Ya, benang-benang itu
Imej-imej yang disatukan untuk paparan kotak minda masih lagi kabur-kabur. Faktanya begini: Ada seberkas benang basah kuyup berselerak di atas lantai. Benang-benangnya mungkin telah direndam atau mungkin juga disimbah air entah oleh siapa, tidak pula yang ketahui. Pedulikan. Yang penting benang-benang itu kuyup semuanya.
Lalu ada arahan dikeluarkan. Minta ditegakkan benang-benangnya.
Maka ramailah para penasihat yang dikumpulkan untuk memberikan nasihat. Ada yang menggunakan pendekatan di luar kotak dan tak ketinggalan ― ramai juga mendekatinya di luar otak:
Saksi itu terlalu panik lalu, bunuh...
Remaja itu memandu tanpa lesen, bersenjatakan parang, maka amat ketakutan lalu...
Demi darurat kubatalkan niat ke sungai. Bimbang juga kalau-kalau buktinya hanyut.
Jangan bimbang, harga barangan kita masih terbaik di rantau ini. Dan wang kertas RM 50 terasa semakin susut ― nilainya. Sementara Wak Leman di ceruk Parit Sulung, menghitung-hitung, apakah yang dapat kubawa balik dengan hasil tangkapan hari ini?
Ternyata mereka sememangnya tidak becus/kompeten menjadi pemerintah. Oleh sebab itu saban hari, kita perlu kirimkan seluruh soldadu baik dari Perkasam, GPMS, SPR, Msisi sehinggalah ke penjawat yang bersimpati untuk meruntuhkan kerajaan yang sah, tapi tidak kompeten ini.
Kita pastikan fitnah mereka tidak didengar rakyat. Kita tidak perlu berhujah. Mereka juga jangan sampai dibenarkan berhujah. Shhusah jadinya. Kita gunakan senjata yang kita miliki. Akta Mesin Cetak itu sangat sesuai.
2)
Sampai di sini, bos menghalakan soalannya kepada pakar import, “Apakah kita telah tegakkan benang-benangnya?”
“Jangan risau bos, kita boleh lakukannya!” jawab sang pakar.
“Kita himpunkan sebanyak mungkin pendatang untuk mengundi” saran pakar bukan-diimport.
“Itu semua tak menjawab soalan kita. Bagaimanakah caranya kita tegakkan timbunan benang yang menggeletak ini?”
3)
“Senang Tuan. Senang saja. Kita pakai Viagra. Dan kalau mahu perisa produk tempatan, kita gaul saja dengan Tongkat Ali”
“Bijak kamu. Sungguh bijak!”
4)
Usahlah risau. Kita bakal terhibur dengan kisah-kisah benang-benang ini sehinggalah sepanjang hayat kita.
Wallahuaklam.