Akulah hayat politiknya
Oleh: Mat J
Bermalam-malam dia ― Mat J membolak balikkan tubuhnya di atas tilam hapak bertompok-tompok yang amat menyiksa deria bau segala makhluk rumah itu, kecuali dia. Sudah bermalam-malam berbolak balik dia di tilam hapak, namun matanya tidak juga mau lelap biarpun sedetik. Air asid yang terus-terusan rembes ke usus besar dan kecil dirasanya seperti anak sungai lereng bukit, dusun neneknya - tempat dia selalu bermain jika pulang bercuti di kampung asal usulnya.
Ada pedih menikam ulu hati. Ah, gastrikku kumat lagi, demikian fikirnya. Ternyata mulutnya tekaknya bagaikan dipaih peria katak.
Diamatinya sekali lagi segala teks ucapan penerimaan gelar sasterawan negara:
Politik sastera dan sastera politik – Keris Mas
Cinta – Shahnon Ahmad
Suara kemanusiaan seorang pengarang – Usman Awang
Menulis itu resah yang bahagia, duka yang indah – A. Samad Said
Sastera sebagai jurubicara hati nurani – Arena Wati
Menyeberang sejarah: Sastera Melayu di ambang dunia – Muhammad Haji Salleh
Jerat di bumi...ke mana sastera kita? – Noordin Hassan
Sastera boleh menolong memperkukuh kepercayaan beragama – Abdullah Hussain
Merenung peradaban dan tamadun Melayu melalui karya sastera – S. Othman Kelantan
Apakah teks ucapan penerimaanku ini tidak seharusnya setaraf dengan ucapan-ucapan di atas? Aku tidak mahu kelihatan seperti anak sekolah, terkinja-kinja mahu meniup lilin penghias kek tatkala menyambut akil balighnya. Tak mungkin.
Diketiknya apa yang terlintas.
Saat ini, tidak ada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaanku ini. Tidak ada. Jika segala rambut sentiasa kalian cuci, minyaki dan keramas dengan pelbagai wangian lalu kalian junjungi ke mana saja dan ketiak masam itu kalian aromakan dengan deodarant yang paling wangi dalam rak super market, dan kuku pula kalian warnai dengan pelbagai nada, bagaimana pula dengan aku? Ya, aku? Lihatlah dudukku dalam seluruh struktur sistem kita.
Ternyata akulah jalan keluarnya.
Mereka telah memilih aku sebagai jalan keluarnya...Hah...
Wahai dunia! Lihatlah aku
Cis, betapa aku dicemuh hina kamu semua
Nah, lihatlah aku hari!!!
Akulah, ya AKU penentu jatuh bangunnya sebuah pemerintahan...
Mat J terhenti, dia tidak mahu teruskan. Teksnya ternyata belum cukup bobotnya untuk menjadi teks anugerah sasterawan negara. Belum. Malam esok dia akan mencuba lagi...
Komputer riba itu masih lagi 'bernyala' di atas meja.
No comments:
Post a Comment