Friday, October 22, 2010

Seorang budak nakal



Budak nakal dengan hp yang paling canggih dalam pasaran
(ajaklah wakil-wakil rakyat kita bercakap tentang ekonomi (baca: hutang) yang dijana oleh Umno/BN)

 
“Kerajaan Malaysia dijangka berdepan dengan saat-saat gentingnya untuk menyelesaikan hutang sebanyak RM101.65 bilion dalam tempoh tiga tahun, iaitu dari tahun 2010 hingga 2012, apabila Sekuriti kerajaan Malaysia (bon kerajaan) dan Sukuk yang berjumlah ratusan bilion ringgit ini sampai tarikh tebusannya.


Nilai yang mencakupi 30% daripada jumlah hutang awam dalam negeri ini tidak termasuk hutang negeri asing yang bernilai RM6.2 bilion dan pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berjumlah RM7.2 bilion, juga perlu diselesaikan dalam tempoh tersebut.” 


Demikianlah yang ditulis Neo Chee Hua, Penolong Editor,  Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina, diterjemah, disunting oleh Lim Hong Siang dipetik oleh paktam untuk Detikdaily pada hari Khamis, 21 Oktober 2010 pada jam 8:46.


ii.


Seruan kita semua penulis, baik bloger, pemerhati, penyair maupun sasterawan (jika ini masih lagi ada maknanya), marilah kita bercakap tentang hutang yang ditinggalkan oleh mereka yang memerintah negara ini sejak kita merdeka.  Mereka selalu memberitahu kita, rakyat jelata ini,  bahawa pembangunan dan kemajuan kita adalah kerana kehebatan mereka mengurus ekonomi.


Kita masih ingat bagaimana para pemimpin Pas Kelantan kerap sekali memberitahu kepada khalayak bahawa mereka mesti sisihkan sebahagian besar daripada pendapatan negeri yang sudahpun relatif kecil itu,  untuk membayar hutang yang telah dijana (baca: buat hutang pun ‘jana’ juga istilahnya,  penjanaan negatif)  oleh Kerajaan Umno/BN terdahulu.  Satu kerajaan yang sangat arif lagi bijaksana dalam hal-hal mengurus ekonomi itu.


Sekarang kita melihat bagaimana Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah pula,  bercerita tentang pengurusan sumber air dan kos air yang perlu dibayar oleh rakyat kerana kebijaksanaan, kearifan dan kehebatan Kerajaan Umno/BN dulu mengurus ekonomi sehingga Negeri Kedah kini telah maju dalam tahun 2010 ini.  Cukup luar biasa pencapaian Umno/BN ini.  Sesungguhnya mereka tersangatlah bijak dalam hal-hal mengurus ekonomi ini.


iii.

Anehnya,  cerita hutang yang dijana oleh Umno/BN ini,  yang puluhan kali dibangkitkan oleh kepimpinan Pas, yang menderita kerana terpaksa melunasi hutang-hutang terdahulu itu,  tidak pernah disambut walaupun dengan sepatah kata,  oleh sesiapa pun yang mengepalai gerombolan Umno/BN ini.  MCA bisu, Gerakan diam, MIC pun sunyi sepi.  Kelibat mereka ini,  tidaklah segagah dan sehebat tatkala tiba saat-saatnya untuk mengumumkan bahawa projek ini sekian juta.  Semuanya dan segalanya berjuta-juta dan ― paling mutakhir ini kecenderungannya atau trendnya  ialah projek mestilah berskala bilion ― berbilion-bilion (macam promosi sebuah Pasar Raya pula).


Tidak cukup dengan itu, mereka berkata lagi: Projek ini bakal menyejahterakan sekian ribu penduduk  kampung.  Projek itu pula bakal membahagiakan sekian ramai penghuni yang sangat mengharapkan pembangunan ini. 


Anehnya, siapakah yang mendapat projek juta-juta dan bilion-bilion itu tidak pula mereka maklumkan kepada khalayak.  Kalau pun kita, rakyat jelata, ketahui ― misalnya bahawa armada bas untuk membawa segala pelatih PLKN itu adalah miliknya gerombolan dan bahawa si anu itu kroninya, kita mengetahuinya dari pasar gelap (berita).  


Dan kisah basnya pula dibeli di negeri Cina oleh gerombolan adalah di antara cerita yang kita perolehi dari pasar gelap segala berita.  Demikianlah erti dan maknanya berita dari pasar gelap dalam negara yang takut kepada rakyat yang bermaklumat.  


iv.

Mari kita balik kepada persoalan asal: Bahawa Umno/BN sangatlah bijak mengurus ekonomi.  Bahawa Umno/BNlah yang menyebabkan kita maju dan luar biasa hebatnya sehinggakan memiliki menara yang berkembar yang boleh kita langut-languti setiap kali berada ke ibu kota.  Luar biasa, kita langut seraya mendabik dada, “Telah maju rupanya negeriku ini!!”

Kita mohon kepada para pemimpin alternatif untuk menyampaikan mesej yang lantang di Parlimen kita:  Bahawa rakyat jelata semua telah tergeliat/terkehel urat lehernya kerana terlalu banyak melangut.
 
Kita tidak perlu dan tidak lagi mahu melangut-langut.   (Kita mahukan, misalnya sekolah dan sistem pendidikan yang baik.  Kita tidak mahu cerita pendidikan itu berkisar sekitar isu penguasaan bahasa Inggeris yang paling top di dunia ini.  Bahawa pendidikan itu melampaui zon ‘penguasaan bahasa Inggeris yang paling hebat dalam dunia’ hanyalah sebahagian kecil saja daripada matlamat akhir sistem pendidikan kita.  Kita mahukan budaya kita yang pelbagai dan sihat ini hidup dan berkembang dan oleh kerana itu tidak perlu sibuk-sibuk, menyibuk dan takut dengan kepelbagaian bahasa dan budaya.  Kenapakah misalnya, mahu membiarkan bahasa Jawa ‘mati’?  Saya gembira melihat teman-teman Jawa saya bercakap Jawa, walaupun ‘kromo’.)


Maaf, melencong sedikit.      





v.

Sekarang,  kita mohon dan amat berharap kepada wakil-wakil rakyat kita yang telahpun meragut majoritinya dua pertiga itu,  untuk bercerita tentang hutang, hutang, hutang, hutang, hutang, dan segala hutang yang telah dibuat oleh budak nakal yang gilakan ‘toy’nya terbaru:  Sebuah lagi menara 100 tingkat,  di Kuala Lumpur.


Benarlah,  Umno/BN itu legasi sebuah pemerintahan yang amat bijak mengurus harta negara sehingga pemerintah yang bijak-hebat ini tidak berani bercakap dengan telus dan terbuka bagaimana segala sumber kekayaan negara itu (baca: misalnya duit Petronas) telah mereka projekkan selama ini.  Pada waktu yang sama,  tragedi bagaimana pula sebuah negara yang kaya raya ini boleh menjana hutang yang bertimbun-timbun itu, tidak pula mereka cerita dan huraikan.   Mereka ada pilihan ― membisu.


Ya, semuanya mereka mampu janai dan mereka menjananya dengan begitu hebat sekali.


Demikianlah kisah gelagat budak nakal, anak manja yang rosak legasinya kerana tergila-gila dengan mainnya yang terbaru,  yang canggih di buana ― sebuah lagi menara.  


Apakah tidak mungkin ini adalah strategi menghanguskan bumi semasa berundur?





No comments: