Monday, December 5, 2011

PROJEK

Tuhan baru: PROJEK


Jika ada sesuatu ‘benda’ yang berkemampuan berubah bentuk, bermetamorforsis ― seperti berudu menjadi Al-Kataki dan Al-Senatak ― salah satu daripada ‘benda’ itu ialah PROJEK.

Jika ada orang yang tergelincir lalu menjadi syirik (mohon dilindungi Yang Maha Esa) mungkin salah satu daripadanya ialah akibat terlalu gilakan dan ghairahkan PROJEK.

Jika ada ‘benda’ yang membuat sekalian orang bermati-matian berperang untuk berebut kuasa, salah satu daripada sebabnya ialah untuk merebut peluang mencipta PROJEK.


2.

Kawan saya, seorang Kristian yang cukup warak, selalu menyatakan bahawa semua ‘benda’ dalam kehidupan ini boleh manusia justifikasikan. Demikianlah manusia dengan otak mulusnya. Tak percaya?

Mari kita justifikasikan kenapa belulang lembu itu baik jika dijadikan PROJEK.



Justifikasi Bilangan SATU:

Bahagian Lembu: Kulit lembu

Manfaatnya:

Boleh dibuat gendang, buat kasut, buat beg, buat tali pinggang, buat keropok, buat tikar dll. Perusahaan berasaskan kulit lembu bakal memberikan pengusaha bijak dan inovatif membuka kilang kasut, kilang beg, kilang keropok, kilang gendang, kilang tali painngang. Perusahaan yang banyak pula memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat. Hasil kulit lembu boleh dieksport dan ini meningkatkan nilai tukaran asing kita...

FELDA akan membuka banyak ladang lembu, FELCRA juga membela lembu dengan banyaknya kerana permintaan kulit lembu datang bertalu-talu...


Sokong Projek belulang lembu? SOKONG PENUH!!!


3.

Itu baru kulit lembu, belum lagi lembunya dan segala komponen yang terdapat di dalam dan di luarnya. Jangan lupa tahi lembu cukup baik dijadikan baja dan bahan bakar!

Oleh kerana itu apakah kita terkejut pabila mereka berpesta sakan membeli pelbagai peralatan pertahanan yang berbilion-bilion itu? Kalaulah Pak Pandir dan Mak Andeh melihat cara mereka berhorah dengan duit negara kita, sepasang suami isteri lurus bendul ini bakal pengsan beratus-ratus tahun macam para pemuda Al-Kahfi itu...

Lalu apakah ikhtiar kita?

Pertama sekali, janganlah percayakan Tuhan baru bernama: PROJEK itu.

Dan jangan lupa, PROJEK adalah oksigen para Gerombolan. Jika ditutup suiz dan laluan oksigen, Gerombolan bakal terbongkang, kerekot semuanya.

Itulah sebabnya ‘benda-benda’ macam IPP, PLUS itu mesti wujud dalam bentuk sepertimana yang ada sekarang ini.

Itulah bekalan oksigen Gerombolan.

No comments: