Monday, October 18, 2010

Kita telah membiarkannya berlaku

Catatan amal diterima dengan tangan kanan


i.  Mahkamah yang Abadi


Bagi yang Muslimin, mereka sering dipesan untuk mengingati Hari Akhirat ― satu hari tatkala manusia dihidupkan semula, dibicarakan, diadili dengan seadil-adilnya di hadapan yang namanya Mahkamah Akhirat.  Tatkala itu segala perbuatan manusia ― walaupun yang sebesar zarah sekali pun akan ditimbang dan diadili.  Ya, semuanya, walaupun sebesar zarah sekali pun ditimbang, dihalusi dan diadili dengan penuh saksama oleh Maha Pencipta.  

Selesai semua itu, mereka diberikan catatan amal masing-masing ― maka berbahagialah mereka yang menerima catatan amalnya dengan tangan kanannya...



ii.  Catatan manusia sebagai rekod


Entah sudah berapa kali, telah kita buka dan imbas buku tulisannya Tun Dato’ Haji Salleh bin Abas, bekas Ketua Hakim Negara yang bertajuk, “ Kebebasan Kehakiman – Singa di bawah takhta dijerat (satu kezaliman)”, Penerbitan Pena Sdn. Bhd, cetakan pertama Mac 1989. 

Satu ketika dulu, kalau tak salah ingat, terdapat entri di dalam blog ini yang memetik kata-kata aluan oleh Tun Hussein Onn, mantan Perdana Menteri.     

Ini menunjukkan bahawa memang tidak sia-sialah sekiranya kita (apatah jika ‘kita’ yang terlibat dan memainkan peranan yang cukup penting pula) merekod dan menyebarkan pengalaman yang kita lalui itu untuk dirujuk, diteliti dan diambil pengajarannya oleh cucu cicit ― generasi yang bakal menggantikan kita kelak. 

Buku Tun Salleh Abas ini salah satu daripada sekian banyak contoh dokumennya.

Setidak-tidaknya keturunan kita boleh mempelajari dan mengambil ikhtibar segala kesalahan yang telah dilakukan oleh datuk nenek dan moyang mereka, dan dengannya memastikan agar kesalahan yang sama tidak diulangi lagi.



iii.  Pemerhatian Tun Mohamed Suffian (dalam kata-kata sambutan buku ini)


“Mengapakah setiap negara yang bertamadun mendirikan Kehakiman (Juidciary) yang bebas yakni yang tidak boleh disuruh, diperintah atau dipengaruh oleh sesiapa pun waktu membicarakan mana-mana kes?

Kerajaan (Government) tiap-tiap negara yang bertamadun mempunyai tiga cawangan (branches): Parlimen iaitu Perundangan (Legislature), Pemerintah (Executive) dan Kehakiman (Judiciary).  Kuasa negara dibahagi-bahagikan antara tiga cawangan itu.  Kuasa membuat undang-undang (serta mengenakan cukai dan membenarkan wang negara dibelanjakan) diberikan kepada Parlimen.  Kuasa memerintah diberikan kepada Pemerintah (Executive).  Kuasa membicara dan memutuskan pertelingkahan antara Parlimen dengan Pemerintah diberi kepada Kehakiman.  Di Malaysia Kehakiman jua diberi kuasa membicara dan memutuskan pertelingkahan antara Pemerintah dengan Pemerintah, kerana Pemerintah Malaysia ialah persekutuan yang mempunyai 14 buah pemerintah, dan jua antara Pemerintah dengan rakyat.”  (halaman (xii)).


iv.   Di antara aspek lain yang menarik dalam buku Tun Salleh Abas termasuklah:


“Keadaan PM sebagai Presiden UMNO tergantung kepada keputusan kes rayuan UMNO 11; kerana ianya kedua-duanya.  Jika Mahkamah Agung memutuskan UMNO tidak haram, tetapi hanya pemilihan, maka UMNO (baru) yang beliau tubuh itu akan menjadi sia-sia dan beliau terpaksa menghadapi pemilihan semula.  Sebaliknya dengan wujudnya UMNO (baru) sebagai parti baru beliau boleh menyingkir ahli-ahli UMNO yang menentang,  di dalam proses pengambilan ahli.  Keputusan rayuan ini amatlah penting baginya dan bagi masa depan politiknya.  Sebagaimana telah dinyatakan betapa pentingnya rayuan itu Tun Mohd. Salleh mengarahkan supaya ia didengar di depan korum penuh Mahkamah Agung mengandungi 9 orang Hakim.  Ini mungkin tidak disukai oleh PM dan mengiyakan kenyataan Tun Mohd. Salleh bahawa PM menuduhnya berat sebelah terhadap UMNO.” 

