Wednesday, January 19, 2011

Buah dan jurus sulit dalam bola sepak


Mari kita bermain bola


“Apakah hebatnya melihat 22 orang manusia berebut-rebut sebiji bola hanya untuk dijoblos ke dua buah lubang ternganga tapi dikawal rapi?”  itu versi yang telah kita ubahsuai.

Versi asal ialah soalan kenapa jutaan manusia betah melihat sekumpulan manusia berebut-rebut sebiji bola?   

Apa pun yang mahu kita tanggapi, jelas sekali bahawa sebagai satu cabang sukan, jangan ambil mudah dengan impak, kuasa, pengaruh bola sepak dalam kehidupan kita hari ini.  Katakanlah apa saja, namun begitu ramai makhluk di planet ini yang sangat meminati bola sepak.  Kita boleh saja bertanya, main-main maupun serius,  apakah yang engkau dapat dengan meminati pasukan XYZ, jawapannya mungkin hanyalah bahu yang diangkat dan/atau bibir yang terjuih?  Apakah wujud yang namanya rasionale itu dalam memabsahkan ‘kegemaran’?

Ya, pelik tapi benar: Bukankah yang rugi adalah masa, duit dan tenaga kerana terlalu mengikuti, menonton segala permainan yang melibatkan pasukan kegemaran masing-masing?

Minat dan kesukaan yang tidak boleh dibendung-bendung lagi itu membuat penguasa juga seolah-olah akur bahawa ini adalah kuasa dan pengaruh baru yang tidak boleh diabaikan ― apatah lagi dibiarkan berlalu begitu saja. 

Jika perlu cuti umum, maka cuti umumlah yang kita berikan.  Demikianlah bola sepak dan pengaruhnya.   


ii.

Orang-orang politik, sebagai hewan yang sentiasa belajar, boleh saja belajar daripada ilmu sepak terajang dalam permainan bola sepak.  Segala ilmu, sepak terajang dan muslihat yang wujud dalam lembaran-lembaran kitab bola sepak ini, dapat direnungi, dipelajari dan dihayati untuk dimanfaatkan sepenuhnya.

Maka dalam menjatuhkan pasukan lawan misalnya, terdapat pelbagai kaedah, muslihat, strategi, helah, peluang dan kesempatan yang boleh digunakan.  Salah satu taktik yang boleh digunakan ialah dengan mengganggu tumpuan@konsentrasi lawan. 

Kenapakah begitu?

Pasukan lawan yang bermain dengan baik, tenang, yakin dan bersih tidak bleh dibiarkan kelihatan hebat dan beraksi dengan berkesan.  Lawan yang disokong secara terbuka oleh khalayak sangat tidak baik untuk pasukan yang ingin menang.  Pasukan lawan yang bermain dengan penuh kesefahaman juga amat membahayakan pasukan sendiri. 

Makanya segala kebaikan pasukan lawan itu mestilah dimusnahkan. (Dalam politik, kebaikan lawan ialah memberikan air percuma, sedangkan kita sudah berangan-angan mahu niagakan segala sumber air yang telah kita lukahi)      

Lawan yang marah,  biasanya akan hilang tumpuan apatah lagi jika ketinggalan dalam jaringan gol. 

Di samping itu, pasukan lawan yang disusupi musuh juga mudah dikalahkan tanpa banyak masalah.  Musuh dalam selimut adalah senjata ampuh kerana sesekali dan berulang kali, musang ini pasti menendang bola ke gawangnya sendiri sambil memberikan justifikasi dan alasan yang berjela-jela lalu berpura-pura keliru dan pengsan buat beberapa minit.  (Kadang-kadang - mungkin kerana betul-betul pikun,  musuh dalam selimut ini betul-betul menendang bola ke gawangnya sendiri.  Entah bila lagi pengurus pasukan mahu membuang terus pemain ini, kita juga tidak tahu.)

Tidak kurang pentingnya ialah mendapatkan pengadil yang boleh diniagakan.   Kerja pasukan akan menjadi jauh lebih mudah jika wasit permainan juling matanya dan mudah pula didagangkan.


iii.

Apakah semua elemen ini wujud dalam pertandingan pasukan Pakatan Rakyat dan Umno/BN di Selangor?

Atau mana lagilah taktik, strategi, buah dan jurus-jurus serangan sulit yang belum mereka pakai di Selangor?

Siapakah yang sedang mengawasi musuh dalam selimut itu?

Dan siapa pula yang memilih siapa sebagai pengadil pertandingan itu?

Ilmu bola sepak ― elok juga jika ilmu itu diajar dalam semua rumah tangga politik Pakatan Rakyat.

 

No comments: