Mendakap Popiku
“Kau kuberikan dua permintaan. Ingat, HANYA ― DUAAA permintaan”. Serak suaranya, sarat idhramnya dari ceruk kerongkong yang paling dalam, mengingatkan aku pada landrover, terbenam di lunyai lumpur ― injinnya menderam-deram semahu-mahunya. Dan jari-jari itu, sandingan telunjuk ― jari hantu, siap menuding ke batang hidungku, ibarat mentadak yang sudah siap menerkam mangsanya.
“Ingat, hanya dua pilihan!” dia terus saja mengingatkan aku.
Lima hari lima malam yang penuh sejarah itu, siang malam, pagi dan petang, aku terus berfikir dan berfikir. “Mau jadi apa aku sebenarnya?” Rupa-rupanya sebelum permintaan itu kupersembahkan, aku masih lagi bingung dengan hasratku. Dan tatkala tersedar, dia sudahpun pergi jauh.
ii.
Hari keenam, entah bagaimana akulah yang tersasar memasuki hutan belantara, meredah bukit bukau, mendaki segala gunung ganang, menuruni pelbagai cerun berlurah, mungkin mencarinya.
Sejak saat itu, itulah yang kuceritakan kepada siapa saja yang tidak ingin bertanya dan semua pendengar yang ada: Tentang kehebatanku, tentang kependekaranku menuntut sebuah permintaan.
Sejak saat itu, itulah yang kuceritakan kepada siapa saja yang tidak ingin bertanya dan semua pendengar yang ada: Tentang kehebatanku, tentang kependekaranku menuntut sebuah permintaan.
Genap setahun, dia kutemui.
“Jadikan aku lelaki kurang upaya, ditemani gadis paling ayu di buana ini, semacam bidadari pinjaman. Boleh?”
Kenapakah begitu rupa dan bentuk permintaanya? Apakah itu benar-benar aku? Ya, aku ― yang katanya sudah cukup bersedia untuk menggalas sebuah permintaan yang maha besar? Bebas dan merdeka? Apakah aku meminta kerana akulah yang diarah supaya meminta-minta?
Benarlah tatkala itu, hasrat sebenar hanyalah permintaannya ― tak pernah terlintas yang lain kecuali meminta. Rasanya dia juga amat terkejut sepertimana terkejutnya aku dengan permintaanku sendiri. Ya, aku juga pelik kenapa itulah yang kupinta, akhirnya. Agaknya aku ingin benar mempamerkan kepada seluruh buana ini betapa hebatnya kelelakianku. Atau apakah semua ini terjadi kerana dorongan itu? Menjadi jantan yang sudah sah diuji tebal nipis imannya.
Mana satukah yang lebih tepat, aku juga kurang mengerti.
Mana satukah yang lebih tepat, aku juga kurang mengerti.
Saat itu ada yang lebih aula - aku boleh meminta-minta.
"Apa kau sudah gila? Itu sudah jadi dua permintaan!” Dia terus-terusan memprotes keras namun aku semacam tidak pernah mendengar apatah lagi mau memahaminya.
“Bidadarimu kelihatannya seperti Popi dalam Khotbah di Atas Bukit Kuntowijoyo saja?”
Aku betul-betul sudah jadi tuli.
“Anggaplah itu satu pakej. Bolehkah begitu?” aku separuh memaksa.
“Kau betul-betul, sudah melampau.”
iii.
Semenjak terbitnya fajar 1957 itu, dan mengikut kiraan Tahun Masihi sudah kira-kira (43+11) = 54 tahun atau 12 musim berlalu. Ya, dua belas musim telahpun berlalu.
Aku masih setia dan kepingin terus menunggu dan mendakap Popiku. Popi yang tak pernah kusentuh itu.
Popi 2011 tetap sama seperti Popinya 1957 ― masih lagi bidadari yang sunti yang tidak pernah kusentuhi.
Khabarnya musim yang ke 13 nanti, ada jejaka yang nyatanya jauh lebih gagah, yang lebih tampan mahu merebut Popiku.
Mungkin inilah saatnya, akan kuminta permintaan kedua itu.
“Mana boleh??!!” dia menjerit. “Kau telah pakai kesemua pilihanmu!!”
No comments:
Post a Comment