Sunday, June 12, 2011

Ketidakakuran sebagai mesej

Mesej ketidakakuran massa: Kenapa mesti bimbang?


Peristiwa 9 Julai 2011 semacam semakin dipedulikan oleh khalayak. Dan segala yang kemereh, melarat, terpinggir — mereka yang selama ini berjuang sehari suntuk, setiap hari demi untuk meneruskan kehidupan mereka, seperti para pemandu teksi Kuala Lumpur pun diajak untuk berkata-kata. Bayangkan Malaysiakini telahpun melaporkan intisari wawancaranya dalam dua versi, Melayu dan juga Inggeris. Mesejnya yang tersirat ialah janganlah diteruskan protes massal rakyat, Bersih2 itu kerana banyak kerugian yang bakal dialami, termasuk oleh para pemandu teksi yang miskin itu sendiri.

Portal yang hebat-hebat pun tiba-tiba saja prihatin dengan pendapatan nasib rakyat kelas bawahan yang pada kebiasaannya menjadi mangsa sistem sedia ada. Tidak percaya, mintalah portal seperti Malaysiakini ini bertanya soalan-soalan cepu emas seperti ini kepada para pemandu teksinya:

i) Berapakah bayaran sewa teksi ini sehari? (jangan tanya lagi, siapakah pemilik permitnya?)

ii) Apa saja yang tuan perlu bayar untuk mengurus teksi tuan ini? Berapa kerapkah segala bayarannya perlu dibuat? 

Apakah namanya agensi-agensi yang mengutip habuan mereka dari industri teksi ini? 

Apakah peranannya Puspakom, SSM, JPJ, SPAD dan insurans (sekadar menyebut beberapa contoh) dalam memastikan industri teksi kita ini tip-top dalam buana ini? Berapakah yang tuan perlu bayar untuk setiap alat gantinya? 

Di manakah tuan selalu mendapatkan bekalan gas teksi tuan? Berapa lamakah tuan menunggu setiap kali tuan beratur untuk mengisikan gas teksi tuan? 

Rata-rata berapa jamkah sehari tuan mencari penumpang? Apakah nasib tuan bakal terbela dengan pemerintah seperti Sang Penguasa sekarang ini?

Rasanya baik juga jika Malaysiakini selidiki dan laporkan nasib para pemandu teksi ini.

Itu sebahagian kecil daripada persoalannya. Persoalan bagaimana mereka, pekerja marhaen ini bergelut dengan kenaikan harga barang-barang yang begitu menggila sekarang ini.


ii.

Kenapakah tiba-tiba saja berminat dengan 9 Julai 2011? Kenapakah laporan polis juga mulai muncul di ceruk rantau seperti di utara tanah air? (Bak kata TT, semakin banyak laporan polis dibuat, maka semakin baiklah publisiti percuma yang Bersih2 perolehi).

Ya, memang elok jika makin banyak segala NGO yang mesra Sang Penguasa itu membuat laporan polisnya. Makin ramai yang bakal turun ke ibu kota.

Kepada seluruh rakyat, jangan lupa untuk sama-sama turun pada tarikh itu.

Bukankah rakyat juga berhak memprotes secara senyap dan aman kerana rakyat juga berhak menunjukkan isi hati mereka dan juga pandangan mereka berhubung proses PRU kita?

Kali ini, untuk kedua kalinya rakyat ingin tahu, lewat jalan raya, kenapakah pemintaan mereka yang amat mudah seperti penggunaan dakwat kekal pun begitu sukar dibenarkan? Kenapa — begitu sekali rumitnya? Apa lagi yang mahu dibelit?

Rakyat perlu turun ke jalan raya untuk bertanya dan harap-harap, hopefully mendapat jawapannya.

Maka wahai Sang Penguasa, berikanlah hak untuk memprotes secara aman dan senyap itu kepada rakyat.

Percayalah, rakyat sudah tidak percaya lagi kepada segala sistem dan segala aparat yang wujud di dalam negara ini.

Akhir sekali, bacalah mesej rakyat ini.

Bacalah baik-baik dan dengan penuh teliti, mesejnya.



No comments: