Saturday, June 11, 2011

Wawancara Bang Mat dengan Malaysiakini

Mat Sabu dengan Malaysikini: Yang perlu diperbaiki


Apakah ada mesej kepimpinan yang lebih nyaring daripada tingkah lakunya para pemimpin?    Dalam kehidupan seharian,  kita temui peribahasa seperti “action speaks louder than words” ― bagi menceritakan betapa lebih nyaringnya tingkah laku itu dibandingkan dengan kata-kata.  Dalam tradisi Islam, kita dimaklumkan bagaimana para Sahabat Nabi Muhammad begitu tekun mengamalkan ayat-ayat Al-Quran yang disampaikan kepada mereka oleh Nabi SAW.  Ertinya ayat-ayat itu bukan sekadar didendangkan, dikupas, dihujah tapi diamalkan.

Apabila Mat Sabu, atau lebih akrabnya Abang Mat, memberikan contoh kenapa kepimpinan Pulau Pinang itu wajar dicontohi oleh negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, kita tentunya sangat gembira dengan keberanian yang luar biasa ini.  Sila rujuk  ('PAS-led states should follow Penang's example' , Malaysiakini laporan oleh Aidila Razak  Jun 10, 2011 11:11 pagi ).

Dalam konteks ini, kita juga lega dengan keterbukaannya memberikan pandangan bahawa Pas Negeri Kelantan terlalu bergantung kepada kepimpinannya TGNA.  Pandangan seperti ini bakal mengundang respons seterusnya.    

Ya, kita percaya pandangan yang sebegini bakal mengundang reaksi pelbagai pihak, termasuk pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat yang kelihatannya sangat yakin bahawa ‘caraku adalah caraku’ dan itulah cara yang paling tepat.


ii.

Kepimpinan yang baik dan diredhai adalah rahmat yang sangat besar untuk rakyat jelata.  Dan kita, sebagai rakyat sentiasa mendambakan kepimpinan yang nyaring tingkah lakunya, bukannya pemimpin yang amat nyaring  menempelak para pengkritiknya.

Dalam konteks menilai prestasi kepemimpinan mereka, salah satu hakikat nyata yang tidak boleh diabaikan oleh mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat, ialah kenyataan bahawa rakyat begitu sekali mengharapkan perubahan. Dan ‘malang’nya ― acap kali perubahan yang dituntut itu terlalu drastik pula ― seolah-olah semua itu  mungkin dilakukan segera, tanpa mengambilkira kekangan-kekangan paling asas, yang fundamental seperti perundangan sedia ada yang perlu ditangani terlebih dahulu. 

Apa pun,  harapan tetaplah harapan.  Harapan yang kadang-kadang dilihat ‘melampau’ ini dapat dimengerti kerana kerosakan dan kekalutan yang rakyat hadapi selama ini,  di bawah regime zalim sedia ada ― nyata begitu menyeluruh sekali.  Maka para pemimpin Pakatan Rakyat sebagai gembala yang baik, termasuk gembala kepada anak-anak kita ― para mahasiswa, perlulah bersabar dengan karenah dan serta tingkah orang-orang muda ini.

Dalam konteks kepimpinan,  mana-mana pemimpin sekali pun ― seperti biasa boleh saja berhujah, berjustifikasi, menempelak, memperlekeh siapa saja,  termasuk anak-anak mahasiswa, demi untuk mempertahankan betapa ‘tepat’nya tindakannya itu.   Ya, pemimpin boleh saja bersilat semahu-mahunya, tapi yang setia memerhatikan segala buah silatnya (termasuk dalam You Tube) adalah rakyat yang begitu mengharapkan perubahan. 

Apakah nikmat menjadi pemimpin itu ialah buah silat yang kita pamerkan di depan khalayak?  Akhir sekali, agaknya apakah yang dicapai dengan sikap yang sebegini?

Semuga kita sentiasa dirahmatiNya. 



No comments: