Tuesday, June 14, 2011

Sepuluh film Hindustan sehari

Cukuplah dengan politik loyar buruknya Umno


Nyata sekali sakit demamnya Umno dipercik Muktamar Pas ke 57 belum juga mahu kebah-kebah.  Suhu badannya masih juga tinggi dan kelihatannya seperti tidak mahu turun-turun.  Saf terbaru kepimpinan parti yang membariskan mereka yang relatif lebih agresif citarasa dan gelagat keaktivisannya,  cukup merungsingkan Umno. Dan mesej jelas para perwakilan bahawa mereka, para perwakilan Pas,  tidak boleh dilaga-lagakan telah memberikan pukulan mautnya kepada Utusan dan Tuannya.

Apa lagi yang boleh dilihat sebagai bola tanggung yang mampu dipamerkan kepada khalayak, khususnya orang-orang Melayu?  Jawabnya, ‘Negara Berkebajikan’.  Ya, ya bagi Umno itulah bola tanggungnya. Ia menjadi tanggung kerana tag Islamnya telahpun digugurkan, katanya semata-mata kerana mahu memancing undi orang-orang bukan Melayu.

Sebenarnya untuk era pasca 1987 yang namanya UMNO, akronim untuk United Malays National Organisation itu sebenarnya bukan saja tidak tepat — malah sarat penipuan.  Di hari siang yang terang benderang,  mantan Al-Kutty, perlahan-lahan tapi nyata telah membuang kata sifat, adjektif ‘baru’.  UMNO yang sepatutnya UMNO Baru disonglap menjadi Umno semula.  Ya, Umno Baru telah mengular dengan kulitnya yang baru.

   
ii.

Maka apabila orang-orang seperti Ali Rustam dan Mohd Puad Zarkashi Puad Zakarshi  menggesa supaya perkataan Islam itu digugurkan oleh Pas dari nama partinya,  kita pun diingatkan semula tentang perangai semulajadi Umno dalam politiknya tatkala berdepan dengan musuh-musuh politiknya.  Bagi para pemimpin parti Melayu yang menjadi teras pemerintahan negara ini sejak negara ini merdeka, perkara-perkara seperti inilah yang wajib dan mesti dibangkitkan di kalangan orang-orang Melayu.   

Cuba bandingkan dengan mesej dan pesanan pemimpin tertinggi negara jiran setelah mereka diberikan mandat untuk memerintah semula.  Mesejnya jelas lebih Islamik sifatnya, tanpa kata-kata tempelan yang begitu memualkan rohani.  Lihatlah bagaimana kata-kata tempelan 1Malaysia, “Rakyat didahulukan” itu menjadi lelucon yang tidak menggeletek apa-apa — kecuali pundi-pundi mual. 

iii.

Apakah tingkah laku para pemipin Umno dalam berhujah tentang ‘Negara Berkebajikan’nya Pas itu mampu mengalih tumpuan rakyat daripada isu-isu misalnya ketelusan anugerah biasiswa JPA, subsisdi IPP, anak-anak muda kita yang ditembak mati oleh polis, mereka yang punah tatkala disoal-siasat oleh SPRM....harga minyak, lawatan rasmi ke Hindustan,  pilihan raya yang bersih dan telus, martabatnya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan lagi dan lagi dan lagi... itu.

Apakah maknanya semua ini?

Ahli-ahli politik (khususnya pemerintah) sekalian, silalah kembali ke bisnes tuan yang paling asas: For goodness sake, start governing like real leaders, silalah urustadbir negara ini sebagai pemimpin sejati. 

Sebagai permulaan, sila renungi hakikat ini baik-baik: 

Rakyat semakin dihimpit oleh harga barang yang kian menggila.  Sepuluh film Hindustan satu hari, apatah video lucah TIDAK mampu mengurangi penderitaan rakyat!!!  

Biarlah kerja-kerja membadut itu dilakonkan oleh para badut yang profesional. 

Dan rakyat melantik kalian bukan untuk membadut. 


No comments: