Saturday, July 23, 2011

Kami yang dikeroyok

Membicarakan segala yang absurd


Ungkapan “menanti unta lolos ke lubang jarum” yang lahir dari budaya dan rahim Arab itu ada padanannya dalam budaya Melayu “menanti kucing bertanduk”.

Dalam kisah Nabi Yusuf  ‘Alaihissalam kita menemui kisah bajunya yang carik di belakang kerana Nabi itu terlalulah hensemnya untuk dibiarkan begitu saja.  Dalam konteks kita hari ini,  yang katanya ─ ya kata mereka maha moden ini, kita temui Beng Hock yang merobek-robekkan seluarnya dan juga seluar dalamnya sebelum dia menemui ajalnya.

Beng Hock mahu seluar itu kelihatan sebelum dia menemui Maha Penciptanya.

Dalam karya sastera,  mereka selalu bercakap tentang yang absurd.


2.

Dalam kehidupan harian kita, saya temui ungkapan seperti ini dari kawan-kawan di sekeliling saya:

“Kau dah tahu Bersih itu HARAM, kenapa gatal-gatal ambil bahagian??”    Rasanya mahu kuluku-luku saja kepala si tua usia tapi berhingus dalam berfikir tatkala mendengar buah fikiran kepala lutut itu.

Kawannya juga menyatakan:

“Dia terlalu taksub mahu menyimpan rahsia itu, maka dia lebih rela ...bunuh diri.”

Itulah dunia kita SEKARANG INI:  Absurb.

3.

Tak percaya?

Peguam negeri atas angin (Perancis ) itu kini telah menjadi orang yang tidak diingini.  Kenapakah dia yang begitu sibuk-sibuk mahu ketahui kisah beli belah kapal selam yang tidak mahu menyelam-nyelam itu?   Kenapakah DIA pula yang sibuk-sibuk?

Betapa celakanya perangai kapal yang tidak mahu menyelam walaupun telah dibayar sekian biliuuunnn untuk menyelam.

Ya, satu lagi yang absurd.

4.

Malam ini bertempat di Madrasah Tarbiah Kampung Bandar Dalam, Gombak setelah solat maghrib, kita akan mendoakan arwah seorang seniman besar kita, Usman Awang.

Tatkala Pak Samad dikeroyok aparat di Kuala Lumpur, kami dapat merasakan bahawa Usman Awang juga berada di sisi kami ─ di depan Stadium Merdeka.

Ya, Rabb kau rahmatilah roh para pejuang kami.

kami dikeroyok
dunia amat absurd ini!

Amin.