Wednesday, January 26, 2011

Cadangan pindaan akta mesin cetak: Usaha membunuh suara penentang?

Harakahdaily: 
Cadangan pindaan akta mesin cetak dibantah keras
Nazri Abdullah 


   
KUALA LUMPUR, 26 Jan: Cadangan kerajaan meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 agar meliputi terbitan internet, Facebook dan perisian dilihat cubaan menghadkan penyebaran maklumat kepada masyarakat dan mendapat bantahan dari semua pihak.

Ahli politik bimbang langkah ini menghalau para pelabur lari dari negara ini, wartawan pula berkata ia bakal menyekat kebebasan media manakala pejuang kebebasan media pula akan berkempen besar-besar membantah cadangan ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam memberitahu akan membuat pindaan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 supaya menjadi lebih komprehensif dan tidak terhad kepada bahan cetak semata-mata.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam berkata pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu sama ada ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook dan perisian.

Pindaan tersebut katanya akan dibentangkan pada persidangan dewan rakyat Mac depan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya berkata, langkah ini akan menghalau para pelabur dari negara ini. Bagi beliau langkah ini adalah satu tindakan yang menzalimi janji kerajaan BN sendiri yang tidak akan menyekat maklumat melaluin internet.

Presiden Kumpulan Aktivis Media Indipenden (Kami) Ahmad Lutfi Othman (gambar) pula berkata, pihak akan membuat kempen besar-besaran bagi membantah cadangan ini. Kempen melalui SMS sudah mula dilakukan beliau.
Pegawai Program Centre for Indipenent Journalism (CIJ), Chuah Siew Eng pula berkata, cadangan tersebut sangat keterlaluan kerana bakal melibatkan bukan sahaja pertubuhan media, malah pengguna yang terdiri dari rakyat biasa.

"Ini betul-betul keterlaluan. Kita amat kecewa dan terkejut kerana selama ini kita berkempen supaya akta ini dihapuskan, tiba-tiba sekarang ini nak dikembangkan pula," katanya.

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menyuarakan rasa bimbang dan kesal dengan tindakan KDN yang ingin meminda Akta Penerbitan dan Pencetakan 1984 (PPPA) untuk terus mengawal kebebasan media di negara ini.

Presidennya, Hata Wahari berkata ia satu "usaha ke kebelakang" yang akan menghalang aliran maklumat kepada masyarakat dan seterusnya memundurkan Malaysia.

"NUJ Malaysia meminta KDN agar menghentikan segala usaha untuk meminda PPPA bagi tujuan mengawal kandungan Internet termasuk laman berita, blog dan Facebook.

"Sebaliknyna NUJ Malaysia menuntut agar KDN melakukan pindaan bagi memberikan kebebesan kepada media cetak untuk beroperasi dengan lebih bebas," kata Hata dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Siew Eng berkata beliau tidak menolak kemungkinan ianya dibuat bermotif politik.

"Yang kita persoal, kenapa ianya dibangkitkan sekarang dalam suasana Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang disebut-sebut akan berlaku dalam masa terdekat.

"Kita tahu, antara punca tsunami politik pada PRU 2008 adalah disebabkan pengaruh media baru internet termasuk Facebook," tambahnya lagi.

Ujarnya, jika ianya dilaksanakan, rakyat tidak lagi bebas menggunakan kemudahan internet seperti Facebook dan blog walaupun untuk urusan lain selain berpolitik.

Sehubungan itu, CIJ katanya akan memperhebatkan kempen bukan sahaja bagi membantah pindaan akta tersebut, malah mahu ianya dihapuskan terus.



No comments: