Thursday, June 3, 2010

Tiris? Apa bukan sunglap?



Mari kita gunakan istilah yang lebih tepat ― pengsunglapan dana bukan ketirisan dana.


‘Ketirisan’ datangnya dari perkataan akar ‘tiris’. Dalam Kamus Dewan, 2005. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dimaknakan: bocor (atap, perahu, bekas air, dll).

Ertinya semakin besar lubangnya, maka semakin deraslah air mengalir, masuk atau keluar melalui lubang yang menyebabkan kebocoran itu.

Entah bagaimana istilah ‘ketirisan’ ini kerap digunakan dalam memperkatakan pengurusan (atau lebih tepat salahurus) dana pembangunan dan pengurusan oleh kerajaan. Para pembangkang, NGO mengkritik hebat perihal kebocoran dana ini. Saking kerap penggunaannya maka sekarang ini, ‘ketirisan’ menjadi istilah yang sangat popular.

Jika kita perhatikan kaedah sedia ada seperti prosedur dan prosesnya dalam pengurusan dana kerajaan, peraturannya cukup rapi dan teratur. Tak cukup dengan itu, kita juga ada pihak audit yang akan menegur dan membetulkan sebarang kepincangan dengan harapan ia tidak berulang pada masa depan. Paling tidak ― di atas kertas, begitulah hebatnya ketelitian kita dalam mengurus wang rakyat.

Cuba kita perhatikan prosesnya. Katakanlah kita ingin membaikpulih sebuah skim pengairan. Setidak-tidaknya kita akan lalui proses ini:


i) Semasa memohon peruntukan pembangunan kita menyediakan anggaran peruntukannya. Kita menyediakan peruntukan ini berdasarkan pelbagai laporan, kerja ukur kejuruteraan , kajian kemungkinan dll. Paling tidak kaji rekod yang membolehkan kita membuat perancangan dan rekabentuk sistem pengairan yang akan dibina kelak.

Kita telah selidiki apakah air pengairan yang bakal dibekalkan itu mencukupi. Bagaimana dengan rekod taburan hujannya, bagaimana pula dengan kadar alir sungai yang menjadi sumber air misalnya.

Biasanya anggaran kos projek ini, walaupun anggaran awal tidaklah menjadi ‘gemuk’ yang amat melampau, sehinggakan berlipat ganda apabila projek dilaksanakan.


ii) Jabatan yang terlibat perlu menyediakan anggaran kos untuk projek. Harga seunit untuk kerja-kerja yang dilaksanakan mestilah munasabah dan berpatutan kerana harga yang tidak masuk akal akan dipersoalkan. Bukan itu saja, pihak pemborong juga perlu menyediakan anggaran kos yang munasabah-terendah tapi masih menguntungkan tatkala mengemukakan tendernya.

iii) Proses penilaian tendernya juga rapi dan teratur. Pelbagai aspek dilihat dalam menilai tawaran tender yang terbaik ― kos, masa, rekod pemborong dll.

Dipendekkan cerita: Sekiranya seluruh proses ini dipatuhi dengan baik, tak ada sebabnya kos projek itu boleh menggemuk dan menggila begitu sekali!


Kecuali, ― ya, kecuali ada cukong yang ‘hijack’ projeknya dengan pelbagai kaedah luar tabii seperti pemberian langsung tanpa alasan yang sangat munasabah.


Nah, di sinilah kos sebungkus mi segera boleh 50 kali ganda harga pasaran dll. Siapakah yang memastikan kos, kualiti, kebolehan pemborong dll terjamin? Hanya cukonglah yang menentukan.


II) Penutup


Berdasarkan senario ini apakah wajar istilah yang sangat lunak seperti ‘ketirisan’ itu digunakan? Saya lebih cenderung dengan istilah yang lebih tepat ― pengsunglapan dana.

Sulap bermakna: Permainan silap mata, sunglap. Inilah yang dijelaskan oleh Kamus Dewan seperti di atas.

Juru sunglap adalah pakar silap mata yang pandai menipu dengan permainannya.

Makanya, kita perlukan pemerintah yang baik atau tukang silap mata yang rakus mendakap dana?




No comments: