Thursday, September 15, 2011

Mau ke mana kita?

Perancangan strategik PAKSI, Seniman Paksi Rakyat Malaysia
Memantapkan halatuju perjuangan


Untuk memastikan hanya kerja-kerja yang mesti(1) dilaksanakan saja yang dilaksanakan oleh sesebuah organisasi, maka proses perancangan kerja-kerja organisasi tersebut mestilah dilaksanakan dengan serius, bersungguh-sungguh, menyeluruh dan berkesan.  Ramai yang menamakan kerja-kerja ini sebagai sebagai perancangan strategik.

2. Halatuju organisasi

Dinsman sebagai Presiden Paksi telah mengungkapkan, intipati halatuju ini dengan sebuah ungkapan yang menjadi semacam panji-panji perjuangan organisasi ─ menyuburkan tekad budaya, cultural will dalam kalangan seluruh masyarakat penulis dan budayawan. Ertinya para sasterawan dan budayawan diseru menjadi manusia yang yakin dan percaya bahawa sesungguhnya kelangsungan hidup sesebuah masyarakat itu bukan ditentukan oleh kehendak politik, political will ─ semata-mata.

Sasterawan dan budayawan juga berperanan membentuk dan membangunkan masyarakat.  Bagi Dinsman, masyarakat telah menjadi rosak dan binasa apabila orang-orang politik@kuasawan bergabung tenaga dengan para niagawan untuk menentukan nasib, halatuju dan masa depan masyarakat.

Kaum pemodal dan para penguasa, dipacu nafsu keuntungan-tamak-haloba yang lucahnya melampaui batas, adalah mala petaka kepada masyarakat. Ya, gabungan dua kelompok manusia yang memiliki kuasa dan wang, adalah petaka maha besar kepada masyarakat. 

Dengan wang dan kuasa, segala-galanya mereka beli. 

Sedih tapi nyata, yang didagangkan bukan lagi ‘perabot’ atau cincin-lucah-24 juta semata-mata.  Manusia juga telah mereka sisipkan tanda harganya. Manusia,  mereka beli dan jual sesuka hati.

3.

Yang didagangkan termasuklah para manusia yang mengendalikan pelbagai sistem dan jentera strategik negara ─ keamanan, kehakiman, kepolisian,  pentadbiran.  Yang mereka masukkan ke dalam kocek itu termasuklah pelbagai institusi yang keramat maupun yang tidak begitu kera mat ─ sprm, spr, jabatan kimia.     

Dalam kalangan mereka yang diperdagangkan ini termasuklah yang mereka namakan para ilmuan besar, pelbagai para pakar dan juga sejarawan.  Jangan lupa ulamak juga mereka beli dan jual sebagai komoditi murahan.  Dalam masyarakat yang bobrok, wang dan kuasa memungkinkan proses jual-beli manusia yang mudah.  Negara yang korup membenarkan semua ini berlaku.  Sempadan yang pada asalnya bertujuan untuk mengawal keselamatan negara,  dibolosi ribuan pendatang kerana dinding kawalannya juga korup.  

Dengan latar dan suasana yang begini, Paksi tumbuh dengan azam untuk melakukan sesuatu.  Paksi menyeru dihidupkan tekad budaya itu demi untuk membina masa depan negara yang lebih baik.

Lalu, dalam seluruh proses kerja yang maha berat itu,  yang mana satukah yang lebih utama yang mesti diutamakan?

Pada satu hari yang agak cerah, Paksi, Teras telah berbincang tentang keazaman budaya ini.

Ada sesiapa di luar sana ─ sudi membantu?

Pada pandangan tuan, apakah yang perlu diutamakan oleh para sasterawan dan budayawan kita hari ini?

_____________________________________________

(1) Perlu, penting, utama mengikut urutan keutamaan pula



 

No comments: