Thursday, April 7, 2011

Oja misu-misu..orak apik


Mengembalikan peranan sebenar penulis


Ada pelbagai jolokan yang orang berikan kepada para penulis, “penulis itu perakam zamannya” atau kata Pak Shukur Harun, “penulis batu bata sebuah tamadun.”      

Dalam konteks sedia ada ini, rasanya semua itu adalah kata-kata indah yang dikarang orang untuk menyedapkan hati, sama seperti muluknya kata-kata yang lain: Negara ini ada undang-undangnya, kita ada prosedur dan peraturannya, kita ada mahkamahnya, kita ada pasukan polisnya, kita ada muftinya, kita ada pemimpin dan, kita ada semunya ― itu dan ini.  Kita ada semua walaupun kita sudah terlalu ‘puas’ bergelumang dalam pelbagai kebobrokan yang keji lagi hina. 

Dan kita ― ya, maksudnya negara kita ini juga ― ada parasitnya, ada penghasutnya, penjilatnya, pengampunya, penumpangnya, ada petualangnya dan para pecacai serta baraunya.  Kita ada semuanya.  Ada yang sudah lama menabur benih-benih itu dalam negara kita. 

Dalam seluruh kategori ini di manakah para penulis kita meletakkan kedudukan mereka?  Untuk lebih spesifik: Agaknya di manakah para penulis seperti yang bergabung dalam ASASI (Angkatan Sasterawan Nasional Kedah ― saya juga salah seorang ahlinya) itu meletakkan kedudukan mereka?

Apakah posisi yang paling kuat yang pernah diambil oleh para penulis ini?  Atau apakah semua penulis ini sudah menjadi ahli kelab yang ketiga:  Kelab Pemerhati Setia ― Kelab yang TIDAK mahu terlibat kerana semua dan segala-gala yang berlaku di sekeliling kita dengan alasan achaic/klasik: Itu adalah politik?

Oleh kerana yang berlaku di luar sana itu dilihat dan ditakrifkan sebagai politik semata-mata, maka perkara-perakara yang sangat asas@fundamental pun TIDAK disentuh.  Segala yang bejat itu tidak disentuh kerana alasannya itu adalah politik.  Akhirnya, pilihan yang terbaik untuk para penulis, sama seperti orang-orang lain ialah  dengan berdiam diri di zon yang lebih aman dan selamat.  Penulis sama seperti ulamak juga membisu.


ii.


Pada kita penyakit yang menghinggapi batang tubuh penulis itu sudah terlalu parah.  Dalam konteks ini, saya ingin bertanya kepada para pimpinan ASASI (Persatuan Penulis saya itu) di Kedah itu,  beberapa soalan:

Apakah reaksi mereka berhubung hal yang sangat sastera seperti novel “Interlok’?

Apakah reaksi mereka dalam kempen terbaru Gerakan Darurat Bahasa (GDB)?

Apakah respons mereka apabila Chua, Presiden MCA itu mahu subjek sains dan matematik itu dikembalikan kepada ke dalam bahasa Inggeris?

Apa dan bagaimanakah ASASI menanggapi episod video seks lucah yang dibentangkan oleh sebuah akhbar yang dibaca oleh orang-orang Melayu di kampung-kampung itu?  Itukah gambarannya dan standard budaya, akhlak dan moral, agama dan pemikiran para pengarang Melayu?

Atau seperti biasa kerana semua itu adalah politik, maka lebih baik kita semua berdiam diri saja.
  

iii.


Kami di Paksi inginkan dan ― memperjuangkan sesuatu yang baru, sesuatu yang lebih segar dan menyegarkan.  Bagi pembaca setia Wacana Budayanya Harakah, isu-isu ini sentiasa saja menjadi tajuk perbincangan Dinsman.  Oleh itu sesiapa saja yang mengikuti kolumn ini pasti akan mengikuti perkembangannya Paksi dan juga Budayawan Bertindak.  Dinsman tidak pernah lupa menyorotinya dengan penuh sabar dan bersungguh-sungguh.   

Maka apabila sebuah program anjuran Paksi yang dijadualkan pada 9 April 2011 iaitu penghayatan drama yang ‘wajar kita tontoni di kaca-kaca tv’ tiba-tiba saja tersandung kerana hal-hal yang sangatlah asas sekali, maka kekecewaan Dinsman terhadap tahap penghayatan sastera dan budaya oleh orang-orang politik itu sekali lagi menjadi persoalan besar. 

Bukankah semua ini berpunca daripada sikap apatis kita terhadap sepak terajangnya politik itu juga?  Sikap kita yang tidak mahu sama sekali berurusan dengan segala hal yang tebal dan tajam konotasi politiknya?  Apakah kita (maksudnya para penulis) terlepas daripada tanggungjawabnya kerana masih membiarkan semua ini berlaku? 

Sesungguhnya kita telah lama menanti dengan penuh sabar pula, perubahan radikal dalam kepimpinan badan-badan sastera dan budaya kita. Kita ingin sekali melihat para pemimpin persatuan penulis kita tampil dengan lantang sekali menyatakan bahawa bukan semua urusan dalam negara ini boleh dan semestinya diurus oleh politikawan. 

Kita sudah terlalu penat melihat kelakuan para politikawan negara kita, lebih-lebih penguasa sudah yang sekian lama sekali meratah dan menghirup darah rakyat.   

Apakah kata-kata yang muluk-muluk tentang ‘peranan sebenar’ penulis  sepertimana yang dipaparkan di atas ini juga dapat kita temui dan terjemahkan melalui dan dalam Paksi? Apakah Paksi itu terlalu besar sehingga mahu mendabik dada?

Tidak, Paksi itu terlalu kecil.  Namun yang kecil, hodoh, terpinggir dan melarat inilah yang  masih punya keinginan untuk suara dan sedikit kudrat untuk menulis, bercakap, berhujah dan berkata-kata tentang apa yang berlaku di sekeliling kita,  khususnya dalam soal bahasa dan budaya.   Sungguh malangnya nasib kita kerana yang besar-besar itu sudah terlalu sibuk mahu memastikan bagaimana segala harta dan hartanah yang berjuta-juta yang sekian lama dikumpul itu tidak disonglap oleh para pemimpin pelapis lain.  How incredibly pathetic we all,  are!   

Apakah penulis yang kita kumpulkan di dalam bengkel penulisan di Yan itu (sila rujuk Wacana Budaya Dinsman) nanti akan menjadi lebih terbuka sehinggakan lebih ramai yang berani membentangkan isu yang berlambak-lambak di dalam masyarakat, semata-mata mereka semua telah kita bengkelkan?

Adakah keterlaluan untuk mengharapkan perubahan yang besar hanya kerana adanya sebuah bengkel?

Apakah bakal lahir penulis-penulis yang tidak lagi bersembunyi di sebalik alasan lumpuh lagi sengal: Itu semua adalah politik.  Kita tak boleh terlibat!

Sialan lu...