Thursday, December 22, 2011

Mari berhimpun di Felda Sungai Tengi


Apakah khabar segala harta Negara?


Seorang kawan bertanya, “Apakah yang saudara harapkan daripada sesebuah pemerintah itu?”

Sepintas lalu, tanpa perlu bergegas ke perpustakaan atau bersusah payah memerahkan otak untuk mencari jawapan terbaik, ada satu dua perkara yang terbayang:

Aku ingin keselamatan yang terjamin supaya anak isteriku dapat hidup dengan aman. Ertinya semasa aku mahu masuk tidur, aku tidak bimbang kerana negaraku relatif aman. Ertinya tak ada yang bakal mendobrak masuk ke rumah lalu menghalakan belati ke leherku. Anak-anak cucu kita ke sekolah, ke tempat kerja dan pulang dengan selamat. Tak ada sebarang rasa bimbang, ragu-ragu dan was-was mereka mungkin ditodong atau beg tangannya diragut.

Jika kita memparkir kereta di mana saja, kita juga yakin kenderaan itu tidak akan dipecah-masuk oleh sesiapa pun kerana kehidupan seluruh rakyat dalam masyarakat kita mencukupi sehinggakan orang tak perlu mencuri dan merompak untuk hidup. Bukankah negara yang cukup kaya ini berupaya memastikan rakyatnya hidup selesa?

Itu baru satu soalan. Kita belum lagi pergi ke persoalan lain seperti agama, hubungan kaum, kebebasan beragama, undang-undang dan keadilan, agihan kekayaan, hak mendapatkan dana, agihan tempat belajar dan lagi dan lagi.


2.


Maka apabila tanah Felda seluas 360,067 hektar itu mahu mereka pajak selama 99 tahun dan harta yang selama ini diusahakan oleh tidak kurang 220, 210 orang peneroka itu bakal dijadikan cagaran untuk memasuki ke rumah saham, kita amat bimbang.

Usah bimbang, kata mereka kerana itulah formula Trasformasi Felda ke persada antarabangsa.

Dan sebagai habuan dan imbalan kerana bersetuju untuk menyerahkan tanah yang subur strategik, tempat mereka mencari rezeki selama ini, para warga Felda ini dijanjikan kekayaan segera yang bakal menjadikan mereka semua jutawan yang segera pula.

Mereka menjanjikan bulan dan bintang sepertimana yang pernah mereka janjikan kepada para peneroka Felda Cahaya Baru, Masai dan juga Felda Sungai Buaya. Baca dan telusurilah kisah pedih luka, duka dan nestapa yang telah menimpa para peneroka kedua-dua buah Felda ini.

Tanah seluas 360,067 hektar, dua kali ganda Negeri Melaka dan nasib 220, 210 orang peneroka sebagai taruhannya?

Ya benar, mereka berspekulasi seolah-olah itulah harta milik bapanya.

Mereka berjanji seolah-olah pasaran saham itu tidak pernah ada risikonya.

Kata mereka, tuan-tuan tidak perlu bimbang. You are all in good hands.

Itulah janji-janji mereka kepada kita tentang nikmatnya penswastaan itu. Kini kita pun hidup tercekik oleh lembaga-lembaga seperti PLUS, Indah Water dan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN). Bukan, bukan LPN kerana itu telahpun menjadi sejarah.

Satu ketika dulu LPN pernah menjadi milik negara kita sepenuhnya dan institusi itu telah diamanahkan untuk mengurus bahan strategik negara ― beras.

Ya, apakah khabar LPN? Atau lebih tepat, apakah yang telah terjadi kepada LPN?


3.


Pada 23 Disember 2011 (Jumaat), bertempat di Dataran Felda Sungai Tengi para budayawan dan sasterawan akan berkumpul mulai jam 3.00 petang sehingga ke malamnya untuk menyatakan bahawa rompakan 360,000 hektar tanah Felda ini mestilah dihentikan.

2 comments:

Muhammad Azzam said...

Saya berminat untuk pergi. Tapi, tiada kenaikan untuk ke sana. Ada siapa-siapa, yang boleh saya tumpang sekali? :)

barajiwa said...

Sdr Muhammad,

Sila hubungi saya 012-4753516 atau emel: barajiwa@gmail.com