Sunday, November 14, 2010

Bah politik

Banjir: Bah politik untuk pembangkang Kedah


Sekali air bah,  sekali pantai berubah ― begitulah bunyinya peribahasa yang kita pusakai dari datuk nenek kita. Mengikut pemerhatian dan wisdoma (pinjam istilah Pak Samad) moyang kita, pantai akan berubah setiap kali bah datang melanda. 

Dalam konteks politik semasa, bah itu modal (politik) yang ampuh kerana di sana ramai manusia yang sengsara.  Manusia sengsara, jika berterusan-terusan diapi-apikan dengan pelbagai tuduhan, sedikit sebanyak mungkin saja termakan jua dengan pelbagai tuduhan yang digembar gemburkan itu.  Pembankang di negeri Kedah memiliki senjata yang tidak ada di tangan pemerintah negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.  Mereka tidak ada rangkaian  stesen tv dan radio yang boleh membakar emosi.  Mereka hanya memiliki Harakah, Roket untuk ahli parti saja.  (Itu pun dihantui dan diancam dengan dan oleh pelbagai Akta dan peraturan yang bukan-bukan)

ii.

Parti pembangkang di Kedah ada stesen radio tempatan yang memancarkan siarannya dari Alor Setar.  Alor Setar itu ibu negeri Kedah,  tempat bah yang besar itu melanda.  Tuan besar, pemiliknya stesen ini berada di Putrajaya(2).  Mereka yang bekerja di kawasan-kawasan yang ditenggelami air ini menerima dan mengikut arahan tuannya yang berada di tempat lain.  Sebenarnya radio yang menjadi alat moden dapat membantu menyampaikan maklumat yang berguna dan tepat kepada rakyat.

Apakah ini berlaku?  Yang jelas stesen-stesen tv sedang berpesta dan menjamu selera kerana mendapat rezeki daripada bah yang besar ini. 


iii.

Untuk apa stesen-stesen radio ini wujud? Kepada siapa stesen-stesen radio ini (yang dibiayai oleh duit rakyat) memberikan khidmatnya?  Soalan-soalan seperti ini wajar ditanya oleh seluruh rakyat jelata. 

Sehubungan itu, masanya sudah sampai untuk semua bloger bercakap dan menulis tentang hal-hal yang lebih penting demi untuk berdepan dengan rakyat dalam PRU13 nanti.  Rasanya ada perkara-perkara yang lebih utama daripada Umno yang sangat tidak demokratik itu,  yang perlu dipaparkan kepada khalayak.  Lupakanlah masalah dalaman PKR atau orang yang mahu menjadi orang besar dengan segera,  kerana itu bukanlah isu yang utama. 

Ya, lupakan saja persoalan parti Melayu yang tak senonoh dan perkara-perkara lain-lain yang berkaitan dengannya itu kerana di depan kita ada perkara-perkara lain yang lebih besar yang perlu dibahaskan. 

Sebagai contoh:  Apakah peranan Jabatan Pendaftaran Negara dalam proses pilihan raya, misalnya?  Adakah kita hanya berdiam diri dan menjadi pemerhati di luar gelanggang?

______________________________________________________________
(1) Apabila bah melanda, mungkin ada tebing yang kian terhakis, dan ada akar yang mulai terdedah kecuali rumpun-rumpun buluh yang mengawal erat akar-akar rambutnya sehinggakan butir-butir tanahnya tetap padat sepadu kecuali bila ada tangan-tangan usil yang rakus menjahanamkan tebing.

(2) Kata seorang teman dalam smsnya “Dua tahun dulu saya dah tulis dalam warta darul aman. Pegawai/jh (juruhebah) pun sedar tapi apa nak buat radio persekutuan.”