Tuesday, June 14, 2011

Pengadilnya gemar menjuling


Perihal kewibawaan 

Pertandingan akhir bola sepak peringkat daerah Serba Boleh menarik perhatian seluruh penduduk daerah.  Ke mana saja penduduk bertandang, melawat, berziarah — ertinya ke mana saja mereka pergi, orang akan bercakap tentang pertandingan akhirnya pada 9 Jun 2011 itu.

“Ini adalah pertandingan akhir yang paling meriah yang pernah kita saksikan”.   Ternyata Tuan Pegawai Daerah, Daerah Serba Boleh,  Datuk Abang Lan juga teruja dengan keghairahan penduduk menantikan peristiwa sukan paling penting di daerah mereka sejak merdeka.

Piala Serba Boleh akan menjadi rebutan Rakyat Berpakat dengan Satu Bangsa.  Masing-masing pasukan yakin bahawa pasukan merekalah yang paling hebat.

2.

Cuma...ada satu perkara yang belum juga selesai-selesai.  Pasukan pendatang, Rakyat Berpakat tidak setuju dengan Mat Sepana sebagai pengadilnya.  Kata mereka,  pengadil ini sangat nyata berat sebelah dan sentiasa saja menyebelahi kehendak Tuan Pegawai Daerah. 

3.

“Mana boleh menuduh pengadil tidak adil?  Macam mana boleh tuduh pengadil tidak adil?  Apakah itu cuma alasan dibuat-buat oleh Rakyat Berpakat kerana mereka takut bertarung?”

“Bukan begitu, Tuan..maaf... Datuk.  Kata mereka padangnya tidak rata!!”

“Mengarut! Mana boleh?  Permainan tetap diteruskan dengan Mat Sepana sebagai pengadil. Kalau mereka tak mau,  kita walk over.”   


4.

Tuan pegawai daerah telah memutuskan bahawa Mat Sepana adalah pengadil pertandingan.  Dia tidak mahu sama sekali melayan hal-hal yang mengarut seperti memprotes kehadiran Mat Sepana sebagai pengadul.

“Tapi Tok, mereka mahu berpiket membantah pengadil di pejabat Urusan Bola Sepak.”

“Kita panggil polis.  Tangkap sesiapa yang buat kacau.  Habis cerita!!!”

“Tapi Tok,  urusan pengadil ini adalah tanggung jawab Persatuan Bola Sepak.”

“Bukankah aku, Tuan DO penasihatnya Persatuan?”  

5.

9 Jun 2011 tiba juga akhirnya.  Benarlah sepertimana yang diramalkan oleh pelbagai pihak — pasukan Rakyat Berpakat telah memulaukan pertandingan akhirnya.

Datuk Abang Lan,  tersangatlah gumbiranya.

“Wow, team kita telah jadi juara.  Kita juara!!!”

“Tapi menang secara pondan,  Datuk.”   

“Sapa kata?”

“Seluruh negara sedang tetawakan kita.  Kata mereka,  menguruskan pengadil yang telus pun kita tak mampu...”

“Mengarut! Semuanya mengarut belaka!”



No comments: