Saturday, June 11, 2011

Pemandu teksi juga memilih Kerajaan


Dari laman Malaysiakini:

Norain Saleh & Norsyafinas Ahmad Sukri
Jun 11, 2011
11:38am

Perhimpunan besar bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil pada Julai depan nampaknya menggentarkan sesetengah pemandu teksi sekitar ibu kota.

Dalam tinjauan pendapat Malaysiakini di sekitar Bangsar, Kuala Lumpur semalam, majoriti pemandu teksi yang ditemui menyuarakan rasa tidak senang dengan rancangan mengumpulkan puluhan ribu aktivis dan penyokong pembangkang pada tarikh itu.

Rata-rata mereka menjangkakan akan hilang pelanggan ekoran kesesakan teruk jalan raya, seperti pengalaman dalam demonstrasi-demonstrasi sebelum ini.

_______________________________

Kita mengerti dan kita faham keresahan para pemandu teksi yang bakal terjejas upayanya   mencari rezeki halal pada 9 Julai 2011 itu nanti.  Semuanya angkara perhimpunan besar-besaran yang sengaja dirancang oleh Bersih2 kelak.   

Ya benar, paling kurang separuh hari masa bekerja untuk mencari sesuap nasi bakal terbuang dengan sia-sia kerana lalu lintas yang sesak.  Semuanya adalah angkara perbuatan yang disengajakan oleh para perancang dan penganjur Bersih2.   

Itu hujah yang cukup mantap kenapa Bersih2 ini begitu memudharatkan ekonomi negara, termasuk mata pencarian golongan marhaen seperti para pemandu teksi yang kian tersepit, terhimpit dan dihimpit kehidupannya.  Yang jelas,  Bersih2 bakal menambah lagi  keperitan hidup para pemandu teksi di Kuala Lumpur ini.  

Kalau tidak salah — sebelum ini,  sudah ada pakar ekonominya yang mencongak  — campur,  darab, tolak dan bahagi berapa besarkah kesannya terhadap ekonomi akibat perbuatan Bersih2 ini.

Pendek kata, atau — lebih tepat Pendek itu telahpun berkata bahawa semua ini tidaklah baik untuk rakyat semua, lebih-lebih para pemandu teksi.


ii.

Mungkin ada aspek yang lebih mustahak yang tidak pernah jelas dan dijelaskan kepada para pemandu yang marhaen ini.  Penjelasan yang tepat lagi jitu berhubung maksud perjuangannya Bersih2 itu.  Penjelasan dan juga perbandingan tidak-mendapat-mencari-rezeki-sehari itu dengan kelangsungan hidup demokrasi di negara para pemandu teksi ini. 

Mungkin juga apa yang diperjuangkan oleh Bersih2 ini telah digelapkan dari pandangan para pemandu yang rata-rata melarat ini.  Mungkin para pemandu ini tidak begitu jelas bahawa yang diperjuangkan oleh Bersih2 itu adalah nadi, nafas dan nyawanya demokrasi sebuah negara yang tercinta. 

Bukankah demokrasi itu bermakna hak utlak rakyat jelata seluruhnya, termasuk para pemandu teksi untuk memilih -  secara telus, adil dan terbuka pemerintah yang mereka kehendaki?   Ya, rakyat tidak mau lagi para penipu itu terus-terusan menggerogot kuasa kerana proses pilihan rayanya yang TIDAK bersih.

iii.

Yang Jelas, apabila terbit mentari 9 Julai ini, saya TIDAK akan memandu teksi selama satu hari.  Saya tidak memandu teksi kerana insyallah, pada hari tersebut, saya akan bersama-sama rakyat Malaysia yang lain, berganding bahu dalam perjuangan Bersih2!

Ya, benar rakyat Malaysia perlukan pilihan raya yang BERSIH dari segala bentuk penipuan oleh Sang Penguasa.

Apakah makar permintaan yang seperti ini?


No comments: