Tuesday, October 19, 2010

Wahai YB, katakanlah bahawa ini tidak betul.

Pemimpin besar Umno dan gagasan pembangunannya


Kita sering diperingatkan bahawa setiap manusia itu adalah pemimpin ― paling tidak untuk dirinya sendiri.  Seorang suami itu pemimpin untuk dirinya, isteri dan anak-anaknya. 

Bermula dari premis ini, maka ada yang bertanya (atau sebenarnya orang yang membawa hujah ini hanya mahu memerli?), “ Bagaimana tuan mampu menjadi pemimpin yang baik,  jika isteri dan anak-anak pun,  tidak boleh tuan pimpin dengan baik?”


ii.


Kita cukup sedar betapa besarnya pengaruh seorang Perdana Menteri dan segala kuasa yang ada padanya dalam mempengaruhi kehidupan seorang manusia biasa ― seorang rakyat yang tinggal di Ulu Tembeling, di Bintulu, di Tawau, di kaki Gunung Kinabalu atau di Memali.  Atau seorang setinggan yang dihimpit pencakar-pencakar  langit Kuala Lumpur.

Seorang Perdana Menterilah yang memiliki segala kuasa untuk berbelanja ― setiap sen yang diperolehi daripada setiap titik petroleum yang mengalir dari bumi Kelantan, Sarawak dan Sabah.  Dialah manusia yang paling gagah-kaya dengan kuasa untuk membuat pilihan yang terbaik dalam hal mengurus dan berbelanja segala khazanah negara kita ini.  Dialah orangnya.   

Seorang Perdana Menteri itu berkuasa untuk mendirikan rumah perjudian, rumah urut lalu  mengutip  setiap sen cukainya untuk dibelanjakan mengikut cara dan kehendaknya sebagai pentadbir negara.

Seorang Perdana Menteri yang berkuasa penuh untuk mengagihkan pendapatan negara ini kepada IPP, memaksa Khazanah Nasional untuk menimbus hutang sebuah institusi yang sedang tenggelam kerana salah tadir dan rasuah atau menyalurkan peruntukan yang lebih besar untuk isterinya mengurus segala permata yang ada di negara ini. 


iii.


Maka apabila seorang Perdana Menteri (mantan) berkata bahawa duit negara ini membuat kita maju kerana kita memiliki menara yang berkembar, kita pun tidak ada pilihan lagi kecuali menangis tersedu-sedu kerana pelbagai sebab:

a)  Wang kertas RM 50 ringgit sudah tidak lagi mencukupi untuk membeli keperluan dapur walaupun untuk sehari.  Untuk mencukupinya sang isteri beranak lima itu terpaksa menjahit lebih banyak helai baju setiap malam.

b) Seorang pesakit buah pinggang terpaksa menunggu lebih lama untuk dirawat.

c) Jusoh Kepala Bukit telah menjual tanah bendangnya untuk membolehkan anaknya belajar ilmu agama di Jordan sehingga tamat akhir tahun ini.

d) Muniandy pening,  kenapakah bil elektriknya begitu tinggi bulan ini?

e) Ah Chong risau dengan tol dan harga minyak yang naik mendadak.  Kos pengangkutan lorinya telah meningkat sedangkan ayam sudah dikawal harganya.  Semalam pemandunya di saman trafik kerana kesalahan lalu lintas.

Ada lagi senarainya yang cukup panjang itu, ada lagi...


iv.


Kita tidak meminta Najib Tun Razak, terhinjut-hinjut menyelinap di Brickfields,  waktu dini hari untuk mendengar anak Maniamkah itu yang mengerang kesakitan dan perutnya pula diikat dengan batu.  Tak payahlah bersusah payah,  melakukan semua itu.

Biarlah itu dilakukan oleh para Khalifah zaman silam saja.

Kita begitu mengharapkan kewajaran dalam agihan segala khazanah yang diperolehi oleh negara ini.  Kita begitu mengharapkan bahawa Perdana Menteri mampu melakukan itu semua.  Bahawa setiap rinngit yang kita miliki bermanfaat sepenuhnya untuk rakyat.  Setiap ringgit yang dibelanjakan akan mengembangkan ekonomi negara ini.

Apakah yang kita perolehi?

Sebuah lagi menara 100 tingkat dan duit untuk para permata...dan dana yang semakin kembung ― sekembung-kembungnya untuk mengurus Jabatan Perdana Menteri.    Luar biasa, konsep rakyat didahulukan ini, sungguh luar biasa. 

v.

Beberapa tahun yang akan datang, mantan Najib Tun Razak akan berkata ― sepertimana yang telah dikatakan oleh bosnya, semalam:

Negara ini maju ― lihatlah menara 100 tingkat itu!
Luar biasa, sungguh luar biasa para pemimpin negara kita ini.

Apakah wakil rakyatku,  di Sungai Petani akan berdiam diri di dalam Parlimen?

Katakanlah ‘tidak!’ kepada segala yang bukan-bukan ini. 
Paling tidak,  tuan telah berkata sesuatu.




No comments: