Tuesday, November 2, 2010

Bernyawa dengan projek


Projek itu nyawa

i. Pemerintah diberikan kuasa oleh rakyat

Pemerintah itu adalah mereka berikan kuasa oleh rakyat untuk mentadbir sesebuah negara.  Sepertimana kita semua maklum, dalam sistem demokrasi, proses pemilihannya dilaksanakan melalui pilihan raya(1)

Ini bermakna siapa saja yang memerintah negara kita, dari sudut teorinya, adalah mereka yang telah dipilih oleh rakyat.  Oleh sebab itu rakyat tidak boleh terlalu menyalahkan pemerintah jika pemerintah, dengan segala kuasa yang ada padanya itu,  telah melakukan hal-hal yang pelik-pelik.  Kenapa?  Bukankah kita yang telah memilih pemerintah itu? 

Seorang mantan PM selalu menyebut hal ini:  BN diberikan majoriti yang besar untuk memastikan negara ini aman.  Oleh sebab itu, BN sebagai pemerintah yang bertanggungjawab mestilah memastikan negara ini sentiasa aman dan damai.  Untuk itu,  ISA masih diperlukan supaya negara ini kekal aman.  

Itulah di antara hujahnya mempertahankan ISA yang zalim itu.  Itulah hujahnya setiap kali BN dikritik hebat apabila menggunakan ISA untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapinya, termasuk masalah-masalah dalamannya sendiri.  Mereka yang kerap menjadi korban adalah para pembangkang yang keras suaranya mengkritik perbuatan pemerintah yang dilihat salah.  

Anehnya,  ada yang masih cukup yakin bahawa hujah pemerintah tentang ISA ini ikhlas dan jujur,  walaupun ISA dijadikan alat untuk menyelamatkan perintah yang sedang hadapi masalah.


ii.  Pemerintah diberikan kuasa untuk membelanjakan: Hab hiburan yang besar

Berdasarkan premis yang sama, ini bermakna pemerintah juga diberikan kuasa oleh rakyat untuk membelanjakan segala khazanah negara ini.  Oleh itu dalam tahun 2011 misalnya, rakyat telah memberikan mandat kepada Umno/BN untuk membina sebuah hab hiburan yang bakal mengumpulkan segala bentuk hiburan di negara ini.

Jika kita gunakan logik oleh mantan PM tentang ISA, maka kita boleh berhujah bahawa rakyat telah melantik pemerintah negara ini untuk membuat yang terbaik untuk rakyatnya.  Dan di antara yang terbaik dalam tahun 2011 nanti, ialah hab hiburan yang maha besarnya. 

Projek hab hiburan ini tentunya tidak semena-mena wujud begitu saja. Sebelum dibentangkan dalam belanjawan, tentunya hab hiburan ini telah melalui pelbagai proses, mulai dari idea awalnya, konsep, strategi, pulangan dan keuntungan kepada negara, rakyat jelata dan sebagainya.  Untuk melalui proses itu, tentunya ada pencetus ideanya.  Siapakah pencetus idea itu?  Adakah ia Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri?  Atau mungkinkah pencetusnya cukong hiburan yang sudah tidak tahu bagaimanakah caranya untuk berbelanja duitnya yang melimpah ruah itu?  Apakah ia lahir dari kumpulan penggiat industri hiburan tanah air yang sangat berpengaruh dalam kalangan mereka yang membuat dasar?  Mungkinkah hab ini lahir begitu?  Atau apakah tidak mungkin ia lahir dari saluran-saluran yang tidak pernah kita fikirkan?     

Sesungguhnya hanya mereka yang dekat dan yang berada di dalam lingkaran dalaman tampuk kekuasaan saja yang mengetahui segala perinciannya.

Namun begitu, rakyat masih lagi berupaya untuk berbuat sesuatu.  Misalnya persoalan ini dibangkitkan kepada ahli-ahli Parlimen yang mewakili kawasan-kawasan masing-masing dengan harapan isunya dibahaskan dengan gencar pula di dalam Dewan Rakyat.

Di samping itu, rakyat misalnya boleh meminta keterangan langsung daripada wakil-wakil mereka ― kenapakah hab hiburan ini amat diperlukan?  Mereka boleh dengar sendiri daripada mulut wakil-wakil rakyat MCA misalnya kenapa hab ini ada dalam belanjawan 2011. 

Waktu itu mereka bolehlah bertanya apakah kos sosial yang perlu dibayar oleh rakyat jelata dengan wujudnya hab hiburan yang maha besar ini.   Wakil-wakil mereka mungkin boleh menjawabnya.


iii.  Hiburan sebagai senjata pelbagai mata


Dalam masyarakat kita, ada pihak yang sangat ‘alergik’ dengan isu hiburan ini.  Pas, lebih-lebih lagi pemudanya, sentiasa bangun untuk menentang agenda yang dilihatnya sebagai merosakkan anak-anak muda kita.  Inilah yang sering kita perhatikan setiap kali konsert oleh artis luar yang dilihatnya sebagai pelik-pelik itu mahu diadakan.  Tentangan keras ini boleh kita mengerti jika kita sedar dan faham bahawa semangat dan rohnya amal makruf itu ada gandingannya ― nahi mungkar.  Mereka yang faham begini, tidak mungkin berdiam diri melihat konsert yang ‘menjadi sumber maksiat dan masalah sosial’ mahu disuguhkan kepada anak-anak muda kita.

Namun begitu sebagai sebuah negara pelbagai kaum, agama, budaya dan adat,  pendekatan ini  mungkin saja menimbulkan sedikit masalah.  Tentangan yang keras, berterusan dan konsisten ini kadang-kadang dilihat ― dan malangnya ditafsirkan sebagai melanggari (an infringement)  hak sekelompok rakyat lain untuk berhibur.  Ini bermakna,  mahu tidak mahu bahawa dalam proses penentangan konsert ini, sudah ada aspek ‘unsur-unsur  memaksakan nilai-nilai tertentu oleh satu kelompok terhadap kelompok yang lain’ yang dipamer dan diperjuangkan. 

Bagi mereka:  Yang ditentang bukanlah penganjuran konsert tetapi unsur ‘memaksakan sesuatu nilai itu’ yang ditentang.  Ertinya bukannya konsert per se yang menjadi masalahnya tetapi ‘memaksakan sesuatu nilai itu’ yang adalah satu masalah besarnya.          


iv.  Penutup: Kita protes setiap kali ada artis luar dijemput oleh pengusaha hab?

Ada beberapa perkara yang boleh kita simpulkan.  Misalnya, seperti berikut:

Dengan wujudnya sebuah hab hiburan yang sebegitu besar, tentunya hab akan melibatkan pelbagai macam artis dalam dan luar negeri.  Ertinya pelbagai macam artis pula akan dijemput.  Bukankah begitu? 

Bayangkan berapa banyak bantahan yang akan dibuat, berapa banyak pula  ‘pergeseran dalaman’ yang bakal timbul dan berapa banyak pula ‘keuntungan’(2) yang boleh diraup oleh Umno/BN yang memerintah negara ini.   

Pertentangan terhadap konsert ini adalah modal yang cukup berkesan untuk Umno/BN ― penentangan hiburan yang pelik-pelik mampu menternak pergeseran dalam kalangan musuh politiknya. 

Bagi kita, inilah salah satu agenda utama para pemuda Pas, PKR dan DAP.  Alangkah baiknya jika isu ini dihadapi bersama dengan mengadakan perbincangan.  Mungkin perkara ini telahpun mereka bincang.  


Nota hujung:

Kita bermula dengan cerita bahawa ‘Projek itu nyawa’.  Nyawa siapa sebenarnya?  Adakah projek itu nyawanya rakyat?

Kita telah melantik sebuah pemerintah yang akan membangunkan sebuah projek besar ― sebuah hab hiburan untuk kesejahteraan kita. 

Saya masih teringatkan YIK, Yayasan Islam Kelantan dengan Maahad Tahfiz Sainsnya iaitu sebuah sekolah aliran sains yang memastikan para pelajarnya menghafal Al-Quran.  Bayangkanlah anak tuan seorang pakar bedah yang dadanya diisi dengan Al-Quran tiga puluh juzuk itu.  Seorang saintis yang sentiasa ingat bahawa dia akan berdepan dengan Maha Pencipta kerana itulah didikannya tatkala di Maahad dulu.


Alahai,  Umno...perkasalah kamu dengan projek-projekmu.
   

____________________________________________________________
       
(1) Yang menjadi persoalan ialah ramai yang seolah-olah tidak begitu sedar atau malah peduli: Apakah prosesnya benar-benar adil, saksama dan demokratis?  Ini bermakna dalam seluruh prosesnya,  tidak ada ruang dan peluang ― lebih-lebih lagi untuk yang sedang memegang kuasa ― menipu.  Dalam konteks ini, orang menggunakan ungkapan bahawa seluruh pemilihannya berlaku ‘di padang yang rata’.  Misalnya pengadil (baca: SPR) yang tidak berat sebelah, daftar undi yang telus, tidak ada pengundi hantu, peraturan yang telus, jelas dan teratur.  Inilah sebabnya kenapa rakyat, tanpa mengira sesiapa mestilah bersama-sama BERSIH yang memperjuangkan pilihan raya yang lebih bersih.

(2) Kehidupan malam dengan ragam budayanya telah kita ketahui.  Luar biasanya pengaruh industri hiburan ini kepada manusia,  juga sudahpun kita ketahui.  Inilah projek dan industri Umno/BN yang telah dipilih rakyat itu.

Sungguh luar biasa, kamu Umno.  





No comments: