Friday, June 24, 2011

Ibu dan anak-anaknya

Seorang ibu dan anak-anaknya


“Puan masih sihat, kuat. Boleh tau umurnya?” 

Saya mengambilnya di sekitar Pasar Borong, Selayang, pada satu pagi yang cerah tatkala mentari mulai menggigit sebarang kulit yang telanjang.

“Sudah 71.”

“Puan masih kuat dan sihat.”   

Dari cermin pandang belakang, saya dapat mengimbas wajah yang nyata kesan-kesan mamahan usia; kulit seribu kedutan itu tidak mampu lagi ditutupi bedak (sejuk?) dan rambut itu hampir putih semuanya.  Mungkin, setahun dua lagi ― seperti ibu ini,  saya juga bakal memasuki kelab orang-orang ‘bijak-sana total’ kerana warna rambutnya.   

“Saya ada empat orang anak.  Puan ada berapa orang anak?  Mereka jaga ibunya baik-baik...?”

“Empat orang.  Apa? Jaga ibunya? Kalau kita ada harta, kasi semuanya ke rumah kebajikan.  Awak tau, yang perempuan selalu dengar cakap lakinya, yang lelaki ikut cakap bini.”

Ibu yang berbicara dalam bahasa Inggeris yang cukup lancar itu pernah bekerja sebagai seorang telefonis.

Setelah berbelit-belit di sekitar Pasar Borong, akhirnya kami sampai ke jalan masuk rumahnya.

“Saya jalan saja dari sini.  Awak boleh belok sini, ikut jalan tadi.  Sana boleh sampai ke Petronas.” 

Tadi tatkala menjemputnya naik, telah saya maklumkan saya perlu mengisi gas di stesen minyak itu.

“Aci, jalan baik-baik..”

Tatakala ibu tua ini melangkah gagah menyusuri jalan setapak berliku-liku, saya teringatkan nasib dan habuan ibu bapa yang lain.

Perempuan tua ini beruntung, dia masih lagi sihat ― jasmaninya.

   

 

1 comment:

ainurjah said...

Trenda anak-anak zaman siber ini persis si tanggang zaman silam. Terlalu sibuk dengan hambatan keduniaan menatijahkan kealpaan dan pengabaian ibu dan ayah yang telah mencipta peluang untuk anak melihat dunia yang fana ini. Wallahu'alam.