Sunday, October 31, 2010

Menteri dan segala kuasanya

Apabila (hanya) Menteri yang menentukannya


Sebagai contoh yang jelas perihal betapa gagahnya peranan, pengaruh dan kesan berpanjangan sentuhan ajaib seorang menteri, marilah kita teliti PPSMI sebagai contoh.   

i.  Kenapa PPSMI diperkenalan

Kalau kita masih ingat, kemelut ini bermula apabila Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir Mohammad secara sendirian, unilateral telah mengarahkan supaya pengajaran dan pembelajaran pelajaran Sains dan Matematik itu dikendalikan dalam bahasa Inggeris.  Dasar yang sangat kontroversial ini dikenali sebagai PPSMI. 

Tujuan utama dasar ini diketengahkan, katanya,  ialah untuk memperbaiki mutu penguasaan bahasa Inggeris para pelajar kita yang rata-rata didapati lemah.  Maka untuk perbaiki keadaan, PPSMI dimulakan.

Perjuangan menentang PPSMI, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, oleh pelbagai kelompok yang bergabung dalam ‘Gerakan Mansuhkan PSSMI’, GMP telah mencapai kemuncaknya dengan demonstrasi jalanan besar-besaran pada 7 Mac  2009.  Empat tuntutan Gerakan tersebut ialah seperti:

Pertama: Daulatkan bahasa Kebangsaan
Kedua: Selamatkan bahasa ibunda
Ketiga: Tingkatkan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah
Keempat: Memansuhkan PPSMI.


ii.  Apakah yang telah terjadi dengan ke-empat-empat tuntutan di atas?


Ya, sejak turun ke jalan-jalan raya untuk berarak ke Istana Negara, apakah yang telah terjadi dengan PPSMI? Atau mungkin lebih tepat lagi, soalannya ialah: Apakah lagi rumus dan formula yang dikeluarkan demi untuk ‘memantapkan bahasa Inggeris’?   

Perhatikan senario berikut:

(a) Pak Samad, Sasterawan Negara ― Datuk A. Samad Said tetap percaya bahawa kerajaan Umno/BN sebenarnya tidak pernah memansuhkan PPSMI ― dasar itu sekadar ditunda. 

(b) Sebuah NGO, PAGE(1) tetap lantang mahukan bahasa Inggeris.

(c) Dalam pengumuman Belanjawang 2011, pakar-pakar bahasa Inggeris(2) dari ‘negara-negara orang putih’ akan ditempatkan di sekolah-sekolah kita.

Ini sekadar imbasan sepintas lalu apa yang telah berlaku dengan falsafah PPSMI dan segala peristiwa hilirannya,  sejak GMP 7 Mac 2009 itu.

(Alangkah baiknya jika perkembangan PPSMI ini dipantau kemajuannya dan hasilnya dibentang dan dibincang oleh khalayak). 


iii.  Kesan pelaksanaan PPSMI


Sekadar contoh, mari kita teliti senario/tanggapan berikut:


(a) Adalah tidak benar bahawa yang terlibat hanyalah dua buah mata pelajaran dan adalah tidak benar bahawa implikasi pelaksanaan PPSMI itu positif: Bahawa mutu penguasaan bahasa Inggeris bertambah baik.  

(b) Walaupun bahasa Melayu(3)/Malaysia sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah rendah dan menengah dan juga IPTA telah diamalkan sejak tahun 70an lagi, bukan semua lapisan masyarakat negara ini benar-benar akur bahawa bahasa Melayu adalah yang terbaik sebagai bahasa pengantar.  Terdapat dalam kalangan masyarakat, termasuk orang-orang Melayu sendiri yang berpendapat bahawa bahasa Inggeris mestilah diutamakan.  Oleh sebab alasan-alasan tertentu, secara diam-diam, suara-suara sebegini sebenarnya wujud. 

(c) Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi,  yang secara senyap maupun terang-terangan tidak begitu diyakini kewibawaannya, telah tumbang dengan PPSMI.  Kesan psikologi pukulan PPSMI terhadap bahasa Melayu ini adalah kecederaan yang amat serius terhadap bahasa nasional itu.  Kalaulah dulunya, kita melihat para pemimpin berleluasa berbicara dalam bahasa Inggeris di kaca-kaca TV, kini univeristi-universiti kita pula berduyun-duyun memasuki perlumbaan untuk memperkasakan bahasa itu di universiti masing-masing.  Bayangkanlah keghairahanya, pelajaran sastera Melayu juga diajar/ditulis dalam bahasa Inggeris dengan alasan ia perlu diantarabangsakan!

(d) Pelaksanaan PPSMI memberikan ruang dan peluang kepada kelompok yang tidak yakin dengan bahasa Melayu ini untuk menyatakan bahawa bahasa Inggeris mestilah ke depan di dalam sistem pendidikan kita.  Seperti biasa pelbagai hujah dan justifikasi boleh dan telah dibentangkan.

(e) Hujah, polemik dan politik bahasa Melayu vis-a-vis bahasa Inggeris ini tidak pernah tamat.  Untuk mendapat gambarannya, silalah rujuk misalnya, “Politik dan polemik bahasa Melayu” oleh Rustam A. Sani, Utusan Publications & Distributors, 1993. Bahagian II buku ini memaparkan pelbagai pandangan berhubung ‘Debat’ bahasa ini.    


iv.  Pengajaran daripada peristiwa PPSMI ini

Kita hanya ingin merumuskan peristiwa PPSMI ini begini:

Ia bermula dengan pandangan dan pemikiran seorang pemimpin besar kita bahawa bahasa Inggeris itu penting dan ini boleh diperbaiki dengan PPSMI.

Itulah yang telah berlaku ― kita terkorban kerana pemikiran yang besar.  Dan masalah pemikiran yang besar ini kini menjadi masalah kita bersama.  Anak-anak kita dipaksa melalui uji kaji sebuah pemikiran yang besar.  Dan masalah yang timbul akibat pemikiran besar itu akan terus bersama-sama kita.

Dalam budaya Melayu, ada cerita tentang tikus dan labu.  Lihatlah segala kesannya yang kita hadapi hari ini.  Labunya telah dirobek (baca: kata mereka, mereka perbaiki) oleh sang tikus.

Sekarang ada tikus yang lain (baca: seorang lagi Menteri) mahu perbaiki labu dengan membetulkan pelajaran ‘Sejarah’ anak-anak  kita.  Apakah kita sedang lalui PPSMI versi kedua?  Seorang lagi Menteri (yang) menentukannya?

Bilakah agaknya kita, sebagai rakyat, dilindungi daripada menjadi korban keghairahan ― Pak-Pak Menteri yang ghairah mengubah/memperkenalkan dasar-dasar yang baru?   

Kasihanilah anak cucu kita, kasihanilah mereka yang kita telah mangsai dengan pelbagai masalah ― segala hutang yang berlonggok-longgok, masa depan pendidikan mereka yang kacau bilau...

________________________________________________________________
(1) Sebagai sebuah NGO, PAGE misalnya tetap garang, bermati-matian berjuang untuk meletakkan  bahasa Inggeris di tempat yang semulia mungkin di negara ini.  Jika kita perhatikan akhbar-akhbar tempatan (khususnya yang berbahasa Inggeris), NGO ini masih lantang perjuangannya dalam menobatkan keagungan bahasa Inggeris di negara ini. 

Dalam konteks ini, kita tidak tahu bagaimana NGO ini melihat kedudukan bahasa kebangsaan itu di negara ini.  Adakah suaranya segagah dan selantang tatkala bercakap soal martabat bahasa Inggeris?  Adakah keprihatinannya terhadap perkembangan, status, makna dan nilai bahasa itu sebagai bahasa nasional, cukup tepu dan ikhlas?  

(2) Kita tidak mendengar suara yang mewakili Persatuan Guru yang bercakap tentang pendekatan ini (?).  Di antara soalan kita ialah: Apakah ‘membawa masuk tenaga pengajar dari negara-negara orang putih itu’ adalah cara yang paling berkesan untuk perbaiki mutu bahasa Inggeris anak-anak kita?  Apakah makna tersirat tindakan kerajaan ini?  Para guru bahasa Inggeris kita tidak kompeten?  Kita mohon supaya mereka, khususnya para guru bahasa Inggeris, tidak berdiam diri kerana dengan berbuat demikian ― tanpa memberikan maklum balas, kita menghantar mesej bahawa pendekatan ini tepat.  Apakah benar para guru kita bersetuju?  Kalau ya, kenapa?  Adakah benar kualiti guru-guru bahasa Inggeris kita rendah?
   
(3) Janganlah fobia dengan nama ‘Melayu’.  Yang Melayu dan yang bukan Melayu tak perlu garisbawahi perkataan Melayu kerana Melayu itu bukanlah hak milik mutlak Umno atau Perkasa.  Dalam Pas, PKR dan DAP juga terdapat Melayu.  Ada orang Melayu,  sama seperti bangsa-bangsa lain di negara kita, yang tidak berparti. Ertinya, Melayu is not a dirty word.  Untuk lebih jelas,  hujah tentang ‘bahasa Melayu’ ini, sila baca pandangan James T. Collins dalam “Bahasa Melayu Bahasa Dunia – Sejarah Singkat” Yayasan Obor Indonesia, Jakarta, 2005.

Dalam konteks ini, kita mohon supaya laman-laman maya kita― mohon awasilah,  komen-komen yang kurang manis (tak beradab, rasis) tentang Melayu.    

Kita tidak perlu terikut-ikut mengeruhkan lagi suasana dengan mengikut gelagat mereka yang takut. 




No comments: