Friday, June 24, 2011



Harakahdaily   

KUALA LUMPUR, 24 Jun: AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, adalah pelik dan macam mana seorang ahli akademik seperti Prof Datuk Dr Zainal Kling mengatakan pembangkang suka kepada anarki iaitu supaya suasana tidak tenteram dan tidak mengikut undang-undang.

“Beliau memberi komen himpunan Bersih 2.0, andaiannya boleh menimbulkan suasana yang tidak tenteram,” katanya.

Sebagai ahli akademik, tambah belau sepatutnya sebelum memberi pandangan biarlah mencari fakta yang adil, kemudian baru membuat rumusan.

“Macam mana beliau sebagai ahli akademik yang sering berpesan kepada mahasiswa ketika menjalankan penyelidikan perlu membaca semua bahan, kemudian baru membuat rumusan.

“Tiba-tiba beliau sendiri tidak mengikut disiplin akademik yang membuat tuduhan secara membuta tuli kepada pembangkang,” ujarnya.

Sehubungan tu, belau mempersoalkan kenapa Zainal tidak mengkaji himpunan Bersih pada 10 November  2007 yang dihadiri lebih 100 ribu orang yang  berjalan di dalam keadaan aman malahan sebiji pasu bunga tidak dipecahkan.

Baginya, janganlah kerana Zanal menjadi penyokong tegar Umno sehingga melekat di dalam fikirannya selain daripada Umno tidak mampu untuk membawa kemakmuran negara.

“Biarlah fikiran sebegini hanya ada kepada mereka yang buta maklumat, bukan mereka yang berada di gedung ilmu,” katanya lagi.

Beliau tidak menafikan kerajaan Pakatan Rakyat bukanlah sempurna, tetap jika hendak dibandingkan dengan kerajaan BN yang memerintah hampir 54 tahun, sudah tentu kerajaan Pakatan Rakyat lebih baik yang terbukti dan teruji.

Katanya, Zainal memang terkenal sebagai penyokong tegar Umno, sewaktu di universiti Malaya lagi.

Idris menambah, fikrah Zainal sama seperti Dr Antory Husin, Dr Ramlah Adam, Dr Kamarudin Kachar, Dr Ibrahim Abu Shah, Dr Mustafa Ishak.

“Mereka ini ahli akademik yang memberi pandangan politik yang memalukan, kerana masyarakat melihat pandangan yang tidak layak keluar daripada mereka yang berada di menara gading.

“Kalau hendak mengampu biarlah kena caranya, bukan memberi pandangan yang emosi dan tidak berisi,” katanya.
_____________________________________

I.


Sebagai rakyat yang jelata, kita tentu tidak akan lupa nama-nama besar yang disenaraikan di atas.  Kita senaraikannya,  sekali lagi:


Prof Datuk Dr Zainal Kling
Dr Antory Husin,
Dr Ramlah Adam,
Dr Kamarudin Kachar,
Dr Ibrahim Abu Shah,
Dr Mustafa Ishak.


II.


Silalah bandingkan dengan pandangan yang di bawah ini.  Dan tatkala dua perenggan terakhir itu dibaca,  saya berada di belakang Pak Samad, mewakili SAF, Saf Anti Fitnah:

Teks Ucapan Penuh Pada Malam Pelancaran Bersih—19 Jun, 2011.

(http://samadsaid.wordpress.com)
 
“Murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini. Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan.

Kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi? Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela?

Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni.

Kita sedar bahawa jalan ini tidaklah mudah. Maka itu, kita menjadi lebih berazam. Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. 

Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal. Oleh media arus perdana ini, kita sewenangnya digambarkan sebagai kumpulan “siasah” yang sangat bercita-cita buruk. Lebih buruk, kita digambarkan sebagai kelompok yang sengaja ingin menggelorakan masyarakat seburuk hajat. 

Kita tidak begitu. Kita ingin memperbaiki jentera demokrasi agar lebih berhati nurani.
Kita tidak menginginkan demokrasi yang kasar dan sombong; kita merindukan demokrasi yang tulus dan betul.

Inilah gerakan kita yang, sayangnya, terpaksa bermula di tengah keangkuhan kerajaan yang merasa segala-galanya sudah betul, malah sudah syurgawi, di tanah air ini. Kita sebenarnya masih dalam derita yang terus dicipta oleh tangan kasar berhati angkuh yang sangat bercita-cita. 

Kita merindukan suara kuasa yang waras dan insani; suara pembimbing yang ikhlas dan mengerti. Kita tidak memerlukan suara angkuh dalam era yang sudah terlalu lama sombong ini. Kita mengharapkan tangan kuasa yang berhemah, sedia memimpin dan berdamai, turut bantu mencipta iklim demokrasi yang harum.

Memanglah kita mengkhayalkan dunia indah itu, walaupun kenyataan yang terserlah dan mengembang kini sedang menunjukkan di atas kepala kita sentiasa sedia terapung awan kelam yang menjanjikan tofan.
Jikalau berlaku, kita bukanlah kelompok manusia yang gamam berlari; kita, sebaliknya, adalah manusia yang cekal berdiri. Kita ingin memupuk demokrasi yang lebih berhati nurani.

Dua ratus tahun dulu seorang tokoh kecil Sam Adams, dengan kelompoknya yang kecil juga, telah mencurahkan teh ke dalam laut di pelabuhan Boston, Amerika. Kata Sam Adams:

“It does not require a majority to prevail, but rather an irate, tireless minority keen to set bushfires in people’s minds.” 

Kita nyalakan unggun api itu pada malam ini!”

(Perhatian: Kerana dibataskan masa hanya seminit seorang, maka saya yang mewakili GMP, hanya sempat membacakan dua perenggan terakhir teks ucapan ini.—A. SAMAD SAID).



1 comment:

ainurjah said...
This comment has been removed by the author.