Saturday, November 13, 2010

Memanfaatkan segala yang ada


Bila lagi kita mahu meronta?

Bayangkanlah senarionya yang begini ― maklumat penting yang mahu disampaikan itu, dapat kita sampaikan dengan mudah dan cepat. 

Ertinya isu-isu ― seperti tuduhan kepincangan pemilihan PKR atau isu banjir besar di Kedah itu,  dijawab dengan segera oleh pihak PKR dan juga Kerajaan Pakatan Rakyat Kedah, jika mungkin selepas tersiarnya dakwaan dalam ‘Berita Perdana, 8 Malam.’

Ini bermakna semua ‘fakta’ yang dibentangkan oleh tv-tv Umno/BN dalam slot ‘Berita Perdana’ itu diulas pada malam itu juga.  Ertinya rakyat dapat menilai segera fakta-fakta tv-tv Umno ini.   Dengan pendedahan ini, parti-parti lawannya Umno/BN boleh membuktikan taraf dan tingkat profesionalisme berita yang disiarkan oleh stesen-stesen milik Umno ini.

Bayangkan,  pada malam itu juga terdapat laporan bergambar versi parti lawannya Umno/BN tentang tinjauan menteri yang ‘kasut pun tak basah’ ke kawasan-kawasan banjir di Kedah.

Bila lagi kita dapat perolehi peluang dan kemampuan untuk menceritakan kisah-kisah yang benar-benar benar ini?


ii.

Atau ada soalan yang lebih relevan:  Apakah yang dapat kita buat dengan situasi kaki, tangan dan mulut yang diikat seperti sekarang ini?

Tentulah tidak benar bahawa kita sudah, dan benar-benar tidak terdaya lagi untuk berbuat apa-apa pun(?).

Apakah yang boleh dimanfaatkan dengan media (misalnya, sms, blog dll) yang wujud ketika ini untuk menerangkan segala yang telah dipesongkan itu?

Apakah benar kita tidak mampu ― walaupun untuk meronta?





No comments: