Sunday, November 14, 2010

Siapakah yang lebih layak daripada Anwar untuk pimpin Reformasi?

Dinsman (Artikel 186, 15/11)
Siapakah yang lebih layak daripada Anwar untuk pimpin Reformasi?

Pemilihan dan pertandingan masih lagi berjalan. Belum sampai hujung lagi. Tapi calon yang bertanding, yang pada mulanya mendahului dua lagi pesaingnya dalam merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu, sudahpun menarik diri, iaitu apabila jumlah undi berkenaan tiba-tiba diumumkan salah dan lalu diubah, disebabkan oleh suatu sebab tertentu.

Saya pun tak pasti apa sebab sebenarnya perubahan itu terjadi. Ada pihak bersetuju, ada pihak tak bersetuju. Ada pihak tak puas hati, ada pihak puas hati. Ada pihak percaya, ada pihak tak percaya. Saya tak berpihak ke mana-mana, sebab tak tahu apa sebenarnya berlaku di belakang peristiwa itu.

Tapi saya rasa lega. Minta maaflah, secara ikhlas dan terus terang, saya memang dari awal lagi berasa pelik dengan perkembangan yang berlaku dalam Parti KeAdilan Rakyat (PKR) itu. Bukan sebab saya meneyokong Azmin Ali atau saya tak suka Zaid Ibrahim, tapi sebab saya tak boleh terima bagaimana orang yang baru saja masuk parti tiba-tiba nak bertanding merebut jawatan nombor dua tertinggi.

Apakah tujuannya sebenarnya? Masuk parti itu untuk apa? Apakah di dalam parti itu tidak ada orang lain lagi, yang sudah berjuang sejak zaman Reformasi dan menjalani pelbagai pengalaman pahit-getir dulu itu, yang boleh mengambil tempat nombor dua itu? Saya yang mengikuti perjalanan parti ini sejak ia belum menjadi parti lagi, saya kenal beberapa tokoh yang sama-sama berjuang di hari-hari awal itu, yang saya anggap mereka lebih sesuai untuk bertanding jawatan itu.

Tidak mengapalah dia tidak terserlah ketokohannya sampai ke peringkat pernah menjadi menteri pun. Itu tidak diperlukan. Siapa kata itu ciri-ciri yang perlu untuk Parti KeAdilan Rakyat (PKR)? Tidak perlu seorang yang kaya-raya untuk jadi pemimpin PKR. Terus terang saya peribadi berasa dan berpendapat orang seperti Tian Chua itu jelas lebih layak lagi untuk jawatan Timbalan itu, misalnya, kalau pun bukan Azmin Ali.

Semangat yang pernah ditunjukkan oleh Tian Chua dalam perjuangan Reformasi itu, kita semua pun berasa malu dan segan dengan dia.

Memang parti KeAdilan ini lain dari parti-parti lain. Saya tidak percaya ada orang yang tak pernah terlibat sama-sama dalam perjuangan Reformasi dulu, tiba-tiba dia masuk parti dan mengatakan dia lebih layak daripada orang lain, hatta daripada tokoh utama Reformasi sendiri, yakni Anwar Ibrahim!

Eh, come on, apa ni? Hello, ada ratusan ribu rakyat yang pernah menunjukkan semangat rela hati turun ke medan juang, menuntut keadilan dan menentang penguasa yang zalim, sanggup menghadapi pelbagai risiko, dan berkorban macam-macam. Siapakah yang boleh menarik ratusan ribu rakyat itu? Dan siapakah kalau bukan Anwar Ibrahim (dengan segala kelemahan yang ada padanya pun) yang boleh membawa PAS dan DAP bekerjasama dalam PRU-12 hingga membawa kemenangan besar kepada PKR, PAS dan DAP? Siapa?

Maka menasabahkah ada orang yang kononnya dia lebih baik lagi daripada Anwar untuk memimpin PKR dan meminta Anwar keluar daripada parti itu? Masuk akalkah itu?

Minta maaflah. Seperti saya tegaskan tadi, saya tidak hendak menyebelahi mana-mana pihak pun. Tetapi saya masih percaya kepada semangat Reformasi yang dibawa oleh Anwar Ibrahim itu, walaupun di dalam parti KeAdilan sekarang ini wujud pelbagai masalah. Pengalaman saya dengan seorang Exco Kebudayaan dari parti KeAdilan di Selangor itu pun memang sangatlah mengecewakan.

Tidak pernah saya menyebutkan hal ini selama lebih setahun, mengharapkan akan ada perubahan. Tapi setelah lebih setahun janji masih tinggal janji. Bukan satu janji tapi lebih daripada sepuluh janji, hingga apa pun tak jadi. Memang mengecewakan. Tetapi itu tidak bermakna yang parti itu lebih baik diserahkan kepada orang yang baru masuk parti untuk memimpinnya.

Menyokong Azmin dan tidak menyokong orang yang baru masuk parti seperti Zaid Ibrahim (atau siapa saja pun yang seperti itu) tidak bermakna kita menerima segala apa yang ada di dalam parti itu – segala kelemahannya, segala kesilapannya, segala kegelojohan ahli-ahlinya dan sebagainya.

Memang Anwar pun ada masalahnya, Azmin pun ada masalahnya. Sama jugalah di dalam PAS pun. Haji Hadi pun ada masalahnya, Nasaruddin pun ada masalahnya, bahkan Tok Guru Nik Aziz pun ada masalahnya. Sebab apa? Sebab kita semua adalah manusia yang tidak bersifat maksum. Hanya Rasulullah saja yang maksum.

Maka apakah apabila Anwar itu ada masalahnya maka kita pun patut suruh dia keluar parti walaupun tidak ada orang lain yang tidak ada masalah, dan tidak ada kemampuan seperti dia, untuk mengambil tempat dia memimpin parti menuju ke matlamat perjuangan sebenar parti?

Saya bimbang orang-orang yang baru masuk parti itu tidak tahu pun apa matlamat sebenar perjuangan parti yang diasaskan di atas tapak sermangat Reformasi 1998 itu.

Orang yang terlibat sejak awal seperti saya sendiri misalnya, apatah lagi bagi ramai kawan-kawan saya yang mengalami dipukul, ditangkap, masuk lokap, masuk penjara, masuk Kamunting dan sebagainya – tentulah tidak rela parti ini hendak dibawa ke matlamat yang lain, yang tidak ada kena mengena dengan semangat Reformasi itu.

“Dia buat sendirilah parti dia, kalau dia pandai sangat, dan ada pengaruh lebih daripada Anwar. Mengapa dia mari nak buat kacau dalam parti kita!” Begitu luah seorang reformis yang pernah masuk lokap sehingga tujuh kali selama menjulang Reformasi. Dia jadi agak emosional apabila bercakap hal ini.

Demikianlah, apabila bercakap dan berbincang-bincang dengan kawan-kawan seperti Ismail Kamal dan Syed Shahir di Kelana Jaya, saya akan mengingatkan kemungkinan ada anasir-anasir yang sengaja hendak merosakkan dan menghancurkan parti ini, yang duduk berselindung di dalamnya di sebalik topeng pelbagai wajah.

Termasuk dalam pengalaman saya dengan pihak Kebudayaan di Selangor itu pun – kami bimbang ada anasir subversif yang bersembunyi di bawah baju parti, dan secara diam-diam bekerja merosakkannya, ketika kita tidak pun terfikirkan dari sudut itu. (Kalau tidak, kenapa jadi begitu?) Eloklah kita berwaspada!

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)



 

No comments: