Pemuda Umno: Masih berselera mahu berlakon?
Semasa kecil-kecil dulu, emak kerap menyebutnya, “Orang tidur makanannya orang yang jaga.” Mula-mulanya saya tidak begitu mengerti maksud emak itu. Namun bila emak menambah, “Tidurlah puas-puas, nanti tak ada lagi makanan yang tertinggal..”
Beberapa hari lalu, tatkala berada di perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara seorang Sasterawan Negara telah memaklumkan kepada seorang anak muda dari media yang dikuasai Sang Penguasa bahawa “Maaf, saya telahpun mengumumkan tak akan bercakap dengan media perdana.”
Ya, anak muda itu tak sempat mendapat pandangan Sasterawan Negara itu berhubung almarhum Datuk Hassan Ahmad, (Ya, Allah kau limpahi dan cucurilah rahmatMu ke atas rohnya. Amin, ya Rabb), mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan seorang pejuang bahasa yang cukup ulet.
2.
Peristiwa pertama mengungkapkan kebijaksanaan lama yang dipelajari seorang ibu. Ia mengingatkan kita betapa si lalai-alpa itu sentiasa dibaham oleh mereka yang waspada. Dalam konteks hari ini, orang-orang Melayu yang terus-terusan alpa, terjajah mindanya, taksub, feudal dan malas berfikir, mereka sentiasa saja menjadi lauknya orang-orang yang licik dan oportunis.
Mereka dibaham oleh Sang Penguasa rakus bermata helang. Mereka, Sang Penguasa ini termasuklah para pemimpin politik yang katanya pejuang dan pembela tulen Melayu.
Ini bermakna orang-orang yang tidak berfikir, yang malas berfikir mudah sekali dibaham. Yang malas berfikir dan yang tidak mahu berfikir mungkin saja termasuk kita dan mungkin juga termasuklah para pemimpin bekas perajurit. Sementara itu mereka yang licik memutar belit fakta mudah sekali membaham mereka yang malas berfikir dan tidak mahu berfikir. Orang-orang politik yang katanya menjuarai nasib bekas para perajurit, mudah membaham sesetengah pemimpin bekas perajurit yang tidak berfikir dan malas berfikir ini.
3.
Bagaimana pula dengan peristiwa kedua? Anak muda wartawan itu mungkin sangat terkejut dan hampa kerana tidak mendapat respons yang diharapkan. Kita tidak tahu apakah anak muda itu memahami segala yang tersirat di sebalik penolakan Sasterawan Negara untuk dipetik pandangannya berhubung pemergian sahabat seperjuangannya itu.
Apakah anak muda yang menjadi wartawan itu sedar makna yang tersirat daripada penolakan penuh hemah tidak mahu ditemuramah oleh seorang Sasterawan Negara itu? ‘Tidak mahu terlibat dengan media’ yang pecacai adalah mesej keras tapi jelas dan tegas. Ya, kenapakah kita masih rela terus-terusan menjadi sebahagian dari pelengkap dosa bersekongkol dengan mereka yang kerjanya, siang dan malam, berbohong, berbohong dan terus-terusan berbohong itu?
Apakah tauladan ini dilihat oleh sesetengah pemimpin Pakatan yang siang-siang lagi menerkam dan memaut setiap kali dihulurkan mikrofon atau diacahnya kamera tv?
Apakah mereka masih berselera bersekongkol dengan media sebegini?
4.
Dalam ‘huha’nya episod Komunis yang mutakhir ini, cuba perhatikan reaksinya mereka yang muncul di kaca-kaca tv mengutuk dan menggodam Mat Sabu dengan dakyah bahawa orang nombor dua Pas itu melukakan hati para pejuang kemerdekaan kerana mengagung-agungkan komunis.
Ada yang begitu sedih dan tersangat marah, terhina dan dipelecehkan sedemikian rupa...
Adakah orang-orang ini menonton dan memahami apa yang telah dikatakan oleh Mat Sabu? Apakah mereka telah teliti ucapan dan maksudnya Mat Sabu apabila dia bercakap tentang Peristiwa Bukit Kepong yang berlaku di zaman penjajahan British itu?
Atau mereka hanya sekadar mendengar tempik soraknya para pejuang Melayu yang oportunis itu saja?
Melihat segala telatah dan reaksi mereka di kaca tv, kita pun terfikir apakah alat yang orang-orang ini gunakan untuk berfikir? Ya, apakah yang mereka gunakan untuk menilai seluruh peristiwa dan ‘huhanya’ Bukit Kepong ini? Atau apakah orang-orang ini berfikir? Atau apakah mereka semata-mata mempamerkan emosi, mentahnya saja?
5.
Ramai kalangan kawan-kawan saya sekarang ini adalah pemandu teksi. Ya, saya juga memandu teksi. Dan ramai juga pemandu teksi adalah bekas perajurit. Salah seorangnya bekas komando. Satu ketika semasa berehat menanti penumpang, saya pernah bertanya, “Boleh ceritakan pengalaman yang paling pahit semasa meredah belantara dari Pantai Barat ke Pantai Timur?”
“Saya tidak mahu ingat lagi semua itu. Malah apa saja yang ada kenangan komando, saya buang semuanya...Biar tak ingat-ingat lagi.”
Saya tidak pernah mahu buang segala kenangan (indah dan juga pahit maungnya) tatkala berkhidmat dengan JPS, Jabatan Pengairan dan Saliran, Malaysia. Contohnya saya masih ingat tatkala membonceng motosikal yang dipandu Zainal Abidin Zain , Selinsing, Daerah Kerian untuk memasuki tebuk-tebuk (jalan-jalan setapak) yang bakal dibangunkan di bawah Projek Kerian-Sungai Manik.
Kenapakah mahu saya lempar jauh-jauh kenangan-kenangan seperti itu? Zainal Abidin Zain yang Exco BN Perak ketika itu, akhirnya kembali bersama Kutty untuk menjadi Timbalan Dalam Negeri adalah orang yang percaya penuh bahawa projek-projek seperti itu bakal membawa kesejahteraan kepada para pengundinya di Kerian.
Apakah sekarang ini, dia masih percaya para pengundinya kini selamat dan sejahtera?
6.
Seorang mantan komando, kini pemandu teksi, teman saya mahu melupakan segala pengalamannya sebagai seorang bekas perajurit. Bukankah ini didorong oleh rasa kecewa yang amat sangat? Siri kekecewaaan yang begitu sukar diubati. Adakah kekecewaan itu tidak bersebab? Apakah Pemuda Umno dan pahlawan Patriotnya pernah bertanya hal-hal yang seperti ini? Apakah Sang Penguasa begitu berkesan sehinggakan semua bekas para perajurit ini hidup aman, damai setelah bersara?
Mereka tidak menghadapi sebarang masalah dengan harga barangan yang menggila itu?
Aneh juga kenapakah Pemuda Umno dan Patriotnya tidak nampak segala penderitaan bekas-bekas perajurit seperti teman saya ini?
Mereka lebih nampak kenyataan Mat Sabu yang diputar belitkan itu.
7.
Bilakah juara Patriot EEE Baling itu mahu merasakan nikmatnya hidup sebagai seorang pemandu teksi seperti bekas perajurit, teman saya itu? Saya dapat merasakannya. Saya mendengar segala rintihan para penumpang tentang kos sara hidup yang begitu menggila sekarang ini.
Lapan daripada sepuluh orang tetamu saya, merintih.
You still want to bullshit??? Porraaaah!
1 comment:
Negeri Perlis pun pernah beri penghargaan kepada bekas ahli PKM
lihat sini :
http://matamin02.blogspot.com/2011/09/semakin-ramai-nak-jadi-komunis.html
Post a Comment