Friday, August 13, 2010

Sisa buangan, undang-undang,, kitaran semula dan bibit...

Dunia yang sarat dengan sisa-sisa buangan, membuat manusia menjadi lebih prihatin. Maka kita pun berkempen ― segeralah dikitar semula bahan-bahan yang wajar dikitar semula.
Lantas ada hari-hari tertentu ― dijadikan hari tanpa plastik.

Bukan semua bahan, elok dan sewajarnya dikitar semula. Kenapa? Di alam ini terdapat bahan-bahan yang telah lama luput tarikh sah laku@kegunaannya. Maka ia tidak lagi elok dikitar semula.

Berikut satu contoh satu: Rakyat dan pemerintah membiarkan kefahaman usang bahawa kuasa politik yang paling menentukan, dikitar semula

Pada permulaannya rakyat, ya, sesetengah anggota masyarakat ― entah mungkin didorong oleh keuntungan peribadi yang segera atau kerana sebab-sebab yang lain, membiarkan kuasa politik menjadi kuasa penentu@’raja’ dalam menyelesaikan segala masalah dalam kehidupan mereka.

Ini bermakna sebahagian rakyat jelata ini, melihat politik sebagai alat@lampu Aladin yang mampu membereskan semua masalah mereka. Rakyat yang keliru ini diberikan rangsangan bahawa jawapan kepada segala masalah mereka ialah via politik. Untuk itu mereka harus memiliki ‘tuan politik’ yang betul. Ini semua bukanlah baru, Chandra Muzzafar dan para sosiolog (?) telah lama bercakap/menulis mengenainya.

Masih bercakapkah Chandra?

Maka ‘politik’ ― mungkin kerana terlalu terbiasa, pun menjadi ketagih. Politik ketagih yang amat sangat kepada kuasa dan sokongan yang total@mutlak. Maka politik yang bejat pun mulai menggerogot apa saja yang ada di sekelilingnya. Rakyat yang apatis mungkin kerana pelbagai sebab membiarkan tragedi ini berterusan. Namun akhirnya sampailah tahapnya apabila menggerogot saja sudah tidak lagi memadai.

Tragisnya, lama kelama-lamaan politik pun merogol apa saja yang ada ― termasuk undang-undang.

Kini, zaman kita membiarkan politik memperkosa undang-undang telahpun berlalu. Ya, kita tidak boleh membiarkan tragedi-tragedi zaman silam, lebih-lebih lagi tragedi pascamerdeka, terus-terusan berlaku.


Kenapa?

Undang-undang mestilah mengatasi politik, bukan sebaliknya.


2) Isu-isu sintetik bersabit persoalan perkauman, agama dan raja, tidak akan berhasil menutup tengiknya masalah seperti kebobrokan sistem undang-undang.


Betapa pun bersusah payah pemerintah mencuba mengalih, memindahkan segala isu dan segala masalah yang dihadapinya kepada isu-isu sintetik perkauman, agama dan raja, dia tidak akan berhasil.


Dan undang-undang yang binasa kerana pemerkosaannya yang berterus-terusan tidak mampu melindungi segala masalah yang diciptanya. (nya=pemerintah).


Sistem perundangan yang melacur, membenih dan mengandung anak haram bakal melahirkan bibit jadah ― namanya anarki. Tatkala monster@jadah itu lahir, waktu itu segala aparat dan jentera yang ada dan segala yang dikuasainya (nya=pemerintah) tidak lagi mampu memperbaiki masalah kita. Oleh itu, kita tidak boleh benarkan jadah itu lahir!


Pemerintah yang hilang kelayakan moral untuk memerintah tidak akan kekal lama. Siapakah yang boleh menidakkan perjalanan sejarah umat manusia?


Dalam pelbagai wacana yang tidak semestinya hanya dalam kalangan khalayak undang-undang, kita sering mendengar para pemimpin, para pembicara berpesan, kira-kira begini:


Let us keep law and order high on our agenda ― for lawlessness breeds anarchy. A government which loses its moral right to govern will slowly, yet surely eventually lose its right to rule.


Apakah pesan ini tidak relevan buat kita, di negara ini?





No comments: