Thursday, June 16, 2011

BerHutang sampai mati: Rumah teres dua tingkat RM128,888.88 (1990)

Nikmat sebuah beg tangan dan berbuah-buah beg tangan.  


Dalam halaman belakang terbitan tak berkala Suara Keadilan, 14 Jun 2011 iaitu bilangan 20, ada tajuk berita yang berbunyi, “Berapa harga beg tangan Rosmah?” Beritanya begini: “Beg tangan jenama Birkin popular di kalangan personaliti dan artis terkenal dunia termasuk penyanyi Spice Girl, Victoria Beckham.  Mengikut laman web www.forbes.com, harga beg tangan itu adalah $120,000 bersamaan RM360,000.”

Khabar ini telah kita panjangkan kepada seorang dua teman, lewat pesanan ringkas:

“Sebuah beg tangan harganya RM360 ribu. Dan begnya bukan satu tapi banyak. Alangkah kesiannya isteri-isteri yang terpaksa pakai beg tangan plastik.  Atau apakah kita ini  termasuk  orang-orang yang dengki melihat orang lain senang?”

Berikut ialah respons-nya kawan-kawan:

“Beg tangan sangat subjektif tujuannya, ― tertakluk  kepada keperluan dan kemahuan.  Ada orang membeli ikut kemahuan.  Ada yang beli ikut keperluan beg tangan sebagai ‘carrier.’

Yang kedua pula begini bunyinya:

‘Seronokkah bawa beg tangan harga RM360 ribu? Saya lagi seronok kalau tak bawa beg tangan. Tak bawa apa-apa lagi seronok. Supaya bila mati nanti tak bawa apa-apa.”

Yang satu ini lebih menjurus:

“Patut tak kita buat brosur banyak-banyak tentang beg tangan yang banyak ini dan kita edarkan masa pilihan raya nanti?”

ii.

Rupa-rupanya susah juga menjadi orang besar-besar (ya, bukannya orang-orang besar), pakaiannya pun diteliti, diamati dengan mendalam  ― luar dan dalam.

Lebih bagus jadi seperti Jusoh Kepala Bukit, Bukit Meriam, Kota Kuala Muda,  Kedah yang kerjanya sepanjang hayat hanyalah bertukang rumah.   Tukang rumah yang rumahnya sendiri tak pernah siap-siap.

Tanah bendangnya sudah habis dijual untuk menyekolahkan anaknya.  Kata Jusoh, yang terakhir ini mahu jadi peguam.  Boleh jadi anak itu mahu berlawan hujah dengan Braheng yang telahpun menghebahkan hasratnya ke seluruh buana bahawa Bersih itu tidaklah Bersih.

Oleh sebab itu kumpulannya juga mahu berarak pada tanggal 9 Julai 2011 kerana kata Braheng,  semuanya sudah suci lagi murni. 



No comments: