Thursday, October 21, 2010

Temujanji KJ

Temujanji KJ dengan Chua


Semasa memandu semalam, seperti biasa saya ditemani ‘Klasik Nasional’.  Walaupun stesen radio ‘gomen’ ini sering diikuti dengan penuh minat, namun contoh-contoh ramuan dan bumbu alergik itu masih lagi ketara.   Di antara contoh-contohnya:  “Adakah anda tidak berbangga menjadi rakyat Malaysia?”  atau “ Salam Satu Malaysia!” atau iklan-iklan jualan murah lain yang sebangsa dengannya itu.  Semua ini mematikan selera, mesej hambar yang mahu disumbat-sumbat, dipaksakan membuat pendengar lari terbirit-birit.  Umno,  sebagai penguasa mutlak tidak dapat melihat semua ini kerana ia belum mahu turun ke alam yang nyata.


Tatkala itulah, kebetulan terdengar sedutan ‘syarah-syarah’ berapi-apinya Ketua Pemuda Umno dan juga Ketua Wanitanya. 

Di sini, kita ingin menumpukan perhatian kepada apa yang telah disampaikan oleh Ketua Pemuda Umno dalam persidangan mega parti Melayu itu.


ii.


Terus terang ― sebenarnya kita sudah terlalu penat kerana terlalu sering disuguh dengan lawak jenaka yang tidak lagi begitu menjenakakan.  Ia juga bukan ‘pun’ (*)  atau bidalan, tamsil yang kaya dengan makna-makna tersirat yang boleh kita nikmati keindahannya.

Semua yang diulang-ulangi itu  adalah kelentong mentah yang tidak lagi melucukan.  Para penguasa ini seakan-akan tidak mahu percaya bahawa sesungguhnya rakyat mereka benar-benar melarat dan sangat perih mengharungi kehidupan ini.  Lalu tanpa rasa segan,  mereka pantak segala angka (GNP, KDNK) untuk membuktikan bahawa rakyat negara ini masih mewah dan bahagia.


iii.


Maka pada 20 Oktober 2010, syarahan para pemimpin Umno pun bergema lagi dari PWTC.  Ketua Pemudanya telah mencipta buah silat terbaru dengan usaha yang nyata untuk menjauhkan dirinya daripada suara-suara kepahlawanan Melayu ala Perkasa dan mantan seorang Perdana Menteri. 

Malangnya ramai sudah tidak percaya lagi (**) dan memandang sepi hujah-hujah untuk memenangi undi Melayu dan bukan-Melayu itu.  Susunya rosak teruk bukan kerana nila yang setitik, susunya telah tertiarap akibat gema gendang perangnya Perkasa dan juga mentornya!


iv.


Untuk tidak menghampakan buah silatnya Ketua Pemuda Umno ini, kita ingin berikan satu dua cadangan untuk perhatiannya:

Cadangan pertama:

Kita ambil contoh pendekatan Pas yang diutarakan oleh Tuan Guru Nik Aziz, TGNA:  Bahawa calon Pas mestilah tidak merokok.

Kita ingin mencadangkan satu konsep yang kira-kira selari dengan syaratnya TGNA di atas ― untuk diangkat sebagai agenda perjuangan Pemuda Umno/Umno: 

Siapa saja dalam saf kepemimpinan  Umno/BN  yang ingin dicalonkan sebagai calon,  mestilah menghantar anak-anak mereka ke Sekolah-Sekolah Kebangsaan/Jenis Kebangsaan yang terdekat dengan rumah masing-masing.    

Fikirkanlah rasional, kesan dan akibatnya jika konsep ini benar-benar dilaksanakan. 


Cadangan kedua:

Jadikan agenda perjuangan untuk meletakkan SPRM@MACC di bawah dan bertanggungjawab langsung kepada Parlimen sebagai salah satu daripada agenda utama Pemuda Umno. 



Cadangan ketiga:

Jadikan proses pelantikan hakim itu satu proses yang telus lagi saksama.  Masanya sudah lama berlalu,  kita perlu mendapat yang terbaik untuk sistem kehakiman kita. 

Berikan/libatkan atau kaitkan proses perlantikan ini dengan tanggungjawab dan peranan Parlimen kita.


Cadangan empat:

Buah yang digenggam Umno ― namanya,  kuasa politik negara,  kini sudah terlalu ranum.  Jika tidak berhati-hati, buah yang telah dibaham ulat itu akan luruh menimpa Umno. Untuk itu,  Pemuda Umno perlu serius memimpin dan menjuarai kerja-kerja dakwah Islamiah. 

Sebagai program induksi, mereka bolehlah menjelaskan hukum hakam Islam kepada parti-parti komponen BN yang lain.  Sebagai permulaan,  sayap penting Umno ini bolehlah bermula dengan kuliah hudud.

Kalau tidak begitu arif, janganlah malu-malu untuk memohon Lebai-Lebai pondok Pas seperti YB Husam Musa, YB Hatta Ramli, sekadar menyebut satu dua nama,  untuk membantu menyediakan nota-nota kuliahnya.
Jika ada rezekinya, Ketua Pemuda Umno mungkin saja beralih angin, lalu menyertai Pas.  Siapa tahu hati orang.  Siapa tahu, segala kerja-buat Illahi.


v.

YB,  KJ

Sebagai pemimpin nombor satunya sayap pemuda, sudilah tuan  pertimbangkan cadangan ini.  Kalau terlalu banyak, buatlah mana-mana yang mudah atau yang mana-mana yang tidak memerlukan peruntukan yang besar-besar,  seperti menara seratus tingkat itu.    

Dengan tindakan/gerak kerja tuan kelak, maka rakyat jelata kuranglah ‘penat’nya  mendengar syarahan para pemimpin Umno, termasuk syarahnya tuan sendiri.  Ketika itu mereka akan temui,  YB sendiri, misalnya berceramah kepada Presiden MCA ― “Apa itu hudud”.


Bilakah tuan akan memberi taklimat/dakwah hudud kepada YB Chua?

Maha Suci Allah!

___________________________________________________________________
(*) ‘pun’ perkataan Inggeris, merujuk lelucon menggunakan pelbagai perkataan yang hampir sama sebutan/bunyinya, tetapi berlainan makna.  Contohnya ialah “A pun is a punishable offence’.  Rujukan: Kamus,  hp Nokia E71)

(**) Sila rujuk Malaysiakini versi Inggeris,  bertarikh 20 Oktober 2010






No comments: