(Kisah yang kita paparkan ini hanyalah khayalan semata-mata, tak ada sangkut pautnya dengan yang hidup maupun yang telah kembali ke alam abadi...)
Idea asal hanyalah sekadar menyatakan hasrat. Ya, hanya menyatakan hasrat. Itu saja, tidak lebih dan tidak juga kurang. Hasrat berjumpa seseorang supaya dapat dipertimbangkan sebuah biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Dia tahu itu bukanlah kerja yang mudah, lurus dan senang. Dia juga sedar bahawa itu kerja ruwet berbengkang bengkok seperti bengkang bengkok dan ruwetnya denai keldai di lereng-lereng gunung. Itu belum Mat J perinci keberhasilannya@kejayaannya.
Pada fikiran Mat J, biasiswa kini sangat cekap menyembunyikan diri, maka oleh kerana itu kerja mengejarnya adalah kerja sukar lagi berbelit-belit. Biasiswa kini, kata Mat J pada dirinya, juga ternyata malu orangnya. Pada fikiran Mat J, malunya juga jauh melebihi taraf malu-malunya gadis sunti tahun 50an. Makanya dia memerlukan penghubung kerana saluran normal sedia ada belum tentu mampu membawa sebarang hasil; bayangkan ratusan lulusan yang mendapat nilai ‘A’ penuh masih belum tentu ― malah kadang-kadang kewalahan mendapatkan yang namanya biasiswa itu apatah lagi dia yang kira-kira hanya ‘sedikit atas’ pelajar biasa, tentulah jauh lebih memayahkan.
Perlu diingat tatkala itu kepalanya masih terlalu pening dengan segala-galanya yang berlaku dalam dan luar rumah ― di dalam dan luar diri. Ah...serabutnya bukan main lagi. Sally yang hampir setiap hari menggerogotnya lahir batin, terus-terusan meminta-minta supaya segera dikahwini secara sah adalah nyamuk binal yang laparkan darah, kini terperangkap di dalam kelambunya. Menyesal juga dia mengejar anaknya orang besar-besar seperti itu.
Ahhh...
Sekarang ini yang penting adalah ucapannya tatkala menerima anugerah tersohor itu. Sasterawan negara manakah yang mahu diikutinya? Apakah itu modelnya ‘politik sastera dan sastera politik – Keris Mas, atau ‘Cinta – Shahnon Ahmad’ atau ‘Suara kemanusiaan seorang pengarang – Usman Awang’ atau apakah ia sewajarnya meniru ‘Menulis itu resah yang bahagia, duka yang indah – A. Samad Said’
Bukan main. Bukan main lagi Mat J yang berada di kandang saksi berucap gayanya sasterawan negara. Mat J tersenyum sendirian.
Namun...ah, rasanya masih ada yang bersisa dalam J.
Apakah doktor itu tertinggal plastiknya?
No comments:
Post a Comment