Saturday, June 5, 2010

Flotilla dan dunia

Palestin: Umat manusia yang sekian lama dinafikan kemanusiaannya

I) Bertamadunkah manusia abad ini?

Sebagai satu bangsa mereka telah membuat pilihan. Dan mereka memilih Hamas sebagai pemerintah yang sah. Malangnya di abad ke 21 ini, dunia yang dikuasai kuasa-kuasa besar seolah-olah menyatakan bahawa itu bukanlah pemerintah mereka.

Apakah mereka tidak dinafikan haknya untuk hidup sebagai satu bangsa yang bebas? Kalau ya, kenapakah suara mereka yang sah itu dinafikan? Atau apakah mereka masih bebas memilih siapakah pemerintah mereka?

Bangsa-bangsa yang bertutur bahasa dan memiliki budaya yang sama seperti mereka pun tidak mengambil peduli apa yang sedang berlaku. Ada yang menutup sempadan atas kehendak sebuah rejim haram.

Kini sebagai satu bangsa, mereka dikurung dalam sebuah penjara terbuka! Mereka didera supaya segera musnah.

Krisis ini bukan berlaku hari ini atau kelmarin, ia bermula lebih setengah abad yang lalu.

Dan kita, yang katanya cukup mantap dengan nilai tamadun tinggi, masih lagi mampu tidur nyenyak.


II) Wajah kemanusiaan mestilah sentiasa di depan


Apabila ada warga dunia yang sangat prihatin, lantas berusaha dengan menghantar bantuan seperti menghantar Flotilla, mereka diserang walaupun masih berada di perairan antarabangsa!

Serangan lanun Israel terhadap Flotilla yang membawa manusia dari pelbagai bangsa, negara, warna kulit dan agama, menyedarkan ramai dalam kalangan kita rakyat Malaysia, hakikat sebenar masalah Palestin ini.

Ramai yang mulai sedar bahawa sebenarnya ia bukanlah masalah Arab dan Islam. Ia masalah kemanusiaan sejagat.

Ramai yang memahami bahawa dalam kalangan rakyat Palestin ada juga bukan Islamnya walaupun relatif kecil.

Kini ramai yang mulai mencari-cari perbezaan: Apakah itu Zionisme, Apakah itu Yahudi dan apa dia itu Isreal.


III) Pakatan pembangkang bersama mahasiswa dan NGO/NGI telah turun menyatakan kemarahan mereka pada 4 Jun 2010 dengan berarak dari Masjid Kamping Baru ke Kedutaan Amerika untuk menghantar memo kepada sekutu, pemberi dana dan sumber terbesar kepada rejim haram, Israel.

Apakah ini ― rasa muak ini, juga akan kembali seperti biasa ― akan sejuk dan sepi semula selepas satu minggu?

Dan kita pun kembali sibuk mengejar kehidupan yang ternyata juga semakin sibuk dan menekan?


Para penulis tanah air sekalian, apakah tidak terguris nuranimu melihat ini semua? Atau lebih selamat jika kita juga ikut berbuat apa yang pemerintah kita lakukan?

Marilah kita pun pura-pura bertempik! Itu lebih selamat.


No comments: