1) Manusia yang ‘gregarious’ (suka berkawan/bermasyarakat)
Manusia sebagai makhluk yang ‘gregarious’ (suka berkawan/bermasyarakat) kekadang mirip kumpulan kerbau. Mereka berkawan. Dan sebagai kumpulan kawan akrab, mereka sentiasa saja bersama. Jadi jangan pelik jika kerbau kerap mengubang berkumpulan. Kerbau ― yang sememangnya sangat gemarkan lumpur akan berkubang bersama-sama.
Sementara itu orang-orang Inggeris pula melihat telatah burung. Mengikut pengamatan mereka, burung yang sama bulunya, terbang bersama. Ya, betul juga. Masakan pipit diterima terbang bersama enggang.
Manusia sebagai ciptaan yang jauh lebih tinggi taraf ketamadunannya selangkah ke depan. Pastinya, sebagai manusia, tidak cukup jika mereka sekadar berkubang bersama. Itulah sebabnya kenapa para jurutera (baca: para ulama, doktor, ahli farmasi...) sebagai ‘orang-orang profesional’ yang memiliki ilmu yang ekslusif bergabung dalam badan yang katanya profesional pula.
Mereka bergabung untuk ramai-ramai bersumpah mahu menjaga profesionalismenya.
Dalam konteks ini, apakah agaknya tindakan terhadap ‘ulamak yang tidak profesional’? Ulamak yang duduk sepentas dengan tuan politiknya ― lalu membedal para lawan politiknya?
Apakah di sana, tidak ada lumpur yang terpercik....
2) Apabila proses ‘masuk Melayu’ menjadi sangat ekslusif ― apa jadi kepada yang Melayunya?
Akhir-akhir ini, apabila ada suara-suara yang sangat nyaring dan berdentum dentam bercakap tentang proses ‘masuk Melayu’ dan segala perkara yang berkaitan dengannya, kita pun sedikit terkejut.
Apakah suara-suara mereka yang telah ‘masuk Melayu’ ini tidak memalukan Melayu yang tidak pernah ‘masuk Melayu’ ini?
Ada dua soalan berhubung perkara ini:
i) Sekitar tahun 60an, ada orang yang menulis sebuah kitab tentang orang-orang Melayu dan segala kewalahannya. Orang ini kemudiannya diangkat oleh para pemujanya menjadi pemimpin besar negara kita. Dan tatkala menjadi pemerintah kita, orang ini pernah berfalsafah tentang sebuah negara yang bakal melonjak ― dalam acuan sendiri.
Ternyata, sehingga ke hari ini, orang ini masih lagi nyaring dengan proses ‘masuk Melayu’nya dan segala hal yang berkaitan dengannya. Apakah proses ‘masuk Melayu’nya belum cukup matang?
Mahu diapakan dengan kitab besarnya dan segala falsafahnya tentang wawasan negara besar itu?
ii) Ada yang sangat-sangat bertuah dalam kehidupan ini. Mereka (baca: termasuk kita) dianugerahi hidayah dan dengannya menemui nikmat iman. Syukur Allahamdulillah. Kita semua bersyukur dengan nikmat itu.
Tapi, entah kenapa, tiba-tiba saja rakyat yang katanya tidak mendapat hidayah dan tidak dapat mengecap nikmat iman itu (baca: yang tidak ‘masuk Melayu’) ― diserang bertalu-talu...
Kita pun amat terkejut: Apa jadi dengan pegangan agama syumul kita selama ini? Apakah itu sebahagian daripada lingkaran proses ‘masuk Melayu’?
3) Mereka dan kubang ekslusiviti mereka
Mereka adalah contoh orang-orang yang telah ‘masuk Melayu’― yang baru dan yang cukuuuup lama.
Mereka ― kelihatannya sangat teruja dengan idea Melayu yang ekslusif. (Atau apakah kita telah tersalah baca tanggapan mereka tentang Melayu dan agamanya?)
Atau, apakah tidak benar bahawa ini adalah di antara lumpur yang sering disimbah ke wajah dakwah kita?
Bagi kita, orang-orang ini ― wajar lebih kerap bersimpuh di Masjid Pulau Melaka.
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment