Sunday, April 29, 2012

Mematikan segala yang wajar


Lagi pengamatan peribadi
(Kesan Bersih 428)


Ia semakin nyaring. Ya, tuntutan pilihan raya negara kita mestilah BERSIH supaya rakyat yakin dan percaya bahawa mereka dapat memilih kerajaan yang mereka kehendaki,  sudah tidak dapat dibendung-bendung lagi.  Itulah kehendak dan tuntutan Bersih Satu, Bersih 2.0 dan kelmarin 428, (28 April 2012) Bersih 3.0.   Puluhan NGO yang bergabung di bawah panji-panji Bersih 3.0 itu,  sudah tidak percaya lagi kepada SPR yang bertanggungjawab mengendalikan proses pilihan raya negara kita.  Dan parti-parti politik pembangkang juga tidak percayakan kepada ketelusan proses pilihan raya kita, khususnya daftar pemilih yang tercemar dan dicemari dengan warga negara segera.  Mereka semua bimbang nasib politik negara bakal ditentukan oleh rakyat asing.

Sesungguhnya impak tuntutan Bersih itu sudah terlalu kuat dan meluas.  Dan tuntutan itu nyata cukup munasabah, dan sekiranya Kerajaan Umno benar-benar mahukan pilihan raya yang betul-betul bersih dan bebas, Kerajaan Umno ini tidak ada lagi pilihan kecuali meladeninya atau mendengarnya.  Kerajaan Umno perlu mendengarnya kerana kini ia tidak ada helah untuk berhelah lagi.  Kerajaan Umno tidak boleh lagi TIDAK mempedulikannya apa yang dibangkitkan oleh Bersih selama ini.  Ya, selama ini bertahun-tahun tuntutan ini dibangkitkan, namun Kerajaan Umno memilih untuk berpura-pura tidak tahu dan seolah-olah tidak pernah mendengarnya.  Akhirnya,  untuk mematikan suis tekanan itu, yang sedemikian nyaring, sebuah jawatankuasa parlimen ditubuhkan.  Seperti kita ketahui, peranan JK Parlimen ini juga dilihat dan terbukti sekadar menghabiskan beras semata-mata. 

Benarlah,  Umno tak punya pilihan kecuali mendengar tuntutan Bersih 3.0.  Rupa-rupanya NGO ini sudah mahukan Dataran Merdeka sebagai tempat mereka membuktikan bahawa rakyat sudah tidak sabar lagi mahukan kelapan-lapan tuntutan ini dipenuhi sebelum PRU 13 nanti. 

Sehubungan itu, sila teliti senarai soalan ini:

i) Apakah kita fikir, impian Bersih yang mahu berhimpun di Dataran Merdeka itu begitu mudah dibenarkan? Ya, dibenarkan berjalan dengan baik@aman?

ii) Apakah kita fikir,  mereka mahu membenarkan peristiwa 428, Bersih3.0  itu berjaya menghimpunkan lautan manusia dari seluruh pelosok tanah air kita, kecuali - mungkin Sabah dan Sarawak?

(Pandirlah jika kita berfikir sedemikian.  Segala jenteranya bekerja keras supaya 428 Bersih itu  bakal memantulkan najis ke mukanya Bersih 3.0 sendiri.)

iii) Apakah kita percaya Kerajaan Umno itu telah berjaya menidakkan suara protes rakyat?

Kita percaya pelbagai cebisan pengamatan, cerita bakal menyusul.  Sedikit masa ini,  kita akan perolehi jawapan-jawapannya. 


2.

Masih ingat malam UPSI Bedarah itu?  Malam UPSI berdarah pada malam tahun baru yang lalu hanyalah peristiwa kecil.  Ia merakamkan telatah segelintir mahasiswa tak sampai pun seratus orang, berkumpul dan memprotes sesuatu isu, telah dibantai habis-habisan dengan begitu bengis sekali.  Apa yang berlaku pada malam itu jelas membuktikan bahawa protes biar betapa aman, tenteram sekali pun,  tidak mungkin dibenarkan berlaku,  sekiranya itu adalah suara rakyat yang memprotes.  Para ‘penentang’ Kerajaan walaupun siapa saja mereka, tidak akan dibenarkan berjaya menunjukkan bahawa yang wajar dapat berjalan dengan aman tenteram.  Kerajaan Umno, sama seperti rejim yang zalim dan yang sudah tidak jejak di bumi nyata, tidak mungkin membenarkan semua ini berlaku.


3.

Mungkin ramai yang telah membaca, mendengar segala hujah yang dipaparkan oleh segala macam mesin kerajaan Umno tentang Bersih yang katanya kotor itu.  Setelah mendengar dan membaca segala macam laporan yang dipaparkan, fikirlah soalan-soalan yang boleh diterima oleh fikiran kita sendiri.   Jangan terlalu gelojoh, lalu baham dan telan semuanya, bulat-bulat.  Kita manusia berfikiran bukannya lembu menginapnya di kondo.    

Setelah itu bandingkanlah dengan laporan oleh akhbar yang bukan milik Umno berhubung peristiwa ini.  Telitilah laman-laman maya bukan milik Umno.  Berhati-hatilah kerana ada akhbar yang pada permukaannya, kelihatan bebas dan telus sebenarnya tidaklah telus dan bebas.  Pada saat-saat tertentu,  seperti pasca 428 Bersih ini, wajah sebenar akhbar/tabloid tanpa topeng itu terserlah.  Ramai, termasuk penulis,  mencari makan dengan mengambil upah.  

Akhir sekali, sila perhatikan kenderaan ini.  Perhatikan betul-betul dan tanyalah soalan-soalan yang tepat mengenainya. 

Semasa saya tiba di Sogo, Tian Chua masih duduk-duduk di atas tangga pasar raya tersebut, dikerumi oleh anak-anak muda Unit Amal.  Ketika baru sampai sebuah tubuh berbalut kain di kepalanya masih menggeletak.  Orang ramai dilarang mendekatinya.  Dia sedang diurus untuk diusung ke hospital.  Saya tak sempat rakamkan saat-saat tersebut.

Sementara itu yang berseragam biru, menjerit-jerit menghalau segala yang hadir. Saya bayangkan singa lapar yang baru dilepaskan ke dalam Colosseum  Rom kuno.  Ya, tak ubah makhluk yang betul-betul kelaparan.  Ketika itu, Jalan Tuanku Abdul Rahman milik mereka.

Salah seorang manusia berpakaian awam, menjerit tatkala berjalan, di kaki lima di depan Sogo

“Kamilah yang merempuh dekat Dataran Merdeka tadi!!”