Thursday, June 9, 2011

Kemenangan Mat Sabu dan beberapa harapan baru


Dinsman (Artikel 229, 10/6)
Kemenangan Mat Sabu dan beberapa harapan baru

Keputusan pemilihan pimpinan PAS yang baru sempena Muktamar tahunannya yang berlangsung di Dewan Datuk Fadzil Noor, Taman Melewar, Kuala Lumpur 4 Jun, adalah suatu yang sangat menarik. Barangkali boleh juga disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa, yang menjanjikan atau memberikan beberapa harapan baru.

Bukan sahaja kemenangan Mat Sabu sebagai Timbalan Presidennya yang menewaskan Nasharudin Mat Isa (penyandang jawatan yang dikatakan sangat disenangi oleh Presiden dan kumpulan PAS Trengganu itu) dan Tuan Ibrahim Tuan Man, tetapi juga kemenangan tiga orang Naib Presiden yang ketiga-tiganya bukan dari golongan ulama, dan juga sebilangan besar Ahli Jawatankuasa Pusat, khasnya empat orang yang mendapat undi tertinggi, juga bukan dari golongan ulama.

Pembahagian kategori ulama dan profesional yang mula ketara dalam beberapa pemilihan lalu sememangnya tidak pernah saya setujui. Struktur kepemimpinan ulama yang ditubuhkan sejak era kepimpinan Yusuf Rawa itu sudah begitu kuat, hingga tidak perlu lagi dibimbangi kemungkinan ia boleh dirosakkan oleh kehadiran ramai golongan profesional.

Saya pernah bertanya Ustaz Fadzil Noor (Allahyarham) sewaktu dia menjadi Presiden PAS, apakah dia bimbang kalau suatu hari nanti golongan profesional menjadi Presiden PAS? Dia menjawab tegas tanpa ragu-ragu, yang dia tidak bimbang, kerana PAS sudah mempunyai struktur kepemimpinan ulamanya yang akan sentiasa memandu dan mengawasi perjalanannya agar tidak lari dari landasan.  

Maka apabila sebahgian golongan ulama dalam PAS cuba mempertahankan status mereka (dan cuba menyekat kemaraan golongan profesional ke dalam pimpinan atasan) dengan berhujah bahawa PAS mesti dipimpin oleh golongan ulama, saya melihatnya sebagai sesuatu yang kurang wajar.

Bukan kategori atau label seseorang sebagai ulama atau profesional itu yang menentukan seseorang berwibawa sebagai pemimpin atau tidak. Ada banyak ciri-ciri lain lagi yang diperlukan untuk menjadi seorang pemimpin yang baik dan berkesan. (Bacalah huraian ciri-ciri kepemimpinan yang baik, yang dibuat oleh Prof Shaharir Mohd Zain dalam bukunya “Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz Mengikut Pandangan Sarjana Kepemimpinan Besar Sepanjang Zaman” itu).

Menjelang muktamar kali ini pun suara yang berhujah ke arah supaya ulama dipilih ke dalam saf pimpinan tertinggi PAS itu masih lagi kedengaran. Dan peliknya, media-media Umno-BN pula menunjukkan sokongan yang kuat, mendesak supaya golongan yang dikatakan ulama itu dipilih. Apa halnya pula boleh terjadi begitu? Mereka sendiri (pemilik media-media itu) tidak memilih ulama untuk memimpin mereka, di sini mereka pula beriya-iya benar mendesak supaya PAS memilih golongan yang dikatakan ulama itu menerajui pimpinan PAS. Tentulah ada muslihatnya, ‘kan!

Apa pun, syukur alhamdulillah, ahli-ahli PAS telah membuktikan kematangan mereka dengan pilihan yang dibuat pada 3 Jun itu. Kita bersetuju dan berasa selesa dengan pemilihan itu, apalagi menjelang PRU-13 tak lama lagi, tetapi dalam masa yang sama tak dinafikan juga adanya satu soalan yang perlu dijawab, iaitu: Apakah ahli-ahli PAS sudah hilang kepercayaan kepada golongan ulama?

Saya melihat jawapannya bukan pada percaya atau hilang kepercayaan, tetapi pada rekod kerja dan sumbangan yang ditunjukkan oleh para ulama yang telah diberi kepercayaan memimpin dalam tempoh beberapa penggal yang lalu itu. Ternyata rekod dan sumbangan mereka kurang memuaskan, kecuali beberapa orang.

Ahli-ahli PAS ternyata dapat membezakan keperluan ini. Bukan semua ulama dapat menjadi pemimpin yang baik. Demikian juga bukan semua profesional dapat menjadi pemimpin yang baik. Seorang pemimpin yang baik boleh datang daripada golongan ulama, boleh datang daripada golongan profesional, dan boleh datang daripada golongan yang bukan ulama dan bukan profesional, seperti Mat Sabu, Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar

Waktu kategori dan label pimpinan ulama dan profesional mula dibangkitkan dulu, saya pernah bertanya di manakah kedudukan orang-orang seperti Mat Sabu, yang bukan ulama dan bukan profesional? Alhamdulillah, hari ini kita tak perlu lagi mencari jawapan kepada soalan itu. Muktamar 3-5 Jun 2011 telah memberikan jawapannya yang jelas.

Mat Sabu, Salahuddin Ayub dan Mahfuz rupa-rupanya dikategorikan sebagai aktivis politik. Samalah juga dengan Mazlan Aliman, aktivis hak-hak peneroka Felda (melalui NGO ANAK) yang menang AJK Pusat dengan undi terbanyak itu. Dan nampaknya ahli-ahli PAS seperti sebulat pendapat bahawa realiti politik hari ini memerlukan satu pendekatan baru, bagi menghadapi pihak penguasa yang tidak lagi menghormati prinsip demokrasi dan keadilan.

Maka demikianlah kita melihat para aktivis yang berani dan aktif turun ke jalanraya menuntut hak-hak demokrasi yang adil seperti Salahuddin Ayub, Husam Musa, Mahfuz Omar, Mazlan Aliman dan Dr Hatta Ramli dipilih untuk berada di saf hadapan kepemimpinan yang baru, dengan Mat Sabu sebagai pemimpinnya, di belakang Presiden Abdul Hadi Awang.

Siapakah yang tidak kenal dengan Mat Sabu? Keupayaannya menggembleng massa memang tidak diragukan, samada untuk hadir ke perhimpunan ceramah perdana, untuk mengutip dana, atau untuk turun ke jalanraya.

Realiti politik hari ini tidak sama lagi dengan realiti politik zaman Hadi Awang menjadi Timbalan Presiden PAS dulu. Prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan sedikit demi sedikit terhakis, dikerjakan oleh penguasa-penguasa zalim bersama agen-agen mereka yang berselindung di sebalik topeng pelbagai jabatan dan profesyen, hatta jabatan kehakiman, polis, media dan profesyen keilmuan di universiti.

Paling mutakhir ialah berleluasanya fitnah dengan menggunakan video lucah bagi menyerang peribadi tokoh pemimpin, mengakibatkan huru-hara berlaku terhadap akhlak anggota masyarakat umum. Semua ini menunjukkan bahawa pendekatan dan strategi politik konvensional tidak lagi berkesan untuk digunakan.

Demikianlah harapannya kepada para aktivis politik yang bukan ulama, bukan profesional (ataupun profesional yang telah menjadi aktivis),  tetapi mereka dipercayai mempunyai kualiti yang diperlukan untuk menghadapi realiti politik yang semakin ‘bobrok’ hari ini.

Selamat menjalankan tugas baru, sdr Mat Sabu!

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yhoo.com.my atau sms 019-9592408)




No comments: