Monday, June 6, 2011

Sang Penguasa adalah Sang Penguasa?

Dari Utusan Online:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm

Azizan selar Harakah cuba laga dengan Hadi



KUALA LUMPUR 5 Jun – Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini menyelar lidah rasmi parti itu, Harakah, kerana didakwa cuba melagakan beliau dengan Presiden, Datuk Abdul Hadi Awang.

Azizan bertindak demikian kerana berang dengan laporan Harakah kononnya beliau tidak menghormati Abdul Hadi dalam isu tindakan tatatertib ke atas pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin), di Kedah.

Kontroversi itu mula timbul apabila kenyataan beliau yang juga Menteri Besar Kedah bahawa Abdul Hadi tiada locus standi untuk campur tangan dalam isu Kuin ditafsirkan sebagai biadab oleh Harakah.

“Wartawan Harakah yang tulis itu faham tak apa itu locus standi? Wakil Perlis (perwakilan Perlis yang bangkitkan isu itu) pun faham ke tidak maksud locus standi.

“Locus standi ini maksudnya keupayaan untuk bertindak dalam konteks undang-undang dan dalam kes Kuin ini hanya pengurusan kolej sahaja yang ada locus standi.

“Bukan pihak lain termasuk tuan guru (Abdul Hadi),” katanya semasa diberi slot khas untuk menjelaskan kontroversi tersebut semasa Muktamar Tahunan Pas Ke-57, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azizan turut menyelar perwakilan Pas Perlis kerana bertindak menyerangnya secara terbuka tanpa mendapat maklumat tepat terlebih dahulu tetapi kemudian mahu merayu pula.

Malah, beliau menyamakan perbuatan perwakilan Perlis tersebut sebagai sama dengan perbuatan memukul kepala beruk.

“Lepas dia hentam, dia gosok. Orang kalau nak sekeh (pukul) kepala beruk ini, dia gosok dulu. Gosok sampai beruk itu pejam mata baru dia bagi sekeh, lepas itu dia gosok balik,” katanya.

Sehubungan beliau secara seloroh memberi amaran kepada perwakilan Perlis bahawa kerajaan negeri Kedah akan mengambil semula negeri Indra Kayangan kerana ia hak Kedah.

“Saya cadang nak ambil balik Perlis, saya nak ambil dengan Pesuruhjaya Pas negeri sekali. Hang (kamu) mai (mari) dok (tinggal) Kedah balik, pasal Perlis ini hak Kedah,” jelasnya.

___________________________

Apa yang dapat kita baca dan pelajari?

Pertama:

Berita di atas datangnya dari portalnya musuh politik Pas.  Sebagai akhbar maya yang dikuasai oleh parti politik, tentulah beritanya bertujuan untuk menguntungkan Tuan Politiknya.  Dalam kes ini Umno.

Kedua:

Beritanya ialah tentang kritikan seorang pemimpin besar Pas terhadap akhbar Pas Harakah.  Mengikut laporan portal ini, “Azizan bertindak demikian kerana berang dengan laporan Harakah kononnya beliau tidak menghormati Abdul Hadi dalam isu tindakan tatatertib ke atas pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin), di Kedah.”

Ketiga:

Tidak kurang menariknya ialah reaksi yang timbul kemudiannya.  Kita temui tamsil dan bidalan seperti beruk yang dilekup kepalanya...Cukup menarik.

“Dalam pada itu, Azizan turut menyelar perwakilan Pas Perlis kerana bertindak menyerangnya secara terbuka tanpa mendapat maklumat tepat terlebih dahulu tetapi kemudian mahu merayu pula.”


ii.


Apakah kita punya harapan lagi ― untuk mengkritik?  Atau Sang Penguasa itu, di mana pun, dan di zaman mana sekali pun, tetap sama saja ― walaupun label dan bajunya mungkin saja berbeza.

Agaknya perwakilan dari Perlis itu akan mengingati perisitiwa ini. Apakah dia akan bersuara lagi pada masa depan?    
Atau semua ini hanya direka-reka oleh musuh?