah conservative misalnya membawa Queen Elizabeth untuk menawan Scotland. Tak ada. Kenapa?
Rasanya jawapannya terletak kepada tinggi-rendahnya nilai budaya sesuatu bangsa itu. Bangsa yang berbudaya tinggi, jauh lebih profesional dalam segala kerja buatnya. Mereka yang datangnya dari kelompok negara-bangsa berbudaya tinggi, adalah bangsa yang kenal undang-undang dan peraturan. Bukan itu saja, mereka, tanpa kecuali termasuk kelompok elit pemerintahnya, juga mematuhi undang-undang yang mereka gubal.
3.0 Apakah peranan sasterawan tulen itu?
Mungkin ada yang ingin tahu: Apakah dan adakah takrif ‘tulen’ atau ‘palsu’nya seseorang sasterawan itu?
Kita tinggalkan dulu persoalan dan cerita ‘takrif’ ini.
Mari kita jawab soalan di atas dengan senarai soalan, misalnya ― seperti berikut:
Dalam konteks sedia ada, apakah tanggungjawab seorang sasterawan (kelas tulen) itu?
Dengan latar seperti dilakarkan di atas, apakah pilihan yang ada pada sasterawan?
Apakah kita juga lebih afdhal ikut turut untuk bersama-sama gerombolan?
Kenapa? Adakah itu semua disebabkan oleh kehendak ‘realiti’ di sekeliling kita?
Realiti: Bahawa kita juga perlu dan mesti menjadi pelahap hak rakyat?
Dengan berbuat demikian, apakah harga yang perlu kita bayar?
Mau kita humban ke mana harga diri, jati diri kita sebagai sasterawan?
Wallahuaklam.
Kita bertemu lagi, insyallah.
No comments:
Post a Comment