(Halaman 245, teks oleh Manjeet Singh Dhillon, Setiausaha Kehormat, Majlis Peguam bertarikh 6 September 1988, di bawah tajuk “ 8. Tuduhun-Tuduhan Atau Tohmahan-Tohmahan  Terhadap Tun Salleh Mohd. Abas”)


v.   Dalam bab 10, “Epilogue” kita temui sepucuk surat seperti ini:


“Saya amat sedih sekali akan apa yang yang sedang berlaku di negara kita sekarang terutama apabila individu-individu tertentu telah membelakangkan kebenaran demi untuk kepentingan diri.  Ini termasuk beberapa orang hakim yang mengkhianati Y.A.A. Tun”

“Walau bagaimanapun insya-Allah saya percaya Allah akan tetap bersama orang-orang yang benar.  Tindakan Y.A.A. Tun sekurang-kurangnya telah membuka mata dan hati rakyat Malaysia khususnya orang-orang Melayu.”

Tandatangan M.N. AR
Kuala Lumpur.’

(Halaman 405)

 
vi.  Apakah pengajaran yang kita perolehi?


Banyak sekali pengajarannya,  jika pengajaranlah yang mahu kita petik dan timba dari episod yang amat duka ini:

a) Umno, sebagai sebuah parti tidak mampu bangkit untuk menentang kezaliman.  Umno membiarkan semua ini berlaku mungkin kerana si pemegang kuasa ketika itu sangat kuat (baca:zalim) cengkamannya. 

b) Kehancuran yang telah memusnahkan sebuah institusi itu tidaklah berhenti di situ dan ketika itu saja, iaitu tahun 1988.  Kita sedang menyaksikan episod sodomi terbaru.  Semua ini berlaku kerana kita membiarkannya.

c) Apakah “Tindakan Y.A.A. Tun sekurang-kurangnya telah membuka mata dan hati rakyat Malaysia khususnya orang-orang Melayu” benar-benar telah menyedarkan orang-orang Melayu?

d) Makhluk yang bernama manusia itu boleh saja khianat, walaupun terhadap rakannya yang paling karib sekali pun.  Kenapa?  Ya, demi untuk perolehi laba dunia yang sangat kecil itu.  Kita katakan kecil kerana kita membandingkannya dengan azab yang dijanjikan di Akhirat kelak.  Begitulah mudahnya manusia terpedaya oleh nafsunya. 

Di mata kasar,  orang-orang ini boleh saja dilihat sebagai manusia yang amat arif kerana ilmu hukum yang dipelajari tetapi hakikat sebenarnya, mereka ini kelihatannya tidaklah begitu ‘bijaksana’. 

Agaknya itulah sebabnya kita sentiasa diminta supaya mendengar hujah,  bukannya si pembawa hujah.  Seorang gembel mungkin saja lebih bijaksana daripada seorang Menteri.   

e)  Episod hitam ini boleh, dan sewajarnya diabadikan dalam bentuk dokumentari.  Dokumentarinya mungkin hanya sepuluh yang padat.  Setiap kali pelajar undang-undang,  di mana saja mahu memulakan kuliah undang-undangnya; dokumentari inilah yang ditayangkan oleh pensyarahnya.

f) Pada penggiat teater, terutama teman kita Dinsman, bilakah mahu didokumenkan/ diteaterkan episod ini?  Marilah kita berkampung selama satu bulan di Jalan Tuanku Abdul Rahman  sambil menadah tempurung kepada seluruh khalayak untuk mendapatkan dananya.

Rahmat telah mengabadikan peristiwa ‘Memali’.  Dinsman sewajarnya  mengabadikan episod ini untuk anak cucu dan cicit kita.   

Apakah kita tidak mahu abadikan episod yang penuh duka lagi celaka ini?






1 comment:

Anonymous said...

sdra,
buatlah tajuk besar teater tu; SI PIKUNLAH ITU.