Thursday, May 26, 2011

Rupanya, bersembunyi ia

Sembunyi


Sudah bertahun-tahun strukturnya berdiri di gigi kolam takungan itu.  Kata para pesawah di seluruh permatang ‘kunci air’nya sentiasa saja setia ― tidak lokek ia berbakti kepada mereka.  Saban musim ia tekun menghantar air sehingga melimpah ruah seluruh petak-petak sawahnya. 

Ya, ini pintu air yang besar jasa baktinya kepada seluruh petani.  Ia struktur gagah ― penyelesai segala masalah dan tidak mungkin membawa masalah, demikian hebah para petaninya sesama mereka. Dan bertahun-tahun terbukti semua dan segalanya, kampung dan sawah ladangnya, aman dan damai.  Dan struktur konkrit itu terus berdiri tegak di gigi kolam takungannya.

Rata-rata segala penghuni desa, lebih-lebih lagi para pesawahnya sangat yakin kewujudan struktur yang sedemikian gagah inilah, maka bekalan pengairannya tidak pernah sekali pun terjejas. Ya, memang benar,  tahun demi tahun, musim boleh saja terus bersilih ganti, namun air pengairannya seolah-olah tidak akan berhenti mengalir ke sawah mereka, sehingga kiamat.

“Inilah kunci air perkasa! Ia membawa rahmat kepada kita.” laung Din Panjang,  pengerusi JKKKnya.  

“Ya, ya, kunci air yang gagah kerana budinya...” jerit yang lain pula.

Maka masyhurlah struktur konkrit itu ke seluruh pelosok desa.  Para petani miskin sangat yakin tanpa struktur keramat ini, pastinya mereka semua bakal kebuluran.   

“Hati-hati dalam beriktikad,“ demikianlah Ahmad Lebai Sudin, terus-terusan saja menggurui mereka, setiap kali dia berpeluang berceramah di surau kampung itu.   


ii.

Entah angkara siapa, entah perbuatan dosa si bejat yang mana, begitulah para penduduk kampung itu leka bertanya.  Mereka asyik sekali menebak teka ― kenapakah kemaraunya terlalu panjang dari yang biasa? Ya kenapakah tahun ini, kemaraunya keterlaluan panjangnya ― air sungai, kolam takungan pada kering semuanya? 

iii.

“Lihatlah, tapak kunci air ini sudah terhakis semua.”

“Apakah ia masih tegak bila kemarau panjang ini berlalu?” Din Panjang pengerusi JKKK bagaikan tidak percaya, kunci air gagahnya demikian jadinya.  Sekian lama kunci air itu bersembunyi, menyembunyikan.

Seluruh penduduk pada kampung gempar jadinya ― akar tunjang pintu perkasa sudah terhakis semua! 


No comments: