Thursday, June 3, 2010

Benarkah kita 'berkata benar' kita tidak berpihak?



Dinsman (Artikel 167, 4/6)
 
Ha ha.. saya ketawa di dalam diri membaca ayat terakhir Rahman Shaari dalam kolumnya ‘bicara selasa’, SH 1 Jun. Apa dia kata, menyebabkan saya ketawa dalam diri itu? Ha ha.. dia kata “..janganlah seniman terikat kepada yang di sebelah sini, atau sana. Jadilah seniman sahaja, bukan seniman di sebelah mana-mana.”

Sedap bunyinya tu, ‘kan! Sangatlah sedap, memang, kalau dibaca kata-kata yang saya kutip di atas itu. Dan itu bukan kata-kata luar biasa, walaupun saya tak mahulah nak kata “itu kata-kata klisye” yang sudah kehilangan makna. Tidak, makna tidak hilang. Makna tetap ada. Cuma ia bukanlah sesuatu yang luar biasa atau yang baru.

Sudah biasa, bahkan agak sering kita mendengar kata-kata begitu diucapkan, hingga mereka yang sering mengucapkannya itu kita dapati seperti sudah alpa dengan makna kata-kata itu. Mereka ingat dan fikir mereka “berkata benar” dengan mengucapkan kata-kata itu. Rupa-rupanya tidak, mereka tidak berkata benar.

Maksud Rahman dengan di sebelah sini dan di sebelah sana itu ialah dalam kontek politik di negara kita. Di sebelah pihak Umno/BN, atau di sebelah pihak Pakatan Rakyat (PAS atau PKR). Mengikut Rahman, manusia dari golongan seniman sepatutnya tidak di sebelah mana-mana. Ini yang saya ketawa dalam diri.

Saya teringat suatu waktu dulu, masa tengah aktif dengan Teater Elit bersama Sutung Umar Rs, ada suatu peristiwa yang mengandungi mesej serupa itu. Maka saya bertanya: “Bolehkah, atau apakah wujud keadaan yang seniman itu tidak berpihak?” Dan saya langsung mengatakan bahawa tidak wujud keadaan seperti itu. Setiap orang itu sentiasa berpihak, yakni berpihak kepada ‘diri’nya, atau kepada ‘kebenaran’ dirinya, yakni kepada yang dianggap oleh dirinya sebagai benar.

Seperti saya dan Rahman Shaari dan juga Sutung Umar Rs, sekarang. Masing-masing kami menulis kerana setiap orang daripada kami mempunyai sikap sendiri terhadap “yang benar” mengikut pandangan dan fikiran kami. (Sutung menyertai polemik ini melalui tulisannya “Seniman bercakap tentang kebenaran” dalam SH, 27 Mei).

Jadi, tanpa merumuskan apa-apa teori, saya tidak percaya akan wujudnya manusia yang “tidak berpihak di sebelah mana-mana” itu. Apakah benar Rahman tidak berpihak di sebelah mana-mana apabila dia berkata “..janganlah seniman terikat kepada yang di sebelah sini, atau sana. Jadilah seniman sahaja, bukan seniman di sebelah mana-mana.”

Benarkah Rahman tidak berpihak ke sebelah mana-mana? Kalau benar tidak berpihak, untuk apa dia berhujah begitu begini dengan saya melalui tulisan-tulisannya yang memberi respon kepada tulisan saya itu? Kerana saya berpihak? Memang saya berpihak. Tetapi dia tidak berpihak. Tidak berpihak di sebelah mana-mana pun. Makanya perlu apa dia berhujah dengan saya? Apakah kerana dia menganggap saya salah di sebabkan saya berpihak? Apakah benar dia tidak berpihak?

Saya tidak percaya dia tidak berpihak. Sama sekali saya tidak percaya Rahman Shaari tidak berpihak. Sebab apa? Mudah saja sebabnya. Sebab saya tidak percaya di dunia ini ada manusia yang wujud tidak berpihak. Tidak ada. Wujud manusia itu sejak azali lagi sudah berpihak. Kalau Rahman tak mahu ambil kira hujah “sejak azali” (kerana itu hujah religius) pun tak mengapa. Tapi saya tetap percaya demikian, kerana saya manusia religius. Saya tak mungkin pisahkan diri saya dengan agama.

Di atas tadi saya katakan bahawa kata-kara Rahman “janganlah seniman terikat kepada yang di sebelah sini, atau sana. Jadilah seniman sahaja, bukan seniman di sebelah mana-mana” itu sebagai kata-kata atau ungkapan biasa. Bukan sekadar biasa sahaja, tetapi biasa dan “tidak benar”.

Memang saya sering mendengar manusia seniman yang berkata-kata sedemikian. Maka saya katakan mereka itu “alpa dengan makna kata-kata itu.” Mereka ingat dan fikir mereka ‘berkata benar’, tetapi rupa-rupanya mereka tidak ‘berkata benar’.

Kita rujuk contoh yang lebih realistik. Mudah saja. Mari kita bersikap jujur dan ikhlas dengan diri kita sendiri (Saya harap orang yang tak religius pun boleh bersikap jujur dan ikhlas dengan diri sendiri). Cuba semak semula, selama ini di manakah aku berdiri, dan di manakah aku berada? Di sebelah sini, atau di sebelah sana, atau tidak di sebelah mana-mana?

Katakan di sebelah ‘sini’ itu maksudnya di sebelah yang menyokong pihak Umno/BN, dan di sebelah ‘sana’ itu bermaksud di sebelah yang menyokong pihak PAS/PKR/DAP. Saya terus terang berada di sebelah ‘sana’, dan saya selalu melihat kawan-kawan seniman berada di sebelah ‘sini’. Dan saya tidak nampak ramai kawan-kawan seniman, termasuk Rahman, di sebelah ‘sana’, tetapi saya selalu nampak mereka di sebelah ‘sini’.

Soalan saya, kalau mereka itu tidak terikat dengan pihak di sebelah ‘sini’, mengapa mereka tidak pernah hadir dalam peristiwa seni-budaya yang di sebelah ‘sana’, sedangkan mereka selalu kelihatan hadir dalam peristiwa seni-budaya yang di sebelah ‘sini’? Kalau mereka itu bebas seperti yang mereka dakwa, sepatutnya mereka hadir di sebelah ‘sini’ dan hadir juga di sebelah ‘sana’.

Jangan hanya hadir di satu pihak sahaja (yakni ‘hadir’ dalam maksud nyata dan maksud abstrak), tetapi mendakwa bebas dan tidak berpihak! Itulah yang saya katakan mereka itu tidak ‘berkata benar’. Mereka ingat dan fikir mereka berkata benar, tetapi sebenarnya tidak. Dan inilah sebabnya maka kawan saya Kassim Muhamad menyeru para seniman dalam majlis di Kota Bharu 1 Mei lalu: “Mari kita berkata benar!”

Dalam tulisannya, Rahman juga berkata masyarakat kita berpecah belah kerana politik. (He he. Itu kata-kata dan pandangan orang Umno dan yang menyokong Umno). Untuk pengetahuan Rahman, orang PAS dan PKR tak kata dan tak lihat masyarakat kita begitu. Orang PAS dan PKR lihat masyarakat kita sekarang sedang menuju ke arah perpaduan yang lebih sihat. (Lihat! Kenapa wujud perbezaan sudut pandang yang penting dan ketara ini?)

Rahman juga membuat contoh peristiwa ada pemudi sanggup kata ibu saudaranya pelesit, dan ada pemuda tergamak kata pakciknya anjing, sedangkan ibu saudara dan pakcik itu sangat berjasa kepada mereka. Rahman melihatnya sebagai akibat taksub politik. Tetapi saya melihatnya ada banyak lagi kejadian kurang ajar yang serupa itu berlaku, bukan disebabkan oleh politik tetapi disebabkan faktor-faktor lain, antaranya faktor kurang iman dan taqwa, dan faktor perkelahian keluarga disebabkan berebut harta atau masalah kasih sayang.

Di mana kita berdiri, dan di mana kita berada – itu penting. Banyak perbezaan yang timbul dan ditimbulkan olehnya. Rahman cuba semak semula hujah-hujah yang mengaitkan Anwar Ibrahim dalam tulisan-tulisan sdr yang memberi respon kepada saya. Apakah itu hujah-hujah yang tidak berpihak?

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)


 


No comments: