Kerjanya anjing
Semua orang tahu anjing itu peliharaan yang setia, sangat setia. Jarang kita dengar cerita anjing yang kerkah tuannya. Yang selalu kita dengar ialah kisah anjing mati beragan kerana rindukan tuannya yang telah tiada. Sifatnya yang setia itu selalu menjadikan anjing binatang peliharaan yang popular yang dikasihi.
Hapi, anjingnya jiran saya seberang jalan tidak lagi menyalak setiap kali melihat saya melintas. Malah kini Hapi mengodek-ngodekkan ekornya setiap kali saya memanggil namanya. Kata seorang teman, “Anjing itu sudah cam bbnya (bau badan) abang.”
2.
Semua Sang Penguasa melengkapi aparatnya dengan memelihara anjing. Malah Sang Penguasa sentiasa saja memiliki skuad anjingnya yang terlatih. Oleh itu kita pun temui anjing-anjing yang bijak sekali mengesan dadah walaupun bahan laknat itu ditempatkan di ruang-ruang sulitnya manusia. Demikian tajam dan hebatnya kemahiran anjing peliharaan yang terlatih itu.
3.
Sang Penguasa zalim, sebagai penyembah kemutlakan kuasa, sentiasa saja merancang, merancang dan merancang. Pabila musuhnya alpa ─ walaupun sesaat ─ segala macam rancangan berbentuk strategi yang disusun rapi dalam kepala otak jahatnya segera dikeluarkan, demi menerkam musuhnya.
Peristiwa Bukit Kepong yang dimodalkannya demi untuk mengepung dan menggiring orang-orang Melayu supaya terjerat ke dalam kandang UMNO kelihatannya mulai tergelincir, meloroih kata orang-orang Kedah.
Di sinilah peranan salakan anjing peliharaan. Anjing penjaga rumah sejarah bangsa, tiba-tiba saja menyalak: Kita tidak pernah dijajah, demikian bunyi salakan nyaringnya.
4.
Modal Bukit Kepong yang pada mulanya disangkakan lauk politik yang cukup lazat dan berkesan itu, nyata telah memakan dirinya. Maka plot atau jalan ceritanya Sang Pengusa berhubung Bukit Kepong ini mestilah dipinda. Begitulah pongahnya puak puaka ini.
Kalau kita amati, ini bukanlah kali pertama, kaedah atau strategi mencipta atau mengalih plot cerita dipergunakan. Masihkah tuan ingat pertempuran hidup-mati Kutty dalam tahun 1987 itu? Ya, tatkala Tengku Razaleigh mencabar Sang Penguasa ketika itu. Tidak syak lagi Anak Raja ini dilihat sebagai musuhnya nombor wahid yang mestilah dinyahkan buat selama-lamanya dari rumah tangganya UMNO. Pencabar yang berwibawa seperti ini mestilah dimusnahkan sama sekali.
Plotnya ialah dengan memunculkan kumpulan 11 orang yang akhirnya menyebabkan Umno 1946 itu terkubur, dan di atas puing dan bangkainya ─ Kutty mendirikan Umno Baru.
Lihatlah bagaimana mudahnya plot asalnya telah dipadamkan oleh Sang Penguasa, si perakus kuasa itu.
Lihatlah bagaimana di atas bangkainya segala pembohongan itu, diterajangnya plot baru ke tengah pentas.
5.
Semua ini tidak akan berlaku dengan mudah jika tidak ada anjing peliharaan.
Semua ini tidak akan berlaku jika semua penjawat awam itu memiliki rohnya Usman Awang.
1 comment:
Kumpulan anjing peliharaan ini sudah lama wujud dalam masyarakat Melayu. Lihat apa yang telah terjadi pada Hang Nadim yang mengusulkan idea bernas demi menyelamatkan rakyat Temasik (Baca Sejarah Melayu atau Salalatus Salatin oleh Tun Seri Lanang). Akhirnya, HN dibunuh oleh Sultan kerana hasutan akibat iri hati dan dengki anjing-anjing istana. Walaupun sebuah dongengan, realitinya masih terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Sudah berapa banyak HN yang 'dibunuh' oleh Sang Penguasa dengan bantuan anjing-anjing peliharaan.MH, YMTRH,DSAI dan terkini ialah MS yang sedang diusahakan untuk 'membunuhnya'demi kelangsungan kuasa Sang Penguasa yang zalim.
Post a Comment