Wednesday, July 21, 2010

Mencari suara sebenar sasterawan kita

1.0 Kuasa, kebenaran dan kebebasan: Di manakah sasterawan kita?

‘Pergeseran’ terbuka di antara SN Datuk A Samad Said, Pak Samad dengan Menteri Penerangan dan Kebudayaan, Datuk Rais Yatim berhubung koleksi peribadi Sasterawan Negara itu dan proses ‘pembelian’nya oleh pihak kerajaan, menimbulkan pelbagai persepsi. Kita telah sama-sama ikuti kritikan keras@kasar sang Menteri dan lantunan bidasannya oleh Pak Samad.

Sebagai individu, tentu saja kita boleh berhujah ― membela atau menentang, baik SN maupun Menteri. Tidak mengapa. Marilah kita sama-sama hormati kebebasan insan merdeka memerdekakan buah fikirannya. Sokonglah dan berhujahlah untuk siapa saja.


Mungkin dalam keadaan yang wujud sekarang ini ― di negara ini, akhirnya yang ‘menang’ adalah kuasa dan perengkuhnya. Biarkan. Tidak mengapa. Biarlah perengkuh kuasa menjilat nikmat ‘kemenangan’nya. Tak mengapa. Percayalah bukannya mudah untuk menginsankan kuasa ― apatah lagi kuasa yang semakin liar dan ganas.


2.0 Sikap sasterawan kita selama ini dan akibatnya

Dengan latar di atas, kita ingin mengajak para sasterawan merenungi sikap dan pendirian masing-masing dalam hal-hal yang sangat asas@fundamental bersabit dengan penglibatan mereka dalam dunia kesusasteraan. Ya, perkara yang paling fundamental@asas: Kenapakah mereka memilih untuk menjadi sasterawan?

Atau dengan bahasa yang sedikit ‘religius’ (mungkin ini tidak begitu digemari Rahman Shaari), apakah niat mereka menjadi sasterawan?

Sampai di sini, bolehkah kita teruskan dengan bertanya: Apakah keterlaluan jika kita katakan bahawa dunia kesusasteraan itu mulia dan suci? Apakah mungkin ‘kemuliaan’ seseorang sasterawan itu setara dengan seorang ulamak? Mungkin. Bagaimanakah jika kita katakan bahawa ‘sasterawan’ (yang bertukang dengan menggunakan kemahiran penguasaan bahasa dan segala ilmu bantu yang dimilikinya itu), sebenarnya tidak jauh bezanya dengan tukang ubat palsu di pasar-pasar malam dan di kaki-kaki lima?

Apakah sikap sebenarnya sasterawan kita selama ini?

Dengan soalan-solan di atas, kita mohon berundur buat sementara waktu.

Nuwun...Mohon pamit Pak.

No comments: