Wednesday, November 3, 2010

Pembangunan dan maknanya

Gugusan kampung-kampung Melayu di Kuala Lumpur


Kisah pembangunan Kampong Baru dan segala draf pembangunan dan pelbagai perancangan berkaitan dengannya telah lama kita dengar. Entah sudah berapa banyak kajian akademik/separa akademik, rencana, memorandum tentang kampong-kampong Melayu ini, telahpun dikarang orang selama ini.

Kenapakah begitu?  Tanah adalah segala-galanya.  Burung yang berterbangan di udara akan kembali ke tanah jua akhirnya.  Tanah di Kuala Lumpur, ibarat gadis-gadis sunti - ditangan para perakus-perogol, sangat tidak selamat.  Bangsa punah kerana menggadaikan tanah. Anak cucu sumpah seranah nenek moyang yang alpa, tamak dan korup yang menjual tanah pusaka.

Datuk nenek yang lupa asal usulnya, dicaci zuriat keturunannya.      


ii.
Dalam buku “Dirgahayu 150 tahun Kampung Bandar Dalam Kuala Lumpur (1860 – 2010):  Tanah Pusaka Warisan Bangsa”, Haji Ishak Surin, Ketua Kampung Bandar Dalam, Kuala Lumpur, dalam kata-kata aluannya yang bertajuk,  “Meniti liku-liku perjuangan” antara lain merakamkan:


“Dengan memohon keredhaan dan pertolongan daripada Allah S.W.T bahawa perjuangan mempertahankan HAK dan menyanggah KEBATILAN yang sedang kita teruskan ini adalah merupakan perjuangan suci yang dituntut oleh Islam.”

...

Apa saja muslihat dan tipu daya yang dilakukan; sebarang madah dan janji-janji manis yang disogokkan; pada hakikatnya adalah satu perancangan untuk memperdaya.  Dengan kata-kata yang lebih mudah difahami adalah perancangan halus yang bertujuan mahu menyingkirkan kita daripada tanah pusaka ini.  Oleh itu perbuatan jahat dan terkutuk ini mesti ditentang habis-habisan.”


iii. 


Sementara Pak Samad, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dalam buku yang sama merekodkan pemerhatiannya:


“Berpantunlah selagi ada madah, menangislah selagi ada air mata.”

Kampung Bandar Dalam mungkin akan tinggal hanya sebagai hiasan nama jalan, nama sekolah atau nama taman perumahan yang tidak bakal teringat dan diketahui oleh orang akan sejarah peneroka tulen datuk nenek asalnya.  Dan apakala peneroka-peneroka tulen dan asal itu menjadi arwah segalanya akan luput dalam kelupaan.


Lalu,  apakah ikhtiar dan sumbangan kita?



No comments: