Pak Samad: Pengajaran Pertama — Betapa rekod itu maha penting (I)
Kisah Pak Samad muncul lagi. Atau lebih tepat kisah Sasterawan Negara, Datuk Samad Said dan birokrat penguasa muncul lagi. Kali ini, kisahnya ada sangkut pautnya dengan khazanah yang dikumpul Pak Samad sepanjang beliau berkarya. Separuh daripada khazanah itu telahpun ‘dibeli’ oleh birokrat penguasa dengan harga sekian-kian.
Persoalan ‘harga’ yang telah dibayar penguasa, kaedah dan budi bicaranya sang Menteri Budaya itu menjelaskan betapa benar, besar dan bertimbang rasanya sang penguasa, tatkala berurusan dengan rakyat jelata juga, dikatakan menjadi salah satu daripada puncanya. Mungkin, itulah tingkahnya orang-orang politik dengan segala kuasa politiknya, mengurus rakyat jelatanya. Mungkin juga orang-orang politik lebih selesa bertindak mengikut bahasa dan pencak politiknya.
Untuk pembaca yang masih meraba-raba apakah isunya dengan mukadimah ini, sila rujuk Harakah bilangan 1557 bertarikh 7 – 10 Syaaban 1431, bersamaan 19 – 22 Julai 2010, halaman F5 (Fikrah F5). Tajuk wawancara Tarmizi Mohd Jam dan Intan Abdullah itu berbunyi: “A Samad Said jawab ulasan keras Rais Yatim.”
Walaupun terdapat pelbagai isu yang boleh kita baca, kupas dan bentangkan untuk manfaat bersama, kita tidak akan membicarakannya.
Kita ingin melihat bagaimana seorang sasterawan itu merekod kerjanya. Itu yang ingin disentuh dan direkodkan untuk tatapan kita bersama.
Dalam Anugerah Kualiti Perdana Menteri untuk sektor awam, salah satu kriteria yang dinilai ialah bagaimana sesebuah institusi awam itu mendokumen atau merekodkan dokumennya. Tidak kurang pentingnya ialah bagaimana rekod-rekod ini disimpan dan kaedah yang digunapakainya untuk memastikan proses memperolehinya semula (retrieval) mudah dan berkesan.
Dalam konteks ini, kita tidak perlukan teori yang berjela-jela kenapakah aspek ini sangat penting kepada sesebuah institusi, agensi atau jabatan kerajaan. Bagaimana pula dengan sebuah negara yang katanya merdeka, berdaulat dan berdarjat? Apakah ini tidak penting kepada sebuah negara?
Mari kita lihat satu dua contoh. Contoh pertama. Ada sebuah agensi negara Jepun, JICA namanya yang banyak memberikan bantuan untuk pelbagai kajian di pelbagai negara-negara. Negara kita Malaysia, juga tidak ketinggalan. Salah satu dokumen yang menjadi rujukan kita sehingga ke hari ini ialah kajian sumber air negara kita. Rekod ini dirujuk oleh siapa saja yang ada urusannya dengan sumber air. (Siapakah yang tidak perlukan air dalam kehidupan ini?).
Apakah tidak keterlaluan jika kita berfikir bahawa orang-orang Jepun tentunya lebih mengetahui tentang Malaysia daripada kita mengetahui negara kita sendiri. Kenapa? Kajian yang dibuat tentang Malaysia itu banyak sekali. Cukup banyak. Ingat peristiwa sebelum Perang Dunia Kedua, bagaimana katanya ramainya para penjaja ‘Jepun’ memasuki ke merata kampung untuk berjaja? Saya yang lahir enam puluh tahun yang lalu, mendengar cerita-cerita ini. Mungkin yang berusia 70an telah menyaksikan sendiri peristiwa-peristiwa ini. Tentera Jepun menyamar untuk menyerang kemudiannya.
Contoh kedua. Dalam zaman penjajahan, para jurutera British, katanya kebanyakannya orang-orang Scot, yang berkerja dengan Drainage and Irrigation Department, kerap merekodkan nota kejuruteraan mereka. Mereka betul-betul berkongsi nota sesama mereka. Nota-nota inilah yang menjadi asas DID Manual yang tersohor itu.
Ikhtibarya? Manusia yang maju (perhatian, perhatian...maju budaya juga, bukan prasarana saja) tidak pernah mengabaikan khazanahnya.
Maka soalan kita ialah: Berbudayakah kita?
Janganlah tuan cuba bergurau senda. Berbudaya?
Dengan Pak-Pak Lawak dalam — seluruh jaringan kehidupan kita sekarang ini?
Dengan contoh-contoh seperti ini:
Mufti yang ghairahnya mahu menjadi orang tengah! (Cuba berikan kami fatwa rampasan kuasa di depan mata kamu itu. Cuba! Kami ingin dengar). Betapa lawaknya orang-orang beragama seperti ini. Itulah sebabnya kenapa René Descartes begitu membenci sekolah Jesuitnya — La Flèche!
Teori lawak profesor-profesor Melayu, bahawa orang-orang Melayu berpecah belah kerana tak bernaung di bawah ketiaknya penguasa.
Persatuan Penulis-Penulis besar pengampu yang tugas utamanya menternak teknik dan kaedah mengampu.
Dalam suasana yang sebegini kacau dan meresahkan itu, apakah tuan fikir birokrat penguasa dapat melihat siapakah Pak Samad itu?
Insyallah, kita akan ambil satu contoh kecil, bagaimana yang namanya Samad Said itu merekod proses kreatifnya. Itu pemerhatian seorang manusia — jauh di pinggir arena.
No comments:
Post a Comment