Wednesday, April 6, 2011

Tulisan sebagai sumber Rezeki


Tuan rumah yang baik

Bila sebut SPRM, kita jadi teringat kepada tuan rumah yang maha mulia  budi pekertinya; that respectable host

Seorang lagi tetamu SPRM tiba-tiba meninggal, katanya ‘mati mengejut’.  Tetamu ini mati mengejut kerana terjatuh daripada bangunan tiga tingkat.  Peristiwa berlaku jam 10.xy pagi pada hari Rabu, 6 April 2011 di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.

Kalau tuan kepingin menjadi seorang tuan rumah yang baik, ikutilah contoh ini; tetamu dira’ikan sehingga ke akhir hayatnya.

Akhbar yang molek dicontohi

Di muka depan sebuah akhbar ― terpampang gambar yang dipetik dari sebuah video lucah, katanya kelakuan seks seorang musuh politik yang tidak dapat mereka tundukkan sejak tahun 1998.  Sejak tempoh itu pelbagai karya seni halus telah mereka paparkan ― semuanya tentang alat sulit manusia yang ada kaitannya dengan manusia yang SATU ini.    

Mereka ― nyata sekali ― telah tewas bertempur sebagai anak jantan tulen.

Sebutlah apa saja tentang batang tubuh kita yang sempurna ini; semuanya nyata cukup sempurna, amat cantik lagi menawan sekali kerana kesempurnaan ciptaanya.  Bibir yang sempurna itu seperti ulas limau berkembar, hidung yang mancung bak seludang, pipi yang gebu betul-betul ibarat telur direbus,  mata yang sangat jernih seperti zamrud seribu satu malam.  Ah, betapa cantik lagi mempersonakan segala ciptaanNya itu. 

Seorang teman selalu menceritakan bahawa siapa saja ― termasuk ratu yang paling cantik di dunia ini memiliki bahagian-bahagain badan yang sentiasa disembunyikan.  Bahagian ini tidak pernah dipamerkan.  Bahagian posterior yang penuh misteri dan tepu kebijakan penciptaannya itu hanyalah milik ekslusif sang pemilik batang tubuh itu.

Namun ada sebuah akhbar di negara kita tersangatlah maju dan begitu jauh sekali di depan dalam peperangan menjahanamkan seseorang ― musuh politik tuannya. Dan para pengarang, editor dan tentunya para pemikir akhbar ini telah menggunakan segala kebijakan, segala kemahiran yang mereka miliki dalam jihad mereka memusnahkan musuh politik yang SATU ini.  

Akhbar ini nyata unggul dalam jihad ini.   

Untuk melengkapkan lagi gerak jihadnya, sudut-sudut terpencil dan teramat sulit yang sangat peribadi yang sentiasa kita tutup rapat itu,  dibicarakan semahu-mahunya di depan khalayak ― termasuk anak-anak kita.  Akibatnya kita temui pelbagai terminologi@istilah yang tidak pernah terbayangkan dalam budaya, adat dan paling penting agama kita, dibicarakan secara terbuka dan meluas dengan penuh ghairah, birahi dan begitu lahap sekali. 

Bagi para staf akhbar ini, jihad ini adalah sumber rezeki untuk disuap ke mulut keluarga dan diri.

Kemuncaknya ― kelmarin akhbar itu telah membentangkan dan berbicara tentang video lucah.  Tivi milik mereka juga berbicara tentangnya.       

Gaji mereka yang bekerja di akhbar dan tivi ini untuk bulan April 2011 tentulah termasuk hasil jualan tentang video lucah.  Rezeki itu dibawa balik untuk dibeli-in susu untuk anak-anak di dalam buaian...

Yang paling utama sekali perjalanan sejarah kita telahpun mereka cipta dan tokok tambah bahan-bahannya.   Dalam tahun 1998, mereka telah mencipta sejarah itu kerana mahu memusnahkan secara total seorang Anwar Ibrahim.  Hari ini tahun 2011,  mereka masih mencuba dan terus lagi mencuba. 

Betapa kasihannya melihat nasib mereka ini.  Sejak 1998, mereka bingung, kewalahan, sasau dan kini, gila ― segila-gilanya kerana mahu memusnahkan seorang musuh politik.

Bumi yang malang ini telah sekian lama mereka kerjakan ― mengikut tarik-dan-rentap kemili hawa dan nafsu mereka selama ini. Dan hari ini, sejak 1998 ― jutaan Anwar Ibrahim telah lahir di bumi bertuah ini.  Benih pemikiran reformasi itu telah bercambah dan subur dalam kalangan rakyat jelata. 

Wahai Kutty & konco, setelah ini ― ke mana lagi arah tuju jihad kalian?

Jihad?  Ya, kita kira itulah takrifnya jika kita ikuti kefahaman dan kerja buat mereka itu selama ini.  Kalau bukannya jihad kenapakah mereka ― para pemimpin Melayu Umno itu telah sampai ke tahap yang maha gila ini?


No comments